Rabu, September 06, 2006

Nishfu Sya'baan 2 - Syaikh Ahmad

  • Dan telah menghimpun oleh ulama akan beberapa doa yang ma`tsur yang munasabah dengan hal yang tertentu dengan malam Nishfu, membaca akan dia oleh muslimun pada demikian itu malam, berseorang diri atau berhimpun pada perhimpunan mereka itu atau pada lain-lainnya mengajar akan mereka itu oleh seorang daripada mereka itu atau pun mendoa ia dan yang lain me(ng)aminkan atasnya. Dan kaifiyatnya bahawa dibaca pada mula-mula dahulu daripada berdoa kemudian daripada sembahyang Maghrib akan surah Yaasin 3 kali. Pada bacaan yang pertama dengan niat minta panjang umur, dan yang kedua dengan niat menolakkan bala`, dan yang ketiga dengan niat terkaya daripada manusia. Dan tiap-tiap dibaca Yaasin satu kali, dibaca kemudiannya akan doa satu kali. Maka inilah doa yang tersebut (...lihat di atas).

Ikhwah, inilah kaifiyat yang disebut oleh Mufti Syaikh Ahmad Muhammad Sa`id dalam "Tuhfatul Awthan wal Ikhwan" dan yang lazim diamalkan oleh masyarakat kita. Dalam beramal tu, biarlah dengan tulus hati memohon anugerah Ilahi, baik anugerah di akhirat berupa pahala dan keselamatan di akhirat maupun anugerah nikmat zahir kat dunia yang fana ini berupa umur yang panjang lagi berkat, keselamatan dari bala bencana duniawi dan kelapangan rezeki yang halal. Bacalah dengan tenang dan betul tajwidnya, jangan berlumba mengejar masa, biar sahaja masa berlalu kerana ianya dilalui dalam keadaan kita beribadah membaca al-Quran dan bermunajat kepada Ilahi. Seelok-eloknya, kita usahakan untuk membaca 3 kali surah Yaasin kerana menurut panduan dan amalan para ulama kita. Baca Yaasin sebelum berdoa ini adalah termasuk dalam bab bertawassul dengan amal sholeh sebelum berdoa, dan tawassul ngan amal sholeh, geng anak Pak Wahab pun tak bantah. Tetapi kalau tak dapat 3 kali, sekali pun boleh, bukannya wajib, tak baca pun boleh, tapi sendiri kena ingat bahawasanya Allah tidak akan mensia-siakan amalan orang yang beramal. Kalau gopoh-gopoh takut tercicir pulak dhommah, syaddah, iqlab, ikhfa` dan idhgham bacaannya, terlanggar pulak hukum-hakam tajwid, jatuh berdosa pulak. Apa-apa pun buat yang terbaik, kemudian serah kat Allah. Yang tak nak baca Yaasin atau yang tak nak sambut Nishfu, hang pa baliklah rumah, Isya` nanti mai pulak untuk sholat berjemaah, respect sikit kat orang yang nak baca, tok sah nak tunjuk keras kepala dan kurang ajar.

Selasa, September 05, 2006

Nishfu Sya`baan - Syaikh Ahmad


Kenyataan yang ke-7 pada menyebutkan barang yang dituntut pada bulan Sya`baan yang mulia. Diriwayatkan daripada 'Atha` bin Yasaar r.a. berkata ia: "Apabila adalah malam Nishfu Sya`baan menasakhlah oleh Malakul Maut alaihish sholatu was salam akan tiap-tiap mereka yang lagi akan mati daripada Sya`baan kepada Sya`baan."

Dan bahawasa laki-laki sesungguhnya menzalim ia dan berjahat ia dan bernikah ia akan perempuan dan menanam ia akan pohon-pohon kayu, hal keadaannya telah dinaskhkan namanya daripada orang yang hidup kepada orang yang mati.

Dan tiada daripada satu malam kemudian daripada malam Lailatul Qadar yang terlebih afdhal daripada malam Nishfu Sya`baan.

Kemudian ketahui olehmu bahawasa barang yang menyuruh akan dia oleh Allah ta`ala kemudian daripada menzahir akan dia bagi malaikat alaihimush sholatu was salam tiadalah diganti akan dia dan diubahi, bersalahan barang yang belum dizahirNya bagi malaikat dan adalah ia pada al-Lauh al-Mahfuzh, maka bahawasa Allah mempadam Ia akan dia dan menetap Ia akan barang yang Ia menghendaki.

