Rabu, Oktober 04, 2006

Imsak 2


Sabit perihal imsak sebelum fajar dinihari
Sekadar bacaan 50 ayat Qurani
Dengan bacaan sedang tiada lambat tiada pula berlari
Dihukumkan sunnat pada ulama bijak bistari
Demi mengikut perlakuan Junjungan Nabi
Riwayat daripada Imam al-Bukhari
Dengan sanad boleh dipegangi
Muslim bin Ibrahim mengkhabari
Daripada Hisyaam daripada Qataadah daripada Anas sahabi
Daripada Zaid bin Tsabit yang diredhai
Bahawa Junjungan bersama Zaid bersahur sekali
Selesai bersahur Junjungan berdiri pergi
Menuju kepada sholat dihadiri
Sahabi Anas membuka mulut menanyai
Berapa kadar waktu berlalu pergi
Antara azan dan sahurnya Junjungan Nabi
Soalan dijawab Zaid sahabi
Kadar 50 ayat Qurani

Wahai Ikhwah yang bijak laksana
Tiliklah kamu kepada hadits tertera
Nescaya faham kamu seketika
Jelas kamu saksikan kalimah diguna
Antara azan dan sahur terang dinyata
Tiada lain maksudnya di sana
Masuk Subuh itulah kehendaknya
Maka fahamilah benar-benar wahai saudara
Tatkala azan berkumandang di udara
Junjungan Nabi sudah siap sedia
Untuk menghadap Allah Tuhan yang Esa

Ikhwah, bukanlah hasratku untuk memperpanjangkan persoalan imsak ini. Tetapi telingaku tidak cukup tebal untuk mendengar tohmahan yang kononnya tiada ulama yang menyatakan kesunnahan menetapkan imsak beberapa minit sebelum fajar. Lalu dijualkanlah nama ulama-ulama kita dan kitab-kitab mereka, yang kononnya telah ditelaah tetapi yang dihajati tidak dijumpai. Lalu ditohmahlah perkara ini hanya pandai-pandai ulama Tanah Jawi rantau sini kerana konon di negeri 'Arab ianya tidak diketahui. Sedangkan Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani rhm. dalam "Fathul Baari" tatkala mensyarah maksud hadits di atas antara lain menyatakan:-

وقال القرطبي: فيه دلالة على ان الفراغ من السحور كان قبل طلوع الفجر...

"Dan telah berkata Imam al-Qurthubi: "Padanya (yakni dalam kandungan hadits di atas) bukti atas bahawasanya selesai daripada sahur adalah sebelum terbitnya fajar...." Jadi jelas dinyatakan oleh Imam al-Qurthubi bahawa selesainya sahur Junjungan Nabi s.a.w. menurut hadits di atas ialah sebelum terbitnya fajar (qabla thulu`il fajri), yang memberi maksud bahawa tidaklah Junjungan s.a.w. terus-menerus bersahur sehingga terbit fajar. Selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani juga menyatakan bahawa:-

فعدل زيد بن ثابت عن ذلك إلى التقدير بالقراءة إشارة إلى أن ذلك الوقت كان وقت العبادة بالتلاوة

"Maka disamakan Zaid bin Tsabit akan yang demikian itu dengan ukuran pembacaan al-Quran sebagai isyarat bahawa waktu tersebut (yakni waktu senggang antara selesai sahur dan azan) adalah waktu untuk ibadah membaca al-Quran." Jadi bukanlah waktu itu untuk mengunyah makanan lagi, inilah yang dimaksudkan. Al-'Allaamah Badruddin al-'Ayni rhm. pula dalam "'Umdatul Qari" menyatakan:-

حديث زيد بن ثابت يدل على ان الفراغ من السحور كان قبل الفجر بمقدار قراءة خمسين آية

"Hadits Zaid bin Tsabit menunjukkan atas bahawasanya selesai daripada sahur adalah sebelum fajar dengan kadar pembacaan 50 ayat." Beliau juga menulis:-

... إن فيه تأخير السحور إلى أن يبقى من الوقت بين الآذان و اكل السحور مقدار قراءة خمسين آية..فمن حيث يدل على أنهم كانوا يستعجلون به حتى يبقى بينهم و بين الفجر المقدار المذكور..

