Persoalan Shalat Dhuha
Faqir telah ditanya tentang Shalat Dhuha, samada ia boleh dilaksanakan secara washal (yakni secara bersambung terus) 4 atau 6 atau 8 rakaat dengan satu salam. Persoalan ini timbul kerana al-Mukarram Dr. Zulkifli al-Bakri hafizahUllah dalam buku beliau yang berjodol "Solat Sunat Pilihan" pada halaman 79 menulis, antara lain:-
"3. Tidak sah solat Dhuha dilakukan yang lebih daripada dua rakaat dengan sekali salam sahaja, seperti lapan rakaat hanya sekali salam sahaja."
Maka setakat yang faqir ketahui, belum pernah lagi terjumpa tuan-tuan guru dan kitab-kitab fiqh mazhab kita yang menyatakan bahawa menunaikan solat Dhuha secara washal (bersambung) hatta dengan 8 rakaat sekali salam sebagai tidak sah. Menurut pengajian, melakukan shalat Dhuha secara fashal (bercerai-cerai dengan satu salam pada setiap dua rakaat) adalah sesuatu yang afdhal yang dihukumkan sebagai "MANDUB" dan bukannya sesuatu yang mesti atau wujub. Maka mandub kita melakukan shalat Dhuha dengan bercerai-cerai setiap 2 rakaat satu salam, sehinggalah kepada sebanyak-banyak rakaatnya. Jika dilakukan secara washal, samada 4 rakaat satu salam atau 6 rakaat satu salam atau 8 rakaat satu salam, maka ianya tetap sah namun kaifiyatnya kurang afdhal sahaja. Untuk pengetahuan, bilangan rakaat shalat Dhuha adalah sebagai berikut:-
Sekadar memungut nas dari kitab turats, faqir nukilkan pernyataan yang dimuatkan dalam "Busyral Karim" pada halaman 316 sebagai berikut:-
- sekurang-kurangnya 2 rakaat;
- sekurang-kurang sempurnanya 4 rakaat;
- sebanyak-banyaknya 8 rakaat di sisi Jumhur atau 12 rakaat di sisi sebahagian ulama antaranya Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah.
Sekadar memungut nas dari kitab turats, faqir nukilkan pernyataan yang dimuatkan dalam "Busyral Karim" pada halaman 316 sebagai berikut:-
Kemudian selepas dari Shalat Tarawih, maka dari segi urutan afdhalnya adalah Shalat Dhuha. Shalat Tarawih dianggap lebih afdhal kerana ianya disyariatkan untuk dilakukan secara berjemaah tidak seperti Shalat Dhuha. Sekurang-kurang bilangan rakaat Dhuha adalah 2 rakaat, sekurang-kurang sempurnanya adalah 4 rakaat, kemudian 6 rakaat. Dan sebanyak-banyaknya adalah sehingga 8 rakaat. Di sisi, Imam Ibnu Hajar sebanyak-banyak bilangan rakaat Dhuha adalah 12 rakaat. Namun melakukannya dengan 8 rakaat itu adalah lebih afdhal. Melakukan Shalat Dhuha dengan salam pada setiap dua rakaat adalah MANDUB dan harus/boleh melakukannya lebih dari 2 rakaat satu salam walau pun dengan melakukan keseluruhannya (yakni 8/12 rakaat tadi) dengan satu salam, samada dengan satu tasyahhud pada rakaat terakhirnya sahaja atau bertasyahhud (awal) pada setiap bilangan rakaat yang genap, 2 atau 4.Nas yang serupa juga dapat dilihat dalam "Hasyiah Jamal" juz 1 pada halaman 486 sebagai berikut:-