Dan telah diriwayatkan beberapa atsar dan hadits-hadits ahad memberi faedah ia akan bahawasa me(ng)hukum oleh Allah ta`ala pada itu malam yang diberkatkan akan tiap-tiap ajal dan 'amal dan rizqi hingga kepada seumpama itu malam pula pada tahun yang lain. Dan pada kebanyakan daripada akhbar simpan atas ajal-ajal sahaja.

Dan hikmah menentukan itu malam dengan demikian itu nasakh ialah menggemarkan dan menakutkan bagi mukallaf supaya gemarlah ia dahulu daripada datang itu malam pada membuat kebajikan dan takut ia daripada membuat maksiat-maksiat dan bersungguh-sungguh ia pada itu malam dengan membuat taat supaya mudah-mudahan menulis oleh Allah ta`ala pada itu malam akan bahagianya. Dan demikian juga adalah halnya kemudian pergi itu malam kerana takut daripada bahawa ditulis akan dia pada itu malam daripada orang yang mati itu tahun, maka bersedialah ia bagi berjumpa Allah ta`ala dengan membanyakkan ibadah dan amalan, maka adalah yang demikian kelakuan mereka-mereka yang ditaufiq oleh Allah ta`ala, ja`alanaAllahu minhum aamiin.

Dan berkata di dalam kitab "Tuhfatul Ikhwan" telah bersabda Nabi s.a.w.:- "Bahawasa Allah ta`ala mengampun Ia bagi sekalian muslimin pada itu malam melainkan tiada mengampun Ia bagi tukang kahaanah dan tukang sihir dan orang yang berseteru dengan menaruh dendam di dalam hati atau orang yang melazimkan minum arak atau orang yang derhaka bagi dua ibubapanya." Kemudian mendatang ia yakni al-'Allaamah al-Fasyani seumpama demikian itu daripada beberapa hadits hingga berkata ia:- "Dan telah berhimpunlah daripada beberapa riwayat bahawa mereka yang didindingkan daripada ampun dan rahmat Tuhan orang yang musyrik dan orang yang berseteru dengan menaruh dendam di dalam hati dan orang yang mengambil akan cukai dan yang membunuh orang dan yang memutuskan rahim dan yang melabuhkan akan kain hingga melampaukan tumit dan orang yang berzina dan orang yang meminum arak dan orang yang mendua muka dan orang yang membuat tashwir dan orang yang derhaka bagi ibu bapa dan orang yang menipu perniagaan dan orang yang bid`ah dan rafidhi yang adalah pada hatinya benci dan seteru bagi sahabat r.anhum ajma`in." Maka barangsiapa berperangai ia dengan sesuatu daripada ini-ini dosa nescaya luputlah akan dia oleh untung dengan ampun Allah ta`ala pada malam Nishfu daripada Sya`baan, melainkan bahawa kembalilah ia daripada dosanya dan taubat ia kepada Tuhannya dan me(ng)ikhlas ia akan taubatnya dan membasuh ia dengan air kekesalan akan kesalahannya, maka pada ketika itu memasuk oleh Allah ta`ala dengan dia akan sebaik-baik jalan dan memasuk akan dia di dalam jumlah mereka-mereka yang diampun oleh Tuhan akan dosa-dosa mereka itu. Dan barangsiapa taatkan Allah dan rasulNya maka sesungguhnya telah beruntunglah ia akan sebagai untung yang sangat besar.

Dan setengah daripada barang yang beradat pada ini malam bahawa bertambahlah padanya air zam-zam sebagai bertambah yang nyata.

Dan disunnatkan menghidup ini malam dengan beribadah. Telah meriwayat oleh al-Ashfahaani pada "at-Targhiib" daripada Sayyidina Mu`aadz bin Jabal berkata ia telah bersabda Rasulullah s.a.w.:- "Barangsiapa menghidup ia akan malam-malam yang lima wajiblah baginya syurga, malam yang ke-lapan daripada Dzulhijjah dan malam 'Arafah dan malam Raya Haji dan malam Raya Puasa dan malam Nishfu Sya`baan."

Berkata setengah ulama, dilebihkan bulan Rejab pada 'asyarnya yang pertama kerana kelebihan awal malam daripadanya, dan dilebihkan bulan Sya`baan pada 'asyarnya yang tengah oleh malam nishfu daripadanya dan dilebihkan bulan Ramadhan pada 'asyarnya yang akhir oleh kerana Lailatul Qadar padanya.