"Bahawasanya padanya (yakni pada hadits Zaid tersebut) mentakhirkan sahur sehingga tinggal waktu antara azan dan makan sahur itu kadar pembacaan 50 ayat... maka dari situ ianya menunjukkan bahawasanya mereka (Junjungan Nabi s.a.w. dan sahabat ) menyegerakan dengan bersahur sehingga tinggal (masa) antara mereka dan fajar kadar yang tersebut." Yakni Junjungan dan sahabat berhenti bersahur dalam keadaan masa antara mereka dengan fajar itu kadar pembacaan 50 ayat dan tidaklah bermaksud yang mereka mentakhirkan sahur sehingga terbitnya fajar shodiq.

Imam an-Nawawi rhm. dalam "Syarah Muslim" tatkala mensyarahkan hadits yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Bakar bin Abu Syaibah yang kandungannya hampir sama dengan hadits Imam al-Bukhari di atas dengan perbezaannya bahawa dalam lafaz al-Bukhari dinyatakan "berapa kadar masa antara azan dan sahur" dan dalam hadits Muslim pula digunakan "berapa kadar masa antara keduanya", menyatakan:-

و فيه الحث على تأخير السحور إلى قبيل الفجر

"... padanya (yakni dalam hadits tersebut) terkandung anjuran untuk mentakhirkan sahur sehingga sedikit sebelum fajar", ( yakni kita mengakhirkan makan sahur ke waktu yang hampir dengan fajar di mana selesainya kita bersahur masih berbaki sedikit waktu sebelum fajar shodiq terbit). Tidaklah Imam an-Nawawi menyatakan bahawa mentakhirkan makan sahur itu sehingga terbit fajar, tetapi mentakhirkan sahur sehingga sedikit sebelum fajar. Perhatikanlah, dan bertitik tolak dari pemahaman di ataslah maka ulama kita menetapkan adanya waktu imsak yang sunnat untuk menyelesaikan makan sahur (yakni bagi yang telah bersahur). Tuduhan bahawa hanya ulama Jawi sahaja yang menetapkan waktu imsak ini tidaklah benar, kerana hal ini termaktub dalam kitab-kitab ulama Timur Tengah, sama ada yang disebut secara direct atau indirect, sewajarnya tuan-tuan tidak baca kitab-kitab secara sepintas lalu dan sendiri-sendiri tanpa merujuk kepada tuan-tuan guru yang pernah mengaji kitab-kitab tersebut, nanti berlaku salah faham akan nash kitab-kitab yang tuan-tuan baca. Jika tuan-tuan hanya mengaji hadits, maka janganlah mencampuri urusan fiqh yang mungkin tuan-tuan belum mahir akan selok-belok dan istilah yang digunakan oleh para fuqaha`. Untuk lebih jelas kedudukannya dalam mazhab kita, lihatlah keterangan Al-'Allaamah Sayyid 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam bi syarhi Mursyidil Anaam" juzuk 4 halaman 59 yang menyebut:-

قال الرملي كابن حجر بعد ذكرهما الحديث: و فيه ضبط لقدر ما يحصل به سنة التأخير اه. أي فالأفضل أن يؤخره بحيث يفرغ منه و الباقي من الليل قدر خمسين آية

"Telah berkata Imam ar-Ramli rhm. seperti (kata) Imam Ibnu Hajar rhm. selepas menyebut kedua mereka akan hadits Zaid bin Tsabit tersebut: " Dan padanya (yakni terkandung dalam hadits tersebut) penetapan bagi kadar yang menghasilkan dengannya kesunnahan mentakhir sahur. Iaitu yang afdhalnya bahawa ditakhirkannya sahur tersebut sehinggalah sekira-kira selesai daripadanya (yakni selesai daripada bersahur) dan masih berbaki malam (yakni masih belum terbit fajar shodiq) sekadar (pembacaan) 50 ayat.

