Khamis, April 13, 2023

Badriyyah & Bid`ah Masjid

Umum mengetahui dan pernah mendengar lantunan Shalawat Badar yang masyhur susunan KH Ali Mansur rahimahullah. Seorang lagi ulama Nusantara yang telah menyusun shalawat dengan tema Ahli Badar adalah KH Mahmud Mukhtar asy-Syarbuni rahimahullah, ulama kenamaan Cirebon yang wafat tahun 2008. Shalawat tersebut beliau namakan sebagai Shalawat al-Badriyyah. Selain shalawat tersebut beliau turut menulis sebuah kitab menazamkan nama - nama Ahli Badar yang diberi jodol Syarhus Shadri bi Ahli Badri.

Syarhus Shadar
 beliau tulis sekitar tahun 1960an, ketika beliau bermukim di Pesantren Bendo, Pare, Kediri, Jawa Timur, di bawah asuhan KH Khozin yang merupakan bapa saudara kepada Kiyai Ihsan Dahlan Jampes, Kediri, pengarang Sirajuth Thalibin syarah bagi Minhajul Abidin. Nazam beliau ini juga telah diberi taqridz (kata alu - aluan) oleh beberapa ulama besar Jawa Timur ketika itu, seperti KH Jazuli Usman Ploso, KH Abdul Majid Kedunglo, KH Musta`in Romli Peterongan dan KH Mundzir Bakri Mangusari. Selain menjadi pengasuh Pesantren Darul `Ulumisy Syar`iyyah, Bode, Plumbon, Cirebon, KH Mahmud juga banyak menulis, antara karya beliau adalah:-
  1. Mandzumatud Durratis Saniyyah fi Ilmit Tafsir (ilmu tafsir);
  2. Mawahibul Mughits fi musthalah al-hadits (ilmu musthalah hadis);
  3. Syarah Jawharil Maknun ( Bahasa Arab);
  4. al-Musyriq fi ilmil mantiq (ilmu logika);
  5. Ghunyatul Miskin fi Mandzumatis Sittin (ilmu fiqh);
  6. Nukhbatul Banin min Ummil Barahin (ilmu tawhid);
  7. I`anatur Rafiq  fi nadzmi Sullamit Tawfiq (ilmu fikih); 
  8. Bintus Sa`ah fi `Awamil Mi`ah (Bahasa Arab);
  9. Bida`ul Masajid; dan
  10. Ghayatuz Zain (ilmu fiqh).
Beberapa hari yang lalu, tersebar di medsos suatu insiden, di mana seorang kafir telah mendatangi sebuah surau dengan marah - marah kerana pembesar suara yang digunakan untuk memperdengarkan bacaan imam ketika shalat tarawih terlalu bising sehingga menyebabkan dia terganggu. Sebenarnya perkara ini, sedar tak sedar, sering kali dilakukan oleh masjid dan surau kita. Pembesar suara hendaklah digunakan dengan sewajarnya dan tidak disalahgunakan. Namun apa yang kerap berlaku adalah penyalahgunaan pembesar suara sehingga mengakibatkan gangguan kepada pihak lain. Islam tidak melarang penggunaan pembesar suara, apatah lagi untuk urusan seperti mengumandangkan azan. Namun, untuk  memperdengarkan bacaan imam atau bacaan al-Quran atau ceramah atau pengajian, penggunaannya hendaklah mengikut keperluan yang sewajarnya. Janganlah bacaan imam ketika shalat berjemaah dalam shalat jahriyyah pun diperdengarkan full blast dari corong pembesar suara di luar masjid atau surau, lainlah kalau ada makmum yang ikut sama berjemaah di luar masjid yang bersambung dengan shaf yang di dalamnya. Mustahil gamaknya ada orang yang hendak berimamkan imam di dalam masjid dari serambi atau halaman rumahnya dan berapa kerat pula yang loba nak mendengar pengajian di masjid dari bilik tidurnya di rumah? Bertambah parah lagi apabila bacaan imam pun ke laut, dek kerana memang original begitu atau dek kerana sound engineering failed. Maka apalah faedahnya, bahkan ini boleh menimbulkan dampak negatif, tohmah dan fitnah terhadap agama suci kita. Ianya boleh menjadi haram kerana mengganggu pihak lain seperti orang yang sedang shalat di rumahnya, anak - anak kecil yang sedang tidur, murid yang sedang belajar, orang yang sedang ngobrol melayan tetamunya, kafir zimmi yang sedang santai dan lain - lain seumpamanya. Janganlah dijadikan alasan menghidupkan syiar, syiar mestilah dalam kerangka syariat dan bukannya di luar batasan syariat. Maka cukuplah penggunaannya sekadar keperluan para jemaah di dalam masjid atau surau tersebut. Kepada AJK masjid dan surau, sila control volume. 