*****************************

  • Ikhwah, di atas adalah petikan tulisan seorang waliyullah al-'Alim al-'Allaamah asy-Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id bin Jamaaluddin al-Linqi al-Malayuwi rhm., mantan mufti Negeri Sembilan Darul Khusus, dalam karangannya berjodol "Tuhfatul Awthan wal Ikhwan" mukasurat 74 - 77. Di sisi ulama kita Ahlus Sunnah wal Jamaah, kelebihan malam Nishfu Sya`baan ini adalah sabit melalui beberapa hadits yang boleh dijadikan dalil dan hujjah dalam bab fadhail. Syaikh Muhammad bin 'Abdur Rahman al-Mubarakfuri rhm. dalam "Tuhfatul Ahwadzi bi Syarhi Jami` at-Tirmidzi", juzuk 3 mukasurat 442 menyatakan antara lain:- "...Hadits-hadits fadhilat malam Nishfu Sya`baan itu secara keseluruhan adalah hujjah yang mematahkan pendapat yang mengatakan bahawa tidak ada satu dalil pun tentang fadhilah malam Nishfu Sya'baan."
  • Buya Habib Muhammad al-Maliki telah menulis karangan khusus mengenai kelebihan dan amalan bulan Sya`baan termasuk malam Nishfunya dengan jodol "Madza fi Sya`baan". Di dalam karangannya tersebut pada mukasurat 100 - 101, Habib Muhammad al-Maliki telah menyatakan bahawa pembacaan doa yang masyhur lagi mujarrab (yakni doa Nishfu Sya`baan yang biasa orang kita baca) yang mana sebahagian besarnya diceduk dari doa yang diriwayatkan daripada Sayyidina Ibnu Mas`ud r.a. sebagaimana dikeluarkan oleh Imam Ibnu Abi Syaibah dalam "al-Mushannaf" dan Imam Ibnu Abi ad-Dunya dalam "ad-Du`a`", bersama-sama tertib susunan pembacaan surah Yaasin telah berlaku sebagai satu adat (yakni kebiasaan umat ini). Walaupun Buya al-Maliki telah memberi komentarnya berhubung penambahan kalimah "fi ummil kitab" dalam doa tersebut yang dianggapnya sebagai kesilapan penyalin, tetapi beliau sekali-kali tidak membid`ahsesatkan amalan tersebut, bahkan beliau menyatakan doa tersebut sebagai masyhur dan mujarrab serta pembacaannya beserta surah Yaasin telah menjadi satu adat kebiasaan. Berhubung dengan komen beliau di atas ianya bertitik tolak kepada pengertian "ummul kitab", sebahagian ulama mengatakan bahawa apa yang termaktub dalam "ummul kitab" atau "lauh mahfudz" itu sekali-kali tidak boleh diubah, manakala sebahagian ulama lain berpendapat apa yang ditulis dalam "ummul kitab" masih boleh ditukar menurut kehendak Allah selagimana ianya belum dizahirkan kepada para malaikat seperti penjelasan Syaikh Ahmad di atas. Di sinilah tempat berlaku khilaf antara dua golongan ulama kita ini. Perbahasan mengenainya adalah panjang, masing-masing punya dalil dan bukanlah ruang untuk orang miskin seperti kita ini mencampurinya. Apa yang penting ialah kedua-dua golongan ulama kita ini tidaklah memandang salah dan serong bagi umat menjalankan kebiasaan mereka membaca Yaasin dan doa Nishfu Sya`baan pada malam tersebut.
  • Rata-rata doa yang diamalkan oleh masyarakat kita mempunyai penambahan "fi ummil kitab" sebagaimana yang termaktub dalam kitab-kitab karangan ulama-ulama kita di sini seperti Syaikh Ahmad dalam kitabnya di atas, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dalam "Badaa-i'uz Zuhur" dan lain-lain ulama Melayu. Bagi diriku yang dhoif, aku lebih suka mengamalkan doa yang tanpa penambahan tersebut kerana riwayat daripada Sayyidina Ibnu Mas`ud tidak mengandungi penambahan itu dan doa Nishfu Sya`baan himpunan al-Imam al-Habib al-Quthub Hasan bin Syaikhul Islam al-Habib al-Quthub 'Abdullah al-Haddad juga tidak memuatkan penambahan "fi ummil kitab" tersebut. Tetapi tidaklah menjadi kesalahan bagi seseorang untuk berpegang dengan doa yang dengan tambahan itu kerana ianya juga mempunyai sandaran kepada sebahagian ulama yang 'amilin lagi mukhlishin lagi banyak jasa lagi tak sombong lagi tak ego lagi tak jual agama lagi tak suka membid`ahsesatkan sesama umat lagi tak suka mensyirikkan sesama umat lagi tak suka mengkafirkan sesama umat. Akhirul kalam dengan pernyataan Buya Maliki bahawa amalan membaca Yaasin dan berdoa dengan doa Nishfu Sya'baan telah berlaku menjadi adat kebiasaan umat, maka tertolaklah dakwaan geng Salafi Gadungan yang syok sendiri bahawa hanya orang Malaysia saja dok buat amalan ini. Oleh itu, peganglah panduan para ulama kita dan biarlah geng-geng salafi-wahhabi-asri-thtl-zain.y.s.-wahidah-rasuldahri terojun ngan labu-labu mereka. Allahu a'laam.

Tawassul - Bicara Habib Munzir

Memang banyak pemahaman saudara-saudara kita muslimin yang perlu diluruskan tentang tawassul, tawassul adalah berdoa kepada Allah dengan perantara amal shalih, orang shalih, malaikat, atau orang-orang mukmin. Tawassul merupakan hal yang sunnah, dan tak pernah ditentang oleh Rasul saw, tak pula oleh Ijma Sahabat radhiyallahuanhum, tak pula oleh Tabiin, dan bahkan para Ulama dan Imam-Imam besar Muhadditsin, mereka berdoa tanpa perantara atau dengan perantara, dan tak ada yang menentangnya, apalagi mengharamkannya, atau bahkan memusyrikkan orang yang mengamalkannya.

Pengingkaran hanya muncul pada abad ke 19-20 ini, dengan munculnya sekte sesat yang memusyrikkan orang-orang yang bertawassul, padahal Tawassul adalah sunnah Rasul saw, sebagaimana hadits shahih di bawah ini : Wahai Allah, Demi orang-orang yang berdoa kepada Mu, demi orang-orang yang bersemangat menuju (keridhoan)Mu, dan Demi langkah-langkahku ini kepada (keridhoan)Mu, maka aku tak keluar dengan niat berbuat jahat, dan tidak pula berniat membuat kerusuhan, tak pula keluarku ini karena riya atau sumah....... hingga akhir hadits. (HR Imam Ahmad, Imam Ibn Khuzaimah, Imam Abu Naiem, Imam Baihaqy, Imam Thabrani, Imam Ibn Sunni, Imam Ibn Majah dengan sanad Shahih). Hadits ini kemudian hingga kini digunakan oleh seluruh muslimin untuk doa menuju masjid dan doa safar. Tujuh Imam Muhaddits meriwayatkan hadits ini, bahwa Rasul saw berdoa dengan Tawassul kepada orang-orang yang berdoa kepada Allah, lalu kepada orang-orang yang bersemangat kepada keridhoan Allah, dan barulah bertawassul kepada Amal shalih beliau saw (demi langkah2ku ini kepada keridhoanMu).


Siapakah Muhaddits?, Muhaddits adalah seorang ahli hadits yang sudah hafal 10.000 (sepuluh ribu) hadits beserta hukum sanad dan hukum matannya, betapa jenius dan briliannya mereka ini dan betapa Luasnya pemahaman mereka tentang hadist Rasul saw, sedangkan satu hadits pendek, bisa menjadi dua halaman bila disertai hukum sanad dan hukum matannya. Lalu hadits di atas diriwayatkan oleh tujuh Muhaddits, apakah kiranya kita masih memilih pendapat madzhab sesat yang baru muncul di abad ke 20 ini, dengan ucapan orang-orang yang dianggap muhaddits padahal tak satupun dari mereka mencapai kategori Muhaddits, dan kategori ulama atau apalagi Imam Madzhab, mereka bukanlah pencaci, apalagi memusyrikkan orang-orang yang beramal dengan landasan hadits shahih.


Masih banyak hadits lain yang menjadi dalil tawassul adalah sunnah Rasul saw, sebagaimana hadits yang dikeluarkan oleh Abu Nu'aim, Thabrani dan Ibn Hibban dalam shahihnya, bahwa ketika wafatnya Fathimah binti Asad (Bunda dari Sayyidina Ali bin Abi Thalib kw, dalam hadits itu disebutkan Rasul saw rebah/bersandar dikuburnya dan berdoa : Allah Yang Menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Hidup tak akan mati, ampunilah dosa Ibuku Fathimah binti Asad, dan bimbinglah hujjah nya (pertanyaan di kubur), dan luaskanlah atasnya kuburnya, Demi Nabi Mu dan Demi para Nabi sebelum ku, Sungguh Engkau Maha Pengasih dari semua pemilik sifat kasih sayang., jelas sudah dengan hadits ini pula bahwa Rasul saw bertawassul di kubur, kepada para Nabi yang telah wafat, untuk mendoakan Bibi beliau saw (Istri Abu Thalib).