Nah, jelas kedudukan dan pegangan dalam mazhab kita bahawa sunnat mentakhirkan bersahur sehinggalah ke waktu selesainya bersahur dan jarak untuk terbit fajar hanya kadar 10 -15 minit sahaja, dan senggang masa 10 - 15 minit ini sunnat untuk kita memulakan imsak sebagai menurut perlakuan Junjungan Nabi s.a.w. dan untuk ihtiyath berhati-hati. Tetapi ini tidaklah bermakna yang makan sahur sehingga masuk waktu Subuh dengan terbit fajar shodiq itu sebagai perkara yang ditegah, kerana sebagaimana dinyatakan dahulu kewajipan imsak hanya berlaku apabila terbit fajar shodiq waktu Subuh. Sekali lagi aku ulang, biar faham benar-benar bahawa dalam mazhab kita, berhenti atau selesai makan sahur kira-kira kadar pembacaan 50 ayat yang sederhana (kira-kira 10 - 15 minit) adalah sesuatu yang afdhal (utama) dan mandub (sunnat) dan bukanlah sesuatu yang wajib. Tidaklah kita menghukumkan ianya sebagai kewajipan untuk berimsak kerana zahir nash ayat al-Quran dan hadits yang lain membolehkan makan sehingga terbitnya fajar shodiq. Menurut ulama kita lagi adalah dihukumkan bid`ah munkarah untuk kita mewajibkan imsak beberapa minit sebelum fajar, ini dapat kita lihat dalam keterangan kitab "Fathul 'Allam" tersebut. Fahami betul-betul hal ini, berimsak kadar sedikit sebelum fajar dianggap sunnat semata-mata dan mewajibkan imsak pada masa tersebut sedangkan fajar shodiq belum terbit adalah bid`ah munkarah. Oleh itu jika seseorang bangun tidur dan masih berbaki 5 minit sebelum masuknya waktu Subuh, maka tidaklah menjadi kesalahan dan tegahan untuk dia bersahur asalkan jangan makan sahur sampai terbitnya fajar shodiq dan tidaklah boleh kita menghalangnya. Fahamilah wahai ikhwah yang budiman.

Dan pendapat agar berhenti bersahur sebelum terbit fajar ini juga dapat dilihat dalam aqwal mazhab yang lain. Contohnya, Syaikh Abu as-Su`uud ad-Dusuuqi al-Maliki dalam "Haasyiah ad-Dusuuqi" juzuk 1 halaman 503 menyatakan:-

و تأخير السحور أي للثلث الأخير من الليل و يدخل وقت السحور بنصف الليل الأخير و كلما تأخر كان أفضل،
فقد ورد أن النبي صلى الله عليه و سلم كان يؤخره بحيث يكون
ما بين فراغه منه و بين الفجر قدر ما يقرأ القارئ خمسين آية


"Dan mentakhirkan sahur iaitu ke pertiga akhir malam, dan masuknya waktu untuk bersahur dengan pertengahan malam yang akhir dan jika diakhirkan ianya adalah afdhal. Maka telah warid bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. telah mengakhirkan sahur sehingga kira-kira selesainya baginda daripada bersahur dan terbitnya fajar (masa) kadar apa yang dibaca si pembaca 50 ayat."

Sebagai keterangan tambahan, ada juga pendapat segelintir ulama (kata qil) yang berpegang bahawa kewajipan imsak berlaku sebelum terbitnya fajar shodiq, sebagaimana disebut oleh Ibnu Rusyd dalam "Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtashid" juzuk 2, mukasurat 37 di mana beliau, berhubung kata qil ini, menyatakan:-

و من ذهب إلى انه يجب قبل الفجر فجريا على الإحتياط و سدا للذريعة و هو اورع القولين

"...Dan mereka yang berpendapat bahawasanya imsak itu wajib sebelum fajar shodiq, maka pendapat mereka ini adalah berdasarkan kepada ihtiyath dan saddudz dzarii`ah dan ianya adalah pendapat yang lebih wara` (berhati-hati) antara dua pendapat tersebut..."

