Istighatsah Ketika Sakit
Ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah membenarkan berdoa kepada Allah ta`ala secara bertawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Bahkan, perbuatan beristighatsah juga tidak dipermasalahkan oleh para ulama kita. Segala dalil dan hujah bagi perbuatan ini telah penuh dibicarakan dalam karya - karya dan fatwa - fatwa mereka. Antaranya adalah riwayat istighatsah yang dibaca setelah shalat hajat yang diajar oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kepada seorang buta dalam riwayat yang masyhur, diriwayatkan oleh para ahli hadits di antaranya Imam Ahmad bin Hanbal radhiyaAllahu `anhu dalam musnad beliau dengan sanad yang sahih. Maka berterusanlah doa beristighatsah tersebut diajar dari satu generasi ke satu generasi sehingga ke zaman kita sekarang.
Di kesempatan kali ini, faqir menukilkan kisah seseorang yang beristighatsah dengan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika beliau menderita sakit. Kisah ini terjadi setelah kewafatan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi ad-Dunya dalam karya beliau, Mujaabad Da'wah. Diriwayatkan pada halaman 85 sebagai berikut: Seorang lelaki telah datang kepada 'Abdul Malik bin Hayyan bin Sa`id bin al-Hasan bin Abjar (untuk mengadu mengenai sakit yang dihadapinya). Maka Ibnu Abjar memeriksa perut lelaki tersebut, lalu berkata: "Engkau menghidap penyakit yang tidak dapat diubat, iaitu penyakit ad-dubailah (seperti bisul atau ketumbuhan atau kanser). Lelaki tersebut pun berlalu pergi sambil berdoa sebanyak 3 kali dengan doa berikut: "Allah, Allah sahajalah Tuhanku dan tidaklah aku mensyirikkan sesuatu denganNya. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dan bertawajjuh kepadaMu dengan nabiMu Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, Nabi Pembawa Rahmat, Wahai Muhammad, sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanmu dan Tuhanku agar Dia mengasihaniku dan merahmatiku atas apa yang aku hidapi dengan rahmat yang mencukupi bagiku daripada menagih simpati dan berharap kepada belas ihsan selainNya. " Kemudian dia pergi lagi bertemu dengan Ibnu Abjar dan setelah diperiksa, Ibnu Abjar berkata kepadanya: "Engkau telah sembuh dan tiada lagi bagimu penyakit".
Allahu .... Allah, Allah yang Maha Penyembuh yang Maha Berkuasa memberikan kesembuhan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Sembuh atau tidak semuanya atas kehendak mutlak Allah ta`ala semata-mata. Kisah di atas dinukilkan hanya sebagai satu contoh menunjukkan bahawa berdoa dengan beristighatsah kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bukanlah sesuatu yang asing dalam amalan umat Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam zaman berzaman.
Allahu .... Allah, Allah yang Maha Penyembuh yang Maha Berkuasa memberikan kesembuhan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Sembuh atau tidak semuanya atas kehendak mutlak Allah ta`ala semata-mata. Kisah di atas dinukilkan hanya sebagai satu contoh menunjukkan bahawa berdoa dengan beristighatsah kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bukanlah sesuatu yang asing dalam amalan umat Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam zaman berzaman.
2 ulasan:
Tkasih sidi. Mohon dikongsi
jazakallah. saya juga mohon kongsi
Catat Ulasan