Melakukan Shalat Dhuha dengan salam pada setiap dua rakaat adalah MANDUB, dan harus melakukannya 8 rakaat dengan satu salam dan sewajarnya dia bertasyahhud sekali di akhir rakaat namun harus juga baginya untuk bertasyahhud pada pada setiap rakaat yang genap daripada 2 atau 4 rakaat....Dan sebagai contoh terakhir agar lebih jelas, maka faqir nas daripada kitab "Fathul Aliy" pada halaman 574:-
Dan sedemikianlah yang disebut oleh Imam Ramli(yakni sebanyak-banyak rakaat Dhuha adalah 8 rakaat). Dan dalam "an-Nihayah" dinyatakan:- " dan sebanyak-banyak bilangan rakaat Shalat Dhuha adalah 12 rakaat kerana ada khabar dhaif mengenainya dan inilah yang disebut dalam "ar-Rawdhah" sebagaimana asalnya. Namun yang muktamad adalah sebagaimana yang dinukil oleh pengarang (yakni pengarang Nihayah, Imam Ramli) daripada kebanyakan ulama, sebagaimana yang disahihkan dalam "at-Tahqiq" dan "al-Majmuk", dan sebagaimana yang difatwakan oleh ayahanda Imam Ramli (yakni Imam Syihabuddin Ahmad ar-Ramli rahimahullah), bahawasanya sebanyak-banyak bilangan rakaat Shalat Dhuha adalah 8 rakaat. Jika ditambah atasnya (yakni atas 8 rakaat sebanyak-banyak Shalat Dhuha) maka tidak harus dan tidak sah Dhuhanya jika dilakukan dengan satu takbiratul ihram (yakni jika dilakukan secara washal dengan niat lebih dari 8 rakaat seperti 10 rakaat). Jika dia memberi salam pada setiap dua rakaat, maka sahlah Shalat Dhuhanya melainkan takbiratul ihram yang kelima (yakni untuk bilangan yang melebihi 8 rakaat), maka ianya tidak sah. Jika dia melakukannya (yakni menambah bilangan yang lebih dari 8 rakaat tadi) dengan tahu akan tegahannya dan dengan sengaja, maka tidak sah shalatnya, dan jika dia tidak tahu atau tidak sengaja maka jadilah shalatnya shalat sunnat mutlak....Untuk kesimpulan, faqir ulangkan lagi, bahawa jika seseorang Shalat Dhuha sekaligus dengan satu salam 10 rakaat (contoh dia berniat dalam takbiratul ihramnya:- "sahaja aku Shalat Dhuha sepuluh rakaat", lebih atas Qawl Jumhur), maka tidak sahlah Shalat Dhuhanya. Namun, jika dia shalat 10 rakaat dengan niat Shalat Dhuha pada setiap takbiratul ihramnya secara berpisah-pisah, yakni satu takbiratul ihram dua rakaat satu salam bagi rakaat 1 dan 2, satu takbiratul ihram dua rakaat satu salam bagi rakaat 3 dan 4, satu takbiratul ihram dua rakaat satu salam bagi rakaat 5 dan 6, satu takbiratul ihram dua rakaat satu salam bagi rakaat 7 dan 8, satu takbiratul ihram dua rakaat satu salam bagi rakaat 9 dan 10, maka sahlah Dhuhanya sehingga 8 rakaat sahaja, manakala takbiratul ihramnya untuk Shalat Dhuha bagi rakaat ke-9 dan ke-10 adalah tidak sah kerana telah melebihi kadar sebanyak-banyak bilangan rakaat Dhuha. Maka tidak tepatlah apa yang disebut dalam buku Dr. Zulkifli hafizahullah tadi bahawa:- "Tidak sah solat Dhuha dilakukan yang lebih daripada dua rakaat dengan sekali salam sahaja, seperti lapan rakaat hanya sekali salam sahaja." Seharusnya diperbetulkan seumpama dikatanya: "Tidak sah solat Dhuha dilakukan yang lebih daripada lapan rakaat dengan sekali salam, seperti sepuluh rakaat hanya sekali salam sahaja".
2 ulasan:
T.kasih sidi atas pencerahan
Alhamdulillaah
Catat Ulasan