KH Mahmud rahimahullah menyentuh hal ini dalam karangan beliau, Bida`ul Masajid, menurut beliau hal tersebut adalah bid`ah dhalalah kerana melanggar larangan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam agar tidak meninggikan atau mengeraskan suara dalam masjid seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang kira - kira bermaksud: "Jauhkan masjid - masjidmu dari suara kerasmu" dan kisah Sayyidina `Umar memarahi dua orang penduduk Thaif yang mengeraskan suara mereka dalam Masjid Nabawi sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Antara lain, beliau rahimahullah menulis sebagai berikut:- "....Perlu diperhatikan bagi guru ngaji / kiyai / ustadz bahwa pengajian di dalam masjid harus dengan suara yang sederhana / tidak terlalu keras sehingga melebihi pendengaran mukhothob / hadirin. Tetapi cukup sekedar dapat didengar oleh hadirin saja..... [Penulis mendatangkan nas yang faqir terjemahkan secara ringkas sekadarnya sebagai berikut: "Dalam Qurratul `Ain halaman 52 dinyatakan sebagai berikut:  "Makruh mengangkat suara (mengeraskan suara) dalam mengajar ilmu melebihi kadar yang diperlukan untuk pendengaran mukhathab (audience), walaupun di tempat selain masjid (yakni hukumnya sama sahaja bagi masjid atau tempat selainnya) menurut pendapat yang masyhur (qawl masyhur)"]. ....... Mengeraskan suara di dalam masjid, walaupun dengan bacaan zikir atau Qur`an, adalah bid`ah dholalah / perbuatan yang menyimpang dari ajaran agama.... Dari sahabat Watsilah bin Asqo`: Berkata Nabi SAW: Jauhkan masjidmu dari suara kerasmu .............. Apa lagi (lebih - lebih dilarang) mengeraskan suara dengan pakai corong (speaker) yang pasti lebih keras seribu kali, apa lagi setelah azan semakin bertambah dilarang (haram) karena tasywisy / bribin, rongeh yang mengganggu ketenangan umum... Menggunakan pengeras suara / speaker di waktu salat atau khutbah adalah bid`ah dhalalah apabila suara imam atau khatib sendiri sudah bisa sampai / di dengar oleh makmum / hadirin....

Begitulah antara penjelasan seorang ulama kita, Ahlis Sunnah wal Jama`ah bermazhab Syafie, Harapnya dalam beribadah, jangan sampai kita mendatangkan gangguan dan kesakitan kepada orang lain. Letakkanlah setiap sesuatu itu pada tempat yang sewajarnya. Faqir teringat sewaktu kecil, faqir pernah mengaji dengan almarhum Maulana Abdul Lathif al-Hafiz dan almarhum Maulana Rahmatullah al-Hafiz, Imam Masjid India. Kelas kanak - kanak mengaji al-Quran setiap hari dibuat di serambi masjid dan malamnya, selepas Maghrib, pengajian kitab yang dihadiri oleh penuntut tua dan muda, dibuat dalam bilik kecil tempat tinggal imam bersebelahan dengan masjid. Maka bersesaklah para penuntut ilmu dalam bilik kecil tersebut. Ketika ditanya kenapa tidak belajar dalam masjid sahaja, maka antara jawapan almarhum Mawlana adalah beliau takut menjadi gangguan kepada orang - orang yang baru singgah untuk menunaikan shalat di masjid tersebut, kerana Masjid India ini letaknya di pasar, di mana ada sahaja orang yang akan singgah untuk menunaikan shalat mereka masing - masing setelah shalat jemaah dilaksanakan. Juga membuat faqir teringat kepada guru faqir, Ustaz Afi Kemboja, yang memperlahankan suaranya ketika mengajar dalam kelas kerana takut mengganggu kelas sebelah. Semoga Allah merahmati guru - guru kita sekaliannya.

Akhirul kalam, kembali kepada awalnya, maka inilah Shalawat Badriyyah karya Syaikh KH Raden Mahmud Mukhtar asy-Syarbuni rahimahullah. Mudah - mudahan berkat hendaknya dan al-Fatihah untuk penyusunnya, para guru beliau dan guru kita serta sekalian muslimin - muslimat.




Bacaan KH Mahmud bersama jemaah akan Shalawat Badriyyah



Selasa, April 11, 2023

Kemuliaan Ahli Badar

Masih belum telat untuk faqir menulis sedikit sebagai memperingati para pejuang Ahli Badar radhiyaAllahu `anhum. Para sahabat yang berjuang bersama Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam peperangan Badar al-Kubra menduduki tempat yang istimewa dalam hieraki para sahabat. Bahkan, demikian besar kemuliaan dan penghargaan yang diberikan kepada mereka sehingga ada ulama berpandangan bahawa mereka adalah maksum (yakni terpelihara daripada melakukan dosa), bersandarkan kepada riwayat yang shahih bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda berkenaan Ahli Badar: "Bahawasanya Allah telah berfirman bagi mereka: "Berbuatlah menurut kemahuanmu (yakni berbuatlah sesukamu), maka sesungguhnya telah Aku ampunkan bagi kamu." Namun, ini pendapat atau pandangan yang marjuh, sedangkan yang RAJIH adalah para sahabat Ahli Badar tidak maksum, tetapi ketika mana berlaku atau jatuhnya dosa kesalahan atas mereka, ianya segera disertai dengan keampunan, yakni apabila mereka melakukan dosa, Allah akan mentaufikkan mereka untuk segera bertaubat dan memohon keampunan Allah, lalu Allah mengampunkan mereka. Ini dalam istilah sebahagian ulama disebut sebagai mahfuz (yakni orang yang Allah pelihara daripada berkekalan atas dosanya dengan segera bertaubat dan rujuk kembali kepada Allah.) Hal ini disentuh sedikit oleh Amirul Mukminin fil hadits, Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah dalam Fathul Bari, juz 8.

Kemuliaan para sahabat pejuang Badar ini juga terzahir apabila nama - nama mereka dipercayai, oleh sesetengah khawas dan awam, sebagai mengandungi keberkatan. Dengan menyebut nama - nama mereka atau memperingati mereka akan terwujud rahmat dan berkat bagi sipelaku. Ini bukanlah sesuatu yang pelik, kerana memang rahmat dan keberkatan itu turun ketika mana para shalihin disebut atau diperingati. Mengenai keberkatan nama - nama Ahli Badar radhiyaAllahu `anhum, ramai ulama yang menyatakan hal ini dengan berbagai testimoni. Imam al-`Allaamah Nuruddin Ali al-Halabi asy-Syafie rahimahullah menulis dalam kitab sirahnya yang masyhur,  as-Sirah al-Halabiyyah, juz 2, halaman 194, antaranya sebagai berikut: " Imam ad-Dawaani menyatakan yang beliau telah mendengar daripada para masyaikh hadits (guru - guru hadits) bahawa berdoa ketika menyebut para sahabat Ahli Badar adalah mustajab dan hal ini telah diuji kemujarrabannya.

Syaikh Muhammad bin `Abdullah al-Jardani ad-Dimyathi rahimahullah dalam syarah beliau bagi Hadis 40 Imam Nawawi yang berjodol al-Jawaahirul Lu`luiyyah pada halaman 188 menyatakan sebagai berikut:- Para ulama telah menyatakan bahawasanya doa ketika menyebut mereka (yakni Ahli Badar) adalah mustajab dan hal ini telah diuji kemanjurannya. Diceritakan daripada sebahagian ulama yang berkata: "Aku telah menulis nama - nama mereka dan memeliharanya (yakni dengan menjaga tulisannya atau menghafalnya). Aku bertawassul dengan mereka setiap selepas shalat bagi memohon Allah memberikan aku futuh (yakni pembukaan bagi ilmu, ma'rifat dan segala kebaikan). Maka dalam waktu yang singkat sahaja, Allah telah merezekikan aku dengan futuh. Tidak ada sesuatu (ilmu) yang aku dengar melainkan aku dapat menghafalnya; Tidak ada sesuatu (ilmu) yang aku lihat (baca) melainkan aku dapat memahaminya; Tidak aku letakkan tanganku atas kepala orang sakit sambil aku membaca nama - nama mereka dengan niat tulus ikhlas melainkan dia disembuhkan Allah ta`ala atau jika ajalnya sudah hampir diringankan sakaratnya."

Begitulah antara keberkatan dan kemuliaan Ahli Badar yang direkodkan oleh ulama. Maka tidak hairan jika Syaikhul Islam Sayyid Ahmad `Arif Hikmat al-Husaini (w. 1275H) rahimahullah, ulama yang menduduki jawatan Syaikhul Islam, pemilik perpustakaan yang terkenal di Madinah, Maktabah `Arif Hikmat, menulis bait nazam yang kira - kira ertinya: "Sahabat - sahabat Badar meratai akan mereka kegemilangan redha; Nama - nama mereka mengandungi faedah - faedah (yang banyak) seperti  titisan - titisan air hujan." Mudah - mudahan kita direzekikan Allah mendapat bahagian daripada keberkatan dan syafaat para sahabat Ahli Badar radhiyaAllahu `anhum, sahabat - sahabat Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang memperolehi kedudukan tinggi dan pandangan khusus Allah dan rasulNya.

Selasa, April 04, 2023

Telan Jangan Luah

Tidak semua yang kita telan atau teguk atau togok atau tungam ketika berpuasa itu membatalkan puasa. Ada yang tidak membatalkan puasa, bahkan sangat - sangat dianjurkan ketika kita berpuasa. Dengan menelan atau menungamnya, bukan sahaja puasa tidak batal, bahkan diberikan ganjaran yang besar. Sabar dulu, yang ditelan itu bukanlah makanan dan yang diteguk itu bukanlah minuman, tetapi kemarahan yang muncul di hati kita. Ketika hati menggelegak panas, kemarahan membuak - buak, maka kita dianjurkan untuk bersabar dan menahannya, jangan luahkan kemarahan tersebut. Jangan sampai kemarahan tersebut keluar ke mulut, menyemburkan nama - nama haiwan dan sumpah seranah. Yang dianjurkan kepada kita adalah menahan kemarahan tersebut dan menelannya, jangan bagi keluar. Nikmati aja kemarahan tersebut sebagaimana kita menikmati makanan panas atau minuman dingin. "Easier said than done", tapi itulah yang perlu kita latih diri dan ingat ada berbagai insentif yang dijanjikan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kepada sesiapa yang melakukannya. Orang yang menahan kemarahan dan memberi kemaafan juga disifatkan sebagai orang yang punya ketakwaan kepada Allah dan orang - orang yang baik (al-muhsinin), sebagaimana firmanNya dalam surah Ali `Imran ayat ke-134.

Imam Ibnu Majah rahimahullah dalam Sunannya meriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Tidak ada sesuatu yang diteguk (yakni ditelan) yang lebih besar ganjarannya di sisi Allah dari tegukan kemarahan yang ditahankan dia oleh seseorang hamba demi mencari keredhaan Allah." Imam Ahmad rahimahullah dalam Musnadnya juga meriwayatkan hadis yang senada bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Tidaklah seseorang hamba meneguk satu tegukan yang lebih afdhal di sisi Allah dari seteguk kemarahan yang ditahannya kerana Allah, demi mencari keredhaan Allah." Mudah - mudahan Allah menjadikan kita orang - orang yang penyabar yang dapat mengendali kemarahan kita. Allahummaj `alna shabuura....

Rabu, Mac 22, 2023

Taat & Bakti Kepada IbuBapa

Dalam Islam, kita diajar untuk mengutamakan melakukan kebaikan dan kebaktian serta menjaga pergaulan kepada ibu berbanding bapa. Ini tidak bermakna yang kita mengabaikan atau tidak berbakti kepada bapa, hanya yang lebih didahulukan adalah ibu, tanpa mengurangkan kebaktian kepada bapa. Masyhur riwayat mengenai perkara ini sehingga Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam menyuruhnya dengan ganda tiga berbanding bapa. Imam Bukhari dan Imam Muslim (asy-Syaikhan) meriwayatkan bahawa seorang lelaki (Mu`awwiyah bin Haidah) telah datang berjumpa dengan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam seraya bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling utama untuk aku dampingi sebaik - baiknya ( bi husni shahabati)?" Junjungan menjawab: "Ibumu." Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?" Junjungan menjawab: Ibumu." Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?" Junjungan menjawab: "Ibumu." Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?" Junjungan menjawab: "Kemudian bapamu." Di dalam Adabul Mufrad, Imam Bukhari meriwayatkannya dengan sedikit perbezaan kalimah iaitu "man abarru" yakni "siapakah orang yang paling utama untuk saya curahkan kebaktian." 

Ketahuilah berbakti dengan ibu dan bapa itu lebih utama dan lebih afdhal daripada melakukan haji, umrah dan jihad yang sunnat, sebagaimana disebut oleh Imam al-Haddad dalam
an-Nashaa-ih. Imam Abu Ya'la dan Imam ath-Thabrani meriwayatkan dalam ash-Shaghir dan al-Awsath, dengan sanad yang hasan, bahawa seorang lelaki telah datang menemui Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dan bertanya: "Aku ingin untuk berjihad tapi aku tidak mampu melakukannya." Baginda bertanya kepadanya: "Apakah salah seorang daripada dua orang tuamu masih ada?" Dia menjawab: "Ibuku." Baginda bersabda: "Menghadaplah (yakni bertaqarrublah) kepada Allah dengan berbakti kepadanya (yakni kepada ibumu), apabila engkau melakukan yang sedemikian, maka engkau termasuk orang yang melakukan haji dan umrah serta seorang mujahid yang melakukan berjihad."

Sebahagian ulama menyebut bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam mengutamakan ibu untuk kebaktian si anak sebanyak tiga (3) kali sebelum bapa, mungkin hikmahnya, kerana ada tiga perkara yang hanya mampu dilakukan oleh seorang ibu dan mustahil seorang bapa dapat melakukannya, iaitu
hamil, melahir dan menyusukan si anak. Maka wajarlah kebaktian terhadap si ibu mendahului si bapa. Imam al-Haddad menulis dalam an-Nashaa-ih ad-Diniyyah menulis sebagai berikut: "Ketahuilah, bahawa berbakti kepada ibu hendaklah digandakan berbanding berbakti kepada bapa, sebagaimana yang warid dalam hadis. Hal ini boleh jadi lantaran kerana ibulah yang telah merasai penat lelah dan susah payah mengandung si anak, kemudian merasakan kesukaran dan kesakitan melahirkannya, lalu menyusukannya, merawatnya dan mendidiknya dengan penuh kesukaan dan kasih sayang..... 

Ada sesetengah orang memahami hadis - hadis tadi sebagai pernyataan bahawa perintah si ibu mengatasi perintah si bapa sehingga perintah si ibu perlu ditaati dahulu berbanding perintah si bapa. Sebenarnya hadis - hadis tersebut tidak pun menyentuh tentang ketaatan kepada perintah orang tua dengan jelas. Perkara mentaati perintah - perintah makhluk perlu kepada perincian dengan melihat kepada rupa bentuk perintah tersebut dan kemaslahatannya kepada diri, pihak - pihak yang terbabit dan juga lain - lain pihak ketiga yang terkesan dengan perlaksanaan perintah tersebut. Mentaati perintah sebarang makhluk Allah bukanlah sesuatu yang mutlak dan ianya tidak semudah menghulurkan kebaktian kepada mereka. Namun tidak dinafikan ada ulama yang cuba mengaitkan hadis tersebut dengan ketaatan kepada perintah kerana mereka melihatnya sebagai satu bentuk kebaktian. Misalnya apa yang dinukil oleh Imam Badruddin al-`Ayni dalam
`Umdatul Qari, pada juz 22, yang menyatakan sebagai berikut: "Dan hadis ini menjadi dalil agar kasihkan ibu dan berbelas ihsan kepadanya hendaklah mengatasi kasihkan bapa kerana baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam mengulanginya tiga kali, di mana bapa hanya disebut pada kali keempat sahaja........Hadis Abu Hurairah ini menjadi dalil agar mentaati ibu didahulukan dan ianya adalah hujjah bagi membantah pihak yang tidak sependapat, sehingga al-Muhasibi mendakwa keutamaan ibu atas bapa dari segi berbuat kebaktian dan ketaatan adalah ijmak ulama. Dikatakan bahawa ketika al-Hasan ditanya: "Apakah kebaktian kepada dua orang tua?" Beliau menjawab: "Engkau belanjakan bagi kedua mereka apa yang engkau miliki dan engkau mentaati kedua mereka dalam apa yang engkau diperintahkan selagi ianya bukan perkara maksiat." 

