Sabtu, April 29, 2006

Nur Muhammad s.a.w. 7


Qadhi 'Iyyadh al-Yahsubi dalam kitabnya "asy-Syifa` bi ta'riifi huquuqil Musthofa" mukasurat 83 meriwayatkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina 'Abdullah bin 'Abbas r.anhuma bahawasanya :-
  • Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-" Adalah roh baginda merupakan satu nur di sisi dua tangan Allah ta'ala (yakni di sisi qudrah dan iradah Allah ta`ala) sebelum diciptakan Nabi Adam 2000 tahun. Nur tersebut bertasbih dan bertasbih bersamanya segala malaikat. Maka apabila Allah mencipta Nabi Adam, disimpankan Nur tersebut ke dalam sulbinya. "
  • Selanjutnya Junjungan s.a.w. menyambung: " Maka Allah telah menurunkan aku ke bumi dalam sulbi Nabi Adam, dan dijadikanNya aku dalam sulbi Nabi Nuh, dan diletakkanNya aku dalam sulbi Nabi Ibrahim, kemudian sentiasalah Allah ta`ala memindah-mindahkan aku dari sulbi-sulbi yang mulia ke rahim-rahim yang suci sehingga Dia mengeluarkan aku daripada kedua ibu bapaku, sedangkan mereka sekali-kali bersekedudukan dalam kekejian (yakni semua leluhur Junjungan s.a.w. tidak pernah melakukan zina, semuanya bernikah secara sah).

Selanjutnya Qadhi Iyyadh menyatakan bahawa antara bukti untuk menguatkan kesahihan khabar ini adalah syair al-Abbas yang masyhur pada memuji Junjungan Nabi s.a.w. Mulla 'Ali al-Qari dalam syarahnya bagi kitab "asy-Syifa`" tersebut pada mukasurat 199, juzuk 1, menyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Abu 'Amr al-'Adni dalam musnadnya. Beliau juga menyatakan bahawa pada kebanyakkan riwayat lafaz "Inna Quraisyan (Bahawasanya seorang quraisy (yakni Junjungan Nabi s.a.w.)" digunakan. Hadis inilah yang dinukil oleh Syaikh Wajihuddin 'Abdur Rahman ad-Diba`ie, yang juga seorang ahli hadis, dalam mawlidnya yang terkenal itu. Imam al-Haddad juga menukil hadis ini dalam kitabnya "Sabilul Iddikar", maka terserahlah kepada kalian.

Allahumma sholli wa sallim 'ala Nuril Anwar.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dan telah muafakatlah peganganku seperti yang telah dinukilkan pada hadith di atas ... dan tatkala bermohonlah nabi Adam a.s kpd Tuhannya, Allah RabbulJalil untuk melihat akan Nur Muhammad itu, maka diberi izin akan dia Nabi Adam a.s melihat Nur Muhammad itu pada jari tulunjuk tatkala bersyahadat akan dia pada sholatnya ...

Allahummashallishollatan Kamilatan ...

Abu Muhammad berkata...

Kisahnya pada mula Nur Muhammad itu gilang gemilang di belakang sulbi Nabi Adam a.s. sehingga sentiasalah para malaikat mengerumuni belakangnya. Maka teringin Nabi Adam untuk melihatnya sama, lalu diajukan permohonan kepada Allah dan dijadikan Allah Nur Muhammad tersebut di jari baginda. Sehinggalah baginda turun ke dunia, dikembalikanlah Nur tersebut ke sulbinya. Allahu A'laam.