Demikian pula tawassul Sayyidina Umar bin Khattab ra. Beliau berdoa meminta hujan kepada Allah : "Wahai Allah, kami telah bertawassul dengan Nabi kami (saw) dan Engkau beri kami hujan, maka kini kami bertawassul dengan Paman beliau (saw) yang melihat beliau (saw), maka turunkanlah hujan..”. maka hujanpun turun. (Shahih Bukhari hadits no.963 dan hadits yang sama pada Shahih Bukhari hadits no.3508). Umar bin Khattab ra melakukannya, para sahabat tak menentangnya, demikian pula para Imam-Imam besar itu tak satupun mengharamkannya, apalagi mengatakan musyrik bagi yang mengamalkannya, hanyalah pendapat sekte sesat ini yang memusyrikkan orang yang bertawassul, padahal Rasul saw sendiri bertawassul. Apakah mereka memusyrikkan Rasul saw ? Dan Sayyidina Umar bin Khattab ra bertawassul, apakah mereka memusyrikkan Umar ?, Naudzubillah dari pemahaman sesat ini.


Mengenai pendapat sebagian dari mereka yang mengatakan bahwa tawassul hanya boleh pada orang yang masih hidup, maka entah dari mana pula mereka mengarang persyaratan tawassul itu, dan mereka mengatakan bahwa orang yang sudah mati tak akan dapat memberi manfaat lagi, pendapat yang jelas-jelas datang dari pemahaman yang sangat dangkal, dan pemikiran yang sangat buta terhadap kesucian tauhid.


Jelas dan tanpa syak bahwa tak ada satu makhlukpun dapat memberi manfaat dan mudharrat terkecuali dengan izin Allah, lalu mereka mengatakan bahwa makhluk hidup bisa memberi manfaat, dan yang mati mustahil. Lalu di mana kesucian tauhid dalam keimanan mereka ? Tak ada perbedaan dari yang hidup dan yang mati dalam memberi manfaat kecuali dengan izin Allah, yang hidup tak akan mampu berbuat terkecuali dengan izin Allah, dan yang mati pun bukan mustahil memberi manfaat bila dikehendaki Allah. karena penafian kekuasaan Allah atas orang yang mati adalah kekufuran yang jelas.


Ketahuilah bahwa tawassul bukanlah meminta kekuatan orang mati atau yang hidup, tetapi berperantara kepada keshalihan seseorang, atau kedekatan derajatnya kepada Allah swt, sesekali bukanlah manfaat dari manusia, tetapi dari Allah, yang telah memilih orang tersebut hingga ia menjadi shalih, hidup atau mati tak membedakan Kudrat Ilahi atau membatasi kemampuan Allah, karena ketakwaan mereka dan kedekatan mereka kepada Allah tetap abadi walau mereka telah wafat.


Contoh lebih mudah, anda ingin melamar pekerjaan, atau mengemis, lalu anda mendatangi seorang saudagar kaya, dan kebetulan mendiang tetangga anda yang telah wafat adalah abdi setianya yang selalu dipuji oleh si saudagar, lalu anda saat melamar pekerjaan atau mungkin mengemis pada saudagar itu, anda berkata : "Berilah saya tuan (atau) terimalah lamaran saya tuan, saya mohon, saya adalah tetangga dekat fulan, nah bukankah ini mengambil manfaat dari orang yang telah mati? Bagaimana dengan pandangan bodoh yang mengatakan orang mati tak bisa memberi manfaat? Jelas-jelas saudagar akan sangat menghormati atau menerima lamaran pekerjaan anda, atau memberi anda uang lebih, karena anda menyebut nama orang yang ia cintai, walau sudah wafat, tapi kecintaan si saudagar akan terus selama saudagar itu masih hidup, pun seandainya ia tak memberi, namun harapan untuk dikabulkan akan lebih besar, lalu bagaimana dengan ar-Rahmaan ar-Rahiim, Yang Maha Pemurah dan Maha Menyantuni? Dan tetangga anda yang telah wafat tak bangkit dari kubur dan tak tahu menahu tentang lamaran anda pada si saudagar, NAMUN ANDA MENDAPAT MANFAAT BESAR DARI ORANG YANG TELAH WAFAT.