Walau bagaimanapun, pendapat ini adalah kata qil yang tidak dipegangi dalam mazhab kita dan mazhab jumhur. Mazhab kita dan mazhab jumhur tidaklah mewajibkan imsak sebelum terbit fajar ini, hanya kita memandang sunnat dan afdhal untuk berhenti sahur kira-kira 10 - 15 minit sebelum terbit fajar. Oleh itu isu ini bukanlah perkara asasiyyah yang wajar untuk diperbesarkan. Ada banyak lagi isu-isu lain yang perlukan tenaga dan pemikiran kita. Apa untungnya umat dengan jika penetapan tersebut dihukumkan sebagai bid`ah yang sesat (i.e. pada puak tersebut bila bid`ah semestinya dholalah). Tidak ada faedahnya, sebaliknya ianya menimbulkan keresahan dalam masyarakat dan membawa kepada keretakan ukhuwwah. Oleh itu, demi bulan yang mulia ini hentikanlah kerja kutuk mengutuk dan bid`ah membid`ah sesama umat, semua pekerjaan ini tidak memberi apa-apa faedah buat umat.

الله اعلم

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

maaf, keluar tajuk,

mohon pandangan syeikh berkenaan acara "tunggu kubur" yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat, terutamanya di kelantan.

Jazakallah

Tanpa Nama berkata...

Juga mohon komen fadhilatu syaikh berkenaan bantahan al-qaradhawy berkenaan imsak sebagaimana dalam fiqh muasarah nya.

Jazakallah

Abu Muhammad berkata...

Ambo tak baca fatwa Qardhawi tersebut, jadi tak reti nak komen. Apa-apa pun balik pada asal bahawa perkara ini khilaf ulama (nak ambik yang baik ni), jadi apa pun kata Qardhawi itu pendapat dia, dan dia berhak dengan pendapatnya itu sebagaimana juga ulama kita berhak dengan pendapat mereka. Allahu a'laam.

Tunggu kubur sebab nak baca quran, boleh saja, telah ada fatwanya di kalangan ulama kita. Tapi kalau tunggu sambil main daun terup, boleh masuk bab haramlah plak, insya-Allah, nanti ana postkan sikit.

Tanpa Nama berkata...

salam ramadhan

Tanpa Nama berkata...

salam

alqasam berkata...

ya syeikh,
bagaimana kira-kira mereka yang makan dan minum sehingga azan berkumandang. boleh Sidi tolong kemukan secara ringkas. ramai sahabat2 yang buat begni

terima kasih

Abu Muhammad berkata...

Azan dilaungkan setelah terbit fajar shodiq yang merupakan masuknya waktu Subuh. Maka apabila azan dikumandangkan, tidaklah boleh makan dan minum lagi kerana telah terbit fajar yang mewajibkan imsak.

Sekiranya sebelum terbit fajar shodiq, tidaklah memudarat makan dan minum tersebut, cuma untuk ihtiyath disunnatkan agar kita berimsak dahulu sedikit sebelum terbit fajar.

Oleh itu, jangan pulak berhenti makan hanya setelah azam tamat. Waktu masuk baru azan, bukannya azan dulu baru masuk waktu. (Melainkan azan pertama Subuh yang tanpa tatswib itu).
Allahu `alam.

alqasam berkata...

Shukran ya Sidi,

Begitulah, masalah yg duk berulang setiap tahun adalah mereka akan makan sambil azan telah berkumandang dengan alasan ada riwayah yg sahabah yang sedang menelan makananan di izin Nabi menelan. Namun mereka zaman sekarang bukan macam tu, sedang azan berkumandang pakat2 ambil air utk diteguk lagi dan makanan utk dimakan. Ketika ana bertanyakan dalil tidaklah mereka menjawab. Namun ana hanya mampu bersangka baik dan mendoakan kebaikan buat mereka. Risau juga, kita ni tidaklah setara mana. Moga2 ALlah menerima setiap amalan kita dan menjadikan kita dikalangan mereka yang bertaqwa. Sudilah kiranya Ya Sidi AbuMuhd masukkan ana dalam doa Sidi.