Rabbana Lakal Hamd
Syaikhul Azhar, al-Imam al-`Allaamah Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri rahimahullah dalam hasyiah beliau atas syarah Imam Ibnu Qasim al-Ghazi rahimahullah bagi matan Qadhi Abu Syuja' rahimahullah yang masyhur, juz 1, halaman 170 menjelaskan bahawa shighah tahmid yang disunatkan ketika i'tidal ada tujuh (7) lafaz. Lafaz - lafaznya adalah sebagai berikut:-
- Rabbana lakal hamd;
- Rabbana wa lakal hamd;
- Allahumma Rabbana lakal hamd;
- Allahumma Rabbana wa lakal hamd;
- Lakal hamdu Rabbana;
- Alhamdu li Rabbina; dan
- Li Rabbinal Hamd.
Maka, terhasillah pahala sunat dengan mana - mana lafaz tersebut. Namun yang biasa dan menjadi pilihan adalah dua yang pertama. Dalam mazhab kita, yang afdhal adalah lafaz yang pertama iaitu Rabbana lakal hamd sebagaimana pilihan asy-Syaikhan (dua syaikh yang utama menjadi tonggak mazhab Syafie, iaitu Imam ar-Rafie rahimahullah dan Imam an-Nawawi rahimahullah). Ini adalah kerana lafaz inilah yang paling kukuh datangnya daripada sunnah Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, antaranya sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari rahimahullah dalam shahihnya.
Manakala Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu sendiri lebih menyukai dan memilih lafaz yang kedua iaitu Rabbana wa lakal hamd. Ini adalah kerana lafaz tersebut selain tahmid ia juga menghimpun doa dan i'tiraf (pengakuan) yang difahami secara taqdir. Taqdir yang dimaksudkan di sini bukanlah atas istilah ilmu kalam atau ilmu aqidah atau ilmu sifat 20, yang merujuk kepada qadha` dan qadar Allah ta`ala. Taqdir di sini adalah menurut ilmu lughah / bahasa, yang secara ringkas ditakrifkan sebagai: "itsbatul ma'na ghairi madzkurin lafzan" iaitu "menetapkan suatu makna (pengertian yang difahami) yang tidak disebut dalam lafaz". Untuk mengetahui lebih lanjut tentang hal ini, kaedah dan syarat - masyruthnya, silalah dirujuk dalam kitab - kitab ilmu bahasa. Maka lafaz Rabbana wa lakal hamd itu taqdirnya adalah seumpama: Rabbana (istajib lana) wa lakal hamd (`ala hidayatika iyyana) - [Wahai Tuhan kami (terimalah bagi kami segala amalan dan permohonan) dan untukMu segala pujian (atas hidayah petunjukMu bagi kami)]; Atau, Rabbana (atha'naka) wa lakal hamd (`ala tawfiqika lana) - [Wahai Tuhan kami (kami telah mentaatiMu) dan untukMu segala pujian (atas tawfiqMu bagi kami)].
Inilah sedikit penjelasan mengenai lafaz - lafaz tahmid ketika i'tidal. Semoga bermanfaat dan bertambah pengetahuan kita mengenai ibadah asasi kita.