Aduh...aduh... entah apa yang membuat pemikiran mereka sempit hingga tak mampu mengambil permisalan mudah seperti ini. Firman Allah : "MEREKA ITU TULI, BISU DAN BUTA DAN TAK MAU KEMBALI PADA KEBENARAN" (QS Albaqarah-18). Wahai Allah beri hidayah pada kaumku, sungguh mereka tak mengetahui.Wassalam.

Isnin, September 04, 2006

Perintah Bersholawat

Inilah firman Allah yang rata-rata diketahui umum, bahkan dihafal oleh ramai. Tradisi kat tempat aku, sebelum Tok Khatib naik mimbar untuk berkhutbah, tak kiralah khutbah apa, khutbah Jumaat maupun khutbah hari raya, maka Tuan Bilal akan melantunkan bacaan ayat ini. Di dalam khutbah kedua nanti, maka sekali lagi ayat ini dibaca oleh Tok Khatib sebagai peringatan dan saranan untuk sentiasa bersholawat atas Junjungan s.a.w. Sungguh amalan bersholawat sudah sebati dalam amalan harian tok nenek kita dahulu. Malangnya 'kaum mudah' zaman ini, yang memandang diri mereka sahaja yang faham agama dan hanya mereka lurus agamanya, telah merendah-rendahkan kefahaman agama tok nenek kita dahulu, sehingga disamakan tok nenek kita yang beriman dan beramal itu dengan kaum musyrikin dan jahiliah, antaranya kerana mereka mengamalkan amalan-amalan yang dihukumkan bid`ah dan sesat, bahkan sampai ada yang tergamak menghukumkan mereka syirik.

Bila tok nenek kita duduk berkumpul membaca dan mendengar bacaan mawlid Junjungan s.a.w. sambil bersholawat, maka timbul golongan yang anti-mawlid. Apa semua ini ? Kan elok orang kumpul baca kisah Junjungan s.a.w. sambil sholawat daripada kumpul berborak kosong atau jadi penganalisa politik atau kumpul depan TV tengok Siti (maaf... Datin Siti) bersanding 2 - 3 kali atau paling dahsyat jadi penceramah bebas pembahagi neraka dan syurga buat sesama umat.

Bila tok nenek kita baca sholawat dengan tambahan siyaadah, maka muncul pula golongan anti-siyaadah, golongan yang gemar sebut nama Junjungan s.a.w. macam dia panggil kekawan dia sahaja. Sedangkan para ulama kita menghukumkan elok, dituntut, bagus, baik, awla, untuk menambah lafaz siyaadah sebelum menyebut nama Junjungan s.a.w. yang mulia, baik ketika sholat maupun di luarnya. Perkara ini antara lain telah dijelaskan oleh 'Allaamah Syaikh Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdaani dalam "Fathul 'Allaam bi syarhi Mursyidil Anaam" juzuk 2 mukasurat 293, antara lain:-

  • "Dan telah diketahui bahawasanya pendapat yang mu'tamad (yakni qawl mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i) adalah dituntut penambahan siyadah sebelum lafaz "Muhammad" sebagai menjaga bagi adab. Dan sebagaimana dikatakan oleh sebahagian ulama, sewajarnya juga tambahan tersebut sebelum lafaz "Ibrahim".

Oleh itu, harap ikhwah budiman, jangan lagi ragu untuk menambah siyaadah dalam sholawat kalian, ketika dalam sholat maupun di luarnya, menurut pegangan mazhab kita yang luhur. Bagi yang tidak mahu, tidaklah menjadi persoalan besar, asalkan tidak dengan niat biadap atau merendahkan maqam dan martabat Junjungan s.a.w.. Maka terpulanglah kepada amalan masing-masing. Dia ada hujjah, kita pun ada hujjah. Dia ada sandaran, kita pun ada sandaran, so berlapang dadalah, tok sah nak berbalah dan salah - menyalah, karang dalam perang kalah, Zionis pula makin naik tocang ngeso olah. Shallu 'alan Nabiy

Allahumma sholli wa sallim 'ala Sayyidina Muhammad.

Ahad, September 03, 2006

Sya`baan Bulan Junjungan

Ikhwah, masyhur di sisi awam bahawa bulan Sya`baan ini adalah bulan Junjungan Nabi s.a.w. Antara keistimewaannya sehingga dikatakan sedemikian adalah kerana dalam bulan inilah turunnya ayat 56 surah al-Ahzab yang masyhur memperikan kemuliaan Junjungan sehingga dikatakan Allah s.w.t. dan para malaikatNya bersholawat ke atas Junjungan s.a.w. Dan dalam ayat tersebut umat beriman turut diperintahkan untuk bersholawat serta mengucapkan salam ke atas Junjungan s.a.w. Imam Ibnu ash-Shoif al-Yamani menyatakan:- "Bahawasanya bulan Sya'baan adalah bulan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. kerana ayat "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya bersholawat ke atas Nabi, wahai orang-orang beriman bersholawatlah kamu ke atas baginda dan ucapkanlah salam kesejahteraan" diturunkan dalam bulan ini. Inilah juga pernyataan ramai ulama sebagaimana disebut oleh Imam al-Qasthalani. Oleh itu, mari kita perbanyakkan lagi wirid sholawat kita ke atas Junjungan s.a.w. dan kita pertingkatkan lagi pengamalan sunnah Junjungan s.a.w. dalam kehidupan kita sehari-hari. Antara kelebihan dan kemuliaan amalan bersholawat adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ibnu Farhun al-Qurthubi:-
  • Ketahuilah bahawasanya pada sholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. itu ada 10 kekeramatan (kemuliaan):-
    1. memperolehi sholawat Malikul Jabbar;
    2. mendapat syafaat Nabiyul Mukhtar;
    3. mengikut akan Malaaikatul Abraar;
    4. menyalahi akan munaafiqiin dan kuffaar;
    5. menghapuskan khothooyaa dan awzaar (dosa dan kesalahan);
    6. membantu menyampai hawaaij dan awthaar (segala hajat);
    7. menyinari akan dzawaahir dan israar (cahaya zahir dan bathin);
    8. keselamatan dari darul bawaar (neraka);
    9. dapat masuk ke darul qaraar ( syurga );
    10. mendapat salam Tuhan ar-Rahiim al-Ghaffaar.

Allahumma sholli wa sallim 'ala Sayyidina Muhammad

wa 'ala alihi wa ashhaabih.

Sabtu, September 02, 2006

Syaikh Sulaiman ar-Rasuli


Syaikh Sulaiman ar-Rasuli atau terkenal di antara para muridnya dengan panggilan Maulana Syaikh Sulaiman adalah seorang ulama besar Minangkabau. Beliau dilahirkan di Candung, Sumatera Barat pada tahun 1287H dan wafat pada tahun 1390H.

Beliau adalah seorang ulama besar yang gigih mempertahankan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah bermazhab Syafi`i. Sebelum meneruskan pelajarannya ke Makkah al-Mukarramah, beliau terlebih dahulu belajar, antara lain kepada Syaikh Yahya al-Khalidi Magak Bukit Tinggi. Di Makkah, beliau berguru dengan Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif Minangkabau, Syaikh Wan Ali Kutan al-Kelantani, Syaikh Ahmad Muhammad Zain al-Fathani dan ramai lagi ulama di sana. Beliau adalah seangkatan dengan ulama-ulama Nusantara seperti Syaikh Abbas Ladang Lawas, Syaikh Jamil Jaho Padang Panjang, Kiyai Hasyim Asy`ari, Syaikh Hasan Maksum, Syaikh Khatib Ali Minangkabau, Syaikh Zain Simabur, Syaikh Muhammad Yusuf Kenali (Tok Kenali al-Kelantani) dan Syaikh Utsman Sarawak. Bersama-sama Syaikh Abbas Ladang Lawas dan Syaikh Jamil Jaho, mereka bertiga ini dikenali sebagai "tali pilin tiga" yang kuat dan kukuh mempertahankan faham Ahlus Sunnah wal Jama`ah bermazhab Syafi`i.

Sekembalinya Syaikh Sulaiman ke Sumatera, beliau mula mengajar menurut sistem pondok. Walau bagaimanapun, pengajian sistem pondok secara halaqah iaitu bersila di lantai dalam pendidikan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli berubah menjadi sistem persekolahan duduk di bangku pada 1928, namun kitab-kitab yang diajar tidak pernah diubah. Setiap tahun beliau memberikan ijazah kepada murid-muridnya yang telah tamat, di mana dalam ijazah-ijazah tersebut dinyatakan bahawa pemegangnya kalau hendak berfatwa mestilah menurut mazhab Syafi`i. Hal ini dipegang teguh oleh beliau sehingga dinyatakan dalam ijazah-ijazah tersebut bahawa beliau tidak redha dunia-akhirat, kalau murid-muridnya memfatwakan dan menganut mazhab lain.

