Istiqamah Atas Syariat
Kita umat yang mengikut ajaran syariat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka segala tuntutan syariat yang menjadi kewajipan, hendaklah dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Mengamalkan syariat itulah permulaan menjalani thoriqat mencari keredhaan Allah subhanahu wa ta`ala. Namun, apa yang menyedihkan apabila ada segelintir saudara kita yang apabila menggabungkan diri mereka dalam "thoriqat", jadi longgar pulak amalan syariat mereka. Bahkan ada yang ese dengar mereka yang mengaku kononnya menjalani thoriqat Naqsyabandi mengatakan bahawa kalau tak sholat lima waktu pun tak apa, asalkan jangan lupa berzikir... Allahu ... Allah. Entahlah apa jenis "Naqsyabandi" yang diamalkan puak-puak ni, sejauh yang ese tahu para pengamal thoriqat yang benar, baik Naqsyabandi atau Qadiri atau lainnya, amat kuat menjaga amalan syariat mereka. Ese kenal jua ngan beberapa tokoh thoriqat yang muktabar, tak pernah pulak ese dengar deme ni memudah-mudahkan syariat zahir bagi murid-murid deme. Kalaulah ada ahli thoriqat tapi tak pula menjaga sholat yang difardhukan Allah ta`ala, maka itu bukanlah ahli thoriqat yang sebenar. Itu bukan sufi, itu cuma orang yang mengaku-ngaku sebagai orang sufi.
Makanya, jika tuan-tuan ingin berthariqat, pastikanlah thariqat tersebut tidak lari dari pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah dan Syariat al-Muhammadiyyah yang sejati. Sungguh segala amalan itu mesti dilaksanakan zahir dan batin, bukankah Allah ta`ala itu adz-Dzahir dan Dia juga al-Bathin. Juga segi tertibnya, hendaklah dimulakan dengan yang zahir lalu diterapkan ke batin, kerana pada zahir itu lebih mudah daripada batin, juga kerana Allah `azza wa jalla berfirman:
هو الأول و الأخير و الظاهر و الباطن و هو بكل شيء عليم
"Dialah Yang Awwal dan Yang Akhir, dan Yang Dzahir dan Yang Bathin, dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." [al-Hadiid:3]
Ada juga terlancar di lidah yang tak bertulang, kata-kata yang mengecil-ngecilkan amalan zahir berbandingkan amalan batin, kata-kata seumpama - "amalan zahir tu cuma kulit sahaja, batin tu isi, kita nak isi bukan kulit". Perkataan yang batil, tanpa kulit mana sempurna isinya, bahkan buruk hodohlah isi tersebut. Maka kata-kata sedemikian adalah sesuatu yang tidak wajar diucapkan, apatah lagi jika ianya dari mulut seseorang yang mengaku menjalankan thoriqat tasawwuf. Amalan zahir itu penting seperti juga amalan batin, kesempurnaan amalan itu adalah zahir dan batinnya selari dan bersamaan. Tidak sempurna zahir tanpa batin dan tidak sempurna batin tanpa zahir. Manusia juga terdiri dari dua unsur, jasmani dan rohani, zahir dan batin, kehidupan duniawi ini kita harungi dengan jasad dan roh, dan dengan jasad dan roh itu juga kita hidup kekal di akhirat, negeri yang baqa, samada dalam syurga yang penuh kenikmatan atau neraka yang penuh azab sengsara. Makanya, jagalah amalan zahir batin, itulah ajaran thoriqat yang haq. Jauhilah segala ajaran yang merendah-rendahkan zahir syarak kerana kononnya hendak mengambil batin sahaja. Sesuatu thoriqat itu mesti bersendikan syariat.
Dr. KH Muhibbuddin Waly al-Khaalidy rahimahullah seorang ulama juga mursyid Thoriqat Naqsyabandiyyah al-Khaalidiyyah, mengajar kepada para murid beliau akan satu doa untuk diamalkan setiap kali mereka selesai melaksanakan zikir. Doa tersebut berisikan permohonan agar tetap istiqamah atas jalan syariat dan thoriqat yang benar, ianya berbunyi:-
"Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu taubat dari segala dosa, inabah (kembali) kepadaMu dan kekal istiqamah melaksanakan tuntutan syariat yang elok cemerlang dan thoriqat yang bersih (dari segala penyelewengan dan bid`ah yang sesat), dengan rahmatMu, wahai Tuhan yang Maha Pengasih daripada segala yang pengasih.
Maka pengamal thariqat tidak boleh sekali-kali meremehkan hukum - hakam syariat. Jika ada ajaran yang berupa dengan rupa thoriqah kaum sufi namun menganjurkan para pengamalnya untuk meringan-ringankan ketentuan syarak, maka tinggalkan sahaja thoriqah tersebut. Walaupun pribadi si pembawanya mungkin membuat kamu kagum. Janganlah terpedaya dengan ungkapan yang menakjubkan dan janji-janji manis lidah yang tidak bertulang. Tinggalkan sahaja thoriqah tersebut. Jangan sekali-kali menyimpang dari hukum - hakam syariat, tetap istiqamah atas syariat kerana itulah dasar bagi thariqah. Semoga Allah menjadikan kita istiqamah atas kebenaran dan menyelamatkan kita dari segala kesesatan dan penyelewengan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan