Sabtu, April 01, 2006

Kelebihan Membaca Mawlid 2

Seterusnya Sidi Syatha dalam "I`anatuth-Tholibin" menyambung:-

  1. Dan telah berkata al-Imam al-Yafi`i al-Yamani (sesetengah kitab tersilap cetak di mana huruf "ya" berubah kepada "syin" menyebabkan perkataan ini dinisbahkan kepada Imam asy-Syafi`i):- "Sesiapa yang menghimpunkan untuk Mawlidin Nabi s.a.w. saudara-saudaranya, menyediakan makanan dan tempat serta berbuat ihsan sehingga menjadi sebab untuk pembacaan Mawlidir Rasul s.a.w., dia akan dibangkitkan Allah pada hari kiamat berserta dengan para shiddiqin, syuhada` dan sholihin serta dimasukkan dia ke dalam syurga-syurga yang penuh keni'matan."

Tentu ada ikhwah yang tertanya-tanya, kenapa para ulama ini begitu berani menyatakan kelebihan-kelebihan bermawlid dengan janji-janji nanti akan bersama para anbiya' dan dapat syurga tinggi, sedangkan mereka bukannya Nabi yang diutuskan yang menerima wahyu berhubung perkara ini. Jawapannya ikhwah kena faham kaedah bahasa 'Arab yang dibicarakan dalam ilmu ma`ani bab khabar dan insya`, kerana menurut kaedah ada jumlah yang nampaknya seperti khabariyyah yang membawa erti perkhabaran atau berita tetapi sebenarnya adalah insya-iyyah yakni menyatakan harapan atau keinginan seseorang, bahkan seolah-olah dia berdoa. Jadi makna perkataan ulama tersebut bukannya khabariyyah tetapi lebih kepada insya-iyyah dalam ertikata lain contohnya jika dikatakan "dapat syurga" maka ertinya " aku ingin atau berharap agar dia dimasukkan ke syurga". Hal begini yang menyebabkan ramai yang tak faham perkataan awliya sehingga berani menuduh para awliya` dan ulama memandai-mandai memberi jaminan yang bukan hak mereka. Begitu juga contohnya, Sidi Abdul Qadir al-Jilani pernah berkata: "Tiada orang Islam yang lalu melintasi pintu madrasahku melainkan akan diringankan daripadanya azab pada hari kiamat." - rujuk manaqibnya yang dikarang oleh Sayyidisy-Syaikh Ja'far al-Barzanji dengan jodol "al-Lujainud-Dani fi Manaqib asy-Syaikh 'Abdul Qaadir al-Jiilani". Para ulama memberikan berbagai tafsiran berhubung perkataan ini, dan antaranya ialah ini adalah jumlah insya-iyyah walaupun zahirnya berbentuk khabariyyah, justru ianya merujuk kepada harapan Sulthanul Awliya tersebut agar sesiapa yang pernah melintas pintu madrasahnya diberi keringanan azab pada hari kiamat. Oleh itu fahami betul-betul ilmu sebelum membuat apa-apa tuduhan terhadap para ulama yang 'amilin yang menjadi sandaran umat. Pelajari dan kuasai ilmu-ilmu alat sebaik para ulama dahulu dan mengikut kaedah bahasa yang terpakai pada zaman-zaman awal Islam dan bukannya kaedah bahasa 'Arab Qamus Munjid yang dikarang oleh orientalis. Ilmu nahwu, sharaf, balaghah, bayan, ma`ani, badi' dan lain-lain lagi perlulah betul-betul dikuasai sebelum nak memperlekehkan ulama yang telah mengabdikan seluruh hidupnya untuk ilmu dan dakwah. Walau apa pun, segala perkataan ulama tersebut adalah endorsement mereka untuk menggalakkan pembacaan mawlid Junjungan Nabi s.a.w. agar lidah dan telinga kita sentiasa menyebut dan mendengar nama Junjungan s.a.w. dan sirah serta kebesaran baginda, dan mudah-mudahan dengan lidah menyebut, telinga mendengar, turun kecintaan dalam hati sanubari kita. Inilah yang dikehendaki oleh ulama agar setiap umat cinta dan kasih serta faham kebesaran dan sirah perjuangan Junjungan s.a.w. untuk diagungkan dan dicontohi. Mudah-mudahan Allah merahmati ulama kita sekaliannya.......al-Fatihah.

Tanbih:

1. Orang membaca al-Quran di kubur hukumnya SUNNAT menurut mazhab kita asy-Syafi`i.

2. Orang membaca al-Quran dikubur hukumnya HARAM ittifaq segala umat. Sebab kalau pun nak dikubur tunggu le si pembaca tu mati dulu, kalau hidup-hidup dikubur kan membunuh namanya.

Ini baru contoh nahwu bahasa Melayu, bahasa Arab lagilah luas. Oleh itu ilmu alat itu amat penting untuk diketahui dan dipelajari, lebih-lebih lagi bagi sesiapa yang ingin nak jadi mujtahid.

5 ulasan:

Tawel-Sensei berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Tawel-Sensei berkata...

Maaf yang komen pertama ada sedikit ralat.
---------------

Insya-iyyah adalah berkaitan dengan pengharapan seseorang. Tapi bagaimana pula dengan kata-kata ulama, sebagai contoh: "Kalau buat begini, nanti di Neraka akan dapat balasan begini." Apa pula ya istilah yang diberikan dalam ilmu ma'ani tentangnya?

Nak minta penjelasan lanjut..

Abu Muhammad berkata...

Apa-apa pun kena tengok kepada jumlah yang dipakai, kalau yang dikhabarkan memang benar pasti akan berlaku sebab ada nash yang shorih, seperti kalau makan riba nanti di akhirat begini-begini hukumannya dan hukuman tersebut bersandarkan kepada nas yang pasti benar berlakunya, maka itu bukan insya-iyyah, itu adalah khabariyyah.

Silalah akhina Thawel rujuk kepada guru hidup agar mudah difahami. Sebab pecahan khabariyyah dan insya-iyyah tu banyak macam. Tak kuasa den nak terangkan kek sini.

Abu Muhammad berkata...

Insya-iyyah pun terbahagi 2 ada yang berbentuk thalabiy dan ada yang ghair thalabiy. Panjang bahasnya pulak.

Abu Muhammad berkata...

MARI BELAJAR BAHASA ARAB, TAPI JANGAN DOK MENGAJI HIWAR SAHAJA ATAU APA YANG DOK SIBUK LA NI LUGHAH AL-ITTISHALIYYAH (BAHASA KOMUNIKASI) SEMATA-MATA.