Walau apa pun yang disebut oleh Imam Badruddin al-`Ayni tadi, bukanlah satu keputusan yang muktamad. Tetap ada ruang yang terbuka untuk berbeza pendapat kerana yang disepakati tanpa ada khilaf adalah urusan kasih sayang, kasihan belas dan kebaktian. Apa yang dinukilkan daripada al-Hasan juga tidak membantu kerana beliau tetap membicarakan tentang mentaati perintah mereka berdua. Maka hadis - hadis tersebut tidak menggugurkan kedudukan bapa sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab kepada ahli - ahli keluarganya. Oleh itu, janganlah dijadikan hadis - hadis ini sebagai modal untuk mensabitkan secara mutlak bahawa mentaati perintah ibu itu wajib didahului berbanding perintah bapa. Tidak begitu wahai saudara - saudari. Akhirul kalam, faqir nukilkan tulisan Ustaz Ali bin Hasan BaHarun dalam karya beliau
Fawaaid al-Mukhtarah, catatan yang beliau kutip daripada ajaran guru beliau, Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith, menyatakan sebagai berikut:- Ibu lebih berhak untuk didahulukan daripada bapa dalam mendapat khidmat bakti si anak seperti pemberian nafkah dan hadiah. Manakala bapa lebih berhak untuk ditaati. Maka didahulukan perintah bapa atas perintah ibu sebagaimana didahulukan pembayaran zakat fitrah (yakni anak yang menanggung nafkah ibubapanya yang faqir hendaklah mendahulukan bayaran fitrah ayahnya sebelum ibunya)..... Namun, tetap sahaja dalam urusan mentaati perintah makhluk ini ada tafshil perinciannya dan tidaklah sifatnya mutlak mesti ditaati hatta perintah bapa sekalipun. 

Apa - apa pun berbakti kepada ibubapa itu adalah satu kewajipan, manakala mendurhakai mereka adalah termasuk dalam dosa besar. Sempena menjelang ketibaan bulan Ramadhan, faqir peringatkan kepada diri dan sekalian yang membaca akan hadis yang sahih diriwayatkan oleh Imam al-Hakim sebagai berikut:- Ka`ab bin `Ujrah berkata bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:- "Berkumpullah kalian di sisi mimbar." Maka kami pun berkumpul, lalu baginda menaiki anak tangga pertama mimbar tersebut dan berkata: "Aamiin." Bila baginda naik ke anak tangga kedua, baginda berkata: "Aamiin." Begitulah juga ketika baginda menaiki anak tangga ketiga, baginda pun berkata: "Aamiin." Setelah baginda turun dari mimbar, kami bertanya kepada baginda: "Wahai Rasulullah, kami telah mendengar daripadamu pada hari ini sesuatu yang belum pernah kami dengar sebelumnya (yakni tentang sebutan aamiin yang tiga kali ketika menaiki anak tangga mimbar).Baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam menjelaskan: "Bahawasanya Jibril muncul di hadapanku ketika aku menaiki anak tangga yang pertama dan berkata: "Kecelakaan bagi sesiapa yang mendapatkan bulan Ramadhan, namun dia tidak memperolehi keampunan Allah bagi dirinya," aku pun berkata: "Aamiin." Ketika aku naik anak tangga kedua, Jibril berkata: "Kecelakaan bagi sesiapa yang ketika namamu disebut di sisinya, dia tidak bershalawat kepadamu," aku pun berkata: "Aamiin". Ketika aku naik ke anak tangga ketiga, Jibril berkata: "Kecelakaan bagi sesiapa yang mendapati kedua ibubapanya telah tua atau salah seorang daripada mereka, namun mereka berdua tidak menjadi sebab untuknya memasuki syurga (yakni dia gagal berbakti kepada mereka sehingga tidak memperolehi ganjaran syurga), maka aku pun berkata: "Aamiin". Mudah - mudahan tiga perkara yang disebut dalam hadis ini dapat kita jadikan amalan dan panduan, pertama: menjaga kesucian dan kehormatan bulan Ramadhan, kedua: shalawat ke atas Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dan ketiga: berbakti kepada dua orang tua. Jangan sampai kita termasuk dalam golongan yang didoakan kecelakaan oleh Penghulu malaikat, Sayyidina Jibril `alaihis salam yang diaminkan oleh Penghulu sekalian makhluk, Sayyidina Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Selamat Beribadah, Selamat Berbakti, Selamat Berpuasa dan Ramadhan Kareem.

