Hadiah Emas
Dalam "al-Mu'jam al'Awsath", Imam ath-Thabrani rahimahullah meriwayatkan dengan sanad jayyid daripada Sayyidina Anas radhiyaAllahu `anhu bahawa Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah mendengar seorang lelaki Badwi berdoa dalam shalatnya dengan berkata:- "Wahai Tuhan yang tidak dapat dilihat oleh pandangan mata kasar, Tuhan yang tidak dicampuri sebarang prasangka, Tuhan yang tidak dapat disifati dengan sempurna oleh orang yang cuba mensifatiNya, Tuhan yang tidak berubah oleh segala kejadian, Tuhan yang tidak dipengaruhi peredaran masa, Tuhan yang mengetahui beratnya segala gunung, timbangan segala lautan, bilangan segala titisan hujan, bilangan segala dedaun pohon, bilangan segala yang dilitupi kegelapan malam, bilangan yang diterangi siang hari, Tuhan yang tidak terlindung daripadaNya satu lapisan langit dengan lapisan langit yang lain, satu lapisan bumi dengan lapisan bumi yang lain, lautan tidak dapat menyembunyikan dasarnya dan gunung tidak dapat menyembunyikan isinya, jadikanlah sebaik-baik umurku kesudahannya dan sebaik-baik amalanku pada penghujungnya dan sebaik-baik hariku adalah hari aku bertemu denganMu". Setelah lelaki tersebut selesai berdoa, Junjungan Nabi shallaAllahu ` alaihi wa sallam memanggilnya dan memberikan hadiah berupa emas kepadanya. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda kepada lelaki tersebut: " Aku menghadiahkan emas itu kerana baiknya pujianmu kepada Allah `azza wa jalla".
Allahu ... Allah, betapa indahnya akhlak Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Walaupun si Badwi tadi berdoa dan memuji Allah ta`ala dengan pujian yang disusunnya sendiri, jauh sekali baginda murka. Sebaliknya diberinya hadiah sebagai penghargaan kepada si Badwi tersebut. Tidak pun Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam menegahnya. Berbeza sungguh dengan sesetengah puak pada zaman kita, yang bermudah-mudah menyalah atau membid`ahkan orang lain dengan label "shalawat bid`ah" atau " doa yang tidak warid" dan sebagainya. Belajarlah menghargai orang lain daripada akhlaknya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, jangan jadi orang yang suka menyalah-nyalah apa yang belum tentu salah. Sungguh sesetengah kelompok dalam Malaysia nampaknya suka menyalah-nyalahkan amalan yang telah diterima daripada ulama, namun pada masa yang sama, perkara-perkara yang terang nyata salah bertentangan dengan hukum, tak pun mereka hiraukan .... Allahu ... Allah. Cukuplah ini sebagai tanda bahawa umur dunia dah semakin ke penghujungnya, moga Allah selamatkan kita dunia dan akhirat.
1 ulasan:
Allahu Allah
Catat Ulasan