Pada tahun 1921, beliau dan beberapa ulama termasuk 2 sahabatnya tadi telah menubuhkan sebuah organisasi agama bernama "Ittihadul Ulama Sumatera" yang bertujuan untuk menegakkan dan mempertahankan faham Sunni Syafi`i. Antara aktiviti organisasi ini adalah menerbitkan majalah "ar-Radd wal Mardud" yang menjelaskan serta mempertahankan fahaman Sunni Syafi`i.

Pada tahun 1928, Syeikh Sulaiman ar-Rasuli bersama sahabat-sahabatnya Syeikh Abbas Ladang Lawas dan Syeikh Muhammad Jamil Jaho mendirikan pula persatuan sekolah-sekolah agama dengan nama "Persatuan Tarbiyah Islamiyyah", di mana seluruh madrasah dan pondok yang bergabung dengannya dinamakan "Madrasah Tarbiyah Islamiyyah". Seluruh madrasah dan pondok tersebut diubah gaya pengajiannya dengan memakai papan hitam, meja dan bangku, tetapi isi pelajaran dan kitab-kitabnya tetap sama tidak berubah iaitu kitab-kitab mazhab Syafi`i dan Ahlus Sunnah wal Jama`ah, antaranya, "Matan Taqrib", "Fathul Qarib", "Fathul Mu`in", "I`anathuth Tholibin" dan "Mahalli". Maka bertebaranlah madrasah-madrasah ini di seluruh Sumatera dari Aceh hingga ke Lampung, bahkan mencapai Sintang, Kalimantan Barat. Kemudian organisasi ini bukan sahaja bergiat dalam pendidikan, tetapi ia juga bergiat dalam politik sebagai sebuah parti politik yang mempunyai singkatan nama PERTI. Baik dalam sistem pendidikan mahupun perjuangan dalam parti politik, Syeikh Sulaiman ar-Rasuli dan kawan-kawannya secara tegas dan berani mempertahankan dan berpegang dengan satu mazhab, iaitu Mazhab Syafi`i.

Antara kitab-kitab karangan beliau adalah:-
1. Dhiya-us Siraj fil Isra` wal Mi'raj;
2. Tsamaratul Ihsan fi wiladah Sayyidil Insan;
3. Dawa-ul Qulub fi qishshah Yusuf wa Ya'qub;
4. Risalah al-Aqwal al-Washitah fidz-Dzikri war-Rabithah;
5. al-Qaulul Bayan fi Tafsiril Quran;
6. Al-Jawahirul Kalamiyyah;
7. Sabilus Salamah fi wird Sayyidil Ummah;
8. Perdamaian Adat dan Syara`; dan
9. Kisah Muhammad 'Arif (tasawwuf).

Sungguh beliau ini ulama besar yang jarang tandingannya, kukuh dan kuat mempertahankan agama berorientasikan Sunni Syafi`i. Beliau pergi menemui Ilahi dalam usia 85 tahun pada 28 Rabi`ul Akhir 1390H bersamaan 1 Ogos 1970 dan dimakamkan di Komplek Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah, Candung, Bukit Tinggi. Jenazah beliau diiringi oleh puluhan ribu umat beserta para 'ulama dan umara`nya. Bendera Republik Indonesia dikibarkan setengah tiang selama 3 hari berturut-turut oleh Pemerintah dan rakyat Sumatera Barat, untuk menyatakan belasungkawa dengan pemergian al-'Alim al-'Allamah al-Fadhil Maulana Syaikh Sulaiman ar-Rasuli bin Angku Muhammad Rasul al-Minkabawi. Moga-moga Allah sentiasa mencucuri rahmat dan keredhaan ke atasnya serta menempatkan beliau bersama Junjungan Nabi s.a.w. dan para shiddiqin, aamiin.....al-Fatihah.

Jumaat, September 01, 2006

Seminar Perpaduan Ummah 2006 - UIA

2 - 3 September 2006
Pusat Aktiviti Kebudayaan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Gombak.

Moh datang ramai-ramai.
Rugi kalau tak datang
Datang jangan tak datang
Datang jangan tak datang.
Antara kertaskerja yang akan dibentangkan:-
(i) Perbahasan Hadis Jariah;
(ii) Kebatilan Pembahagian Tauhid Kepada tiga (i.e. Pengajian tauhid 3 in 1);
(iii) Hukum - hakam Kubur;
(iv) Pentashihan Hadith Tawassul & Ziarah;
(v) Konsep Takwil & Tafwidh.
dll....