Sabtu, Februari 11, 2023

Dipimpin Ke Syurga

Nikmat Allah yang paling besar dan tidak ternilai, yang dianugerahkanNya kepada kita, adalah nikmat Iman dan Islam. Dengan kurniaan dan ihsan Allah, kita dilahirkan sebagai orang mukmin yang bertuhankan Allah, bernabikan Junjungan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dan berpegang atas agamaNya yang diredhai, Dinul Islam. Berapa ramai manusia yang berakal namun tidak mendapat kurniaan terbesar ini. Manusia yang keilmuannya dalam bidang sains dan teknologi mengkagumkan kita, namun yang mencengangkan kita adalah apabila mereka yang dikatakan berotak bijak ini seperti tidak berakal, apabila menjadikan makhluk sebagai sembahan, ada yang menyembah patung, batu dan kayu; Ada yang menyembah alam semesta, bukit bukau dan gunung ganang; Ada yang menyembah manusia yang makan minum seperti dirinya; Dan yang lebih parah ada yang menyembah Iblis, jin dan syaitan yang durjana. Allahu ...Allah... di manakah kecerdikan akal? Allahu ... Allah, makanya hendaklah kita bersyukur banyak - banyak dan menghargai hidayah dan taufik daripadaNya tersebut. Maka sentiasalah hendaknya kita mensyukuri nikmat terbesar ini, nikmat yang membawa kita selamat di negeri yang abadi. Jangan sesekali kita tukar nikmat ini dengan apa jua, sekali pun nyawa menjadi galang gantinya. Sentiasa ingatkan diri agar redha dengan yang sedemikian. Ucapkan dengan penuh keikhlasan dari lubuk hati terdalam: " Aku redha Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai nabiKu". Dan benarkanlah apa yang engkau pegang dan katakan tadi dalam segala perbuatan, kelakuan dan keperibadianmu, yakni dengan mematuhi dan menjunjung segala titah perintah Allah dan menjauhi segala tegahan dan laranganNya, berpandukan ajaran dan sunnah baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam yang disampaikan oleh para ulama muktabar yang merupakan pewaris baginda.

Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah mengajar dan menganjur kita untuk membaca satu rangkaian kalimah yang ringan, berisikan ikrar pengakuan dan keredhaan kita menjadikan hanya Allah sebagai Rab (Tuhan), Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad sebagai nabi. Junjungan menganjurkan kita mengucapkan kalimah ini setidak - tidaknya setiap pagi sekali, agar ianya terpahat dan tertancap kukuh dalam hati sanubari kita. Imam ath-Thabrani rahimahullah meriwayatkan dengan sanad yang shahih bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang mengucapkan ketika berpagi akan ucapan:  "Radhitu billaahi rabba, wa bil Islami diina, wa bi Muhammadin nabiyya"; Maka aku beri jaminan untuk memegang / mengambil tangannya sehingga kumasukkan dia ke syurga." Allahu ... Allah, betapa kalimah yang sedikit memiliki kelebihan yang luar biasa, pastinya ianya hendaklah diimani, diyakini dan dihayati dengan sebenar - benar keyakinan dan penghayatan, tidak hanya bermain di bibir sahaja. Walau bagaimanapun, mudah - mudahan apa yang sentiasa bermain di bibir akan meresap ke hati lalu mempengaruhi segala anggota. Allahumma aamiin.
    

Rabu, Januari 25, 2023

Tawassul - Syahid Hasan al-Banna

Dahulu zaman sibuk ber"haraki", usrah sana - sini, dalam usrah - usrah tersebut pasti tidak terlepas daripada menggunakan karangan - karangan Syaikh Hasan al-Banna rahimahullah. Awal - awal usrah yang faqir join menjadikan Risalah at-Ta'alim yang diterjemah oleh almarhum Ustaz Mohammad bin Daud al-'Iraqi sebagai teks usrah. Almarhum Ustaz Mohamad adalah mantan Ketua Dewan Ulama PAS dan mantan wakil rakyat Lundang, Kelantan. Beliau kembali ke rahmatullah padaa 2017, mudah - mudahan Allah mencucurkan hujan rahmat ke atas rohnya dan menempatkan dia bersama para shalihin.

Dalam teks asas tersebut, asy-Syahid Hasan al-Banna turut menjelaskan persoalan seperti kedudukan tawassul dalam Islam. Beliau menerangkan bahawa  berdoa dengan bertawassul itu perkara khilaf furu` tentang cara atau kaedah berdoa sahaja dan bukannya perkara akidah. Ini jelas tercatat pada usul yang ke-15 dalam dalam Risalah tersebut menyatakan sebagai berikut:-
15. Tawassul. Berdoa kepada Allah itu disuruh, tetapi kalau doa ini dikaitkan dengan tawassul kepada Allah dengan mana - mana makhluk maka doa seperti itu menjadi perkara khilafiah tentang cara - cara berdoanya, bukanlah merupakan masalah akidah.

Maka sikap kita selaku seorang muslim, apatah lagi yang berkecimpung dalam harakah dan jemaah dakwah semestinya mengambil sikap sebegini. Janganlah terburu - buru menghukum orang yang bertawassul dengan tuduhan - tuduhan jelik seperti syirik atau khurafat. Jelas berbeza dengan geng Salapi - Wahabi yang telah mengeluarkan persoalan tawassul dari ranah khilafiah tentang kaedah berdoa dan memasukkannya ke ranah akidah, yang akhirnya dijadikan senjata untuk mensyirikkan orang yang bertawassul. Maka tidak hairan jika ulama Salahpi - Wahabi tidak segan - segan menyesatkan asy-Syahid Syaikh Hassan al-Banna dan organisasi Ikhwanul Muslimin. Allahu ... Allah, rasanya jasa dan pengaruh almarhum Imam asy-Syahid Hasan al-Banna terhadap Islam dan perjuangan memartabatkan Islam lebih besar daripada ulama - ulama belaan keluarga Sa`ud, jangan marah sekadar berkongsi fakta.....
Tawassul - TG Nik Aziz

Isnin, Januari 16, 2023

Lebih 7 Kali Umur Dunia?

Tidak  dapat dipungkiri bahawa amalan bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam memiliki kelebihan, fadhilat, keutamaan, ganjaran, pahala, yang teramat banyak dan agung. Cukuplah janji mendapat balasan 10 shalawat Allah bagi setiap satu shalawat yang kita lantunkan memberi gambaran betapa hebat dan besarnya amalan bershalawat. Juga cukuplah, janji Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bahawa orang yang paling hampir dengan baginda kelak di mahsyar adalah yang paling banyak shalawatnya kepada baginda. Faqir bertemu satu klip pengajian Guru Zuhdi rahimahullah mengenai satu lagi kelebihan bershalawat. Beliau rahimahullah menyatakan bahawa ganjaran bagi membaca sekali shalawat itu adalah seumpama memperolehi pahala kebajikan melebihi tujuh (7) kali umur dunia dan ianya menjadi kaffarah bagi dosa - dosanya . Klip ini faqir letakkan di sini untuk simpanan. Faqir dengan ilmu yang terbatas, belum pernah mendengar dan terjumpa mana - mana kitab yang menceritakan tentang ganjaran dan kaffarah seumpama 7 kali umur dunia ini. Namun, ianya tidaklah di luar nalar, kerana dalam riwayat yang shahih ditegaskan bahawa satu shalawat kita ucapkan ke hadhrat Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam akan menerima balasan "10 shalawat" (baca: rahmat yang khusus) daripada Allah `azza wa jalla kepada kita. Dan ulama menjelaskan, jangankan 10, satu sahaja "shalawat" tersebut, yang Allah anugerahkan kepada kita, adalah lebih besar dan lebih bermakna dari segala amalan yang kita lakukan sepanjang usia kita. Akhirul kalam, faqir mohon agar sesiapa yang pernah berjumpa riwayatnya (yakni tentang ganjaran 7 kali umur dunia tersebut), dalam mana - mana karangan ulama, harap maklumkanlah agar bertambah mantap dan  merata manfaatnya.

Almarhum Guru Zuhdi