Ahad, Oktober 08, 2006

Tunggu Kubur

Tunggu Kubur satu amalan yang dilakukan sebahagian umat di sesetengah tempat bukan sahaja di Tanah Melayu, tetapi juga di lain-lain tempat seperti kepulauan Jawa. Tidak lama dahulu sewaktu berpulangnya Kiyai Syafi`i Hadzami ke rahmatUllah di Jakarta, maka untuk memuliakan dan mendoakan beliau diadakan selama 40 hari pembacaan al-Quran di makamnya. Rasa-rasanya amalan ini tidak terbatas di rantau Nusantara kita sahaja, tetapi juga di lain-lain belahan dunia Islam, mungkin panggilannya sahaja yang berbeza. Kat tempat aku, tradisi ini tidaklah begitu nampak sekarang, tapi dengar cerita orang tua-tua dulu ianya pernah dilakukan oleh segelintir. Setelah pengkebumian seseorang, maka ahli keluarga atau sesiapa yang sudi akan menunggu kubur untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran. Amalan ini mempunyai asal daripada perbuatan para alim ulama terdahulu. Insya-Allah, adalah dalil-dalilnya di sisi para ulama tersebut yang mungkin kita tak tahu sebab kejahilan kita. Kalau nak disenaraikan dalil-dalil dan wajhul istidlal mereka, maka habislah umur untuk itu sahaja. Yang penting bagi aku, jika ada ulama yang membuatnya maka siapakah kita untuk mempertikaikannya secara kurang sopan. Janganlah hendak disamakan ulama umat Islam ini dengan pendita kaum Yahudi dan paderi kaum Nasrani. Soal nak ikut ke tidak, itu terpulang kerana perkara ini tidak lepas dari persoalan khilafiyyah. Belajarlah menghormati pendapat dan pegangan orang lain, terutama sekali para ulama yang 'amilin.

Dasarnya mudah sahaja, ianya bertitik tolak dengan ketetapan fuqaha` yang memandang baik perbuatan membaca al-Quran di kubur (yakni di sisi kubur si mati), bahkan jika dikhatamkan al-Quran di sisi kubur itu adalah lebih afdhal. Inilah pendapat dalam mazhab kita kerana rahmat turun di tempat di mana al-Quran dibaca dan si mati yang di sisi kuburnya adalah seperti orang yang hadir pembacaan tersebut lalu diharapkanlah dia memperolehi bahagian dari rahmat yang diturunkan itu. Imam an-Nawawi dalam "Majmu`" juzuk 5 halaman 164 menulis:-

قالوا: و يستحب ان يقراء عنده شيء من القرآن و ان ختموا القرآن كان افضل

"Mereka (yakni para ulama Syafi`i) berkata: " Dan adalah mustahab untuk dibacakan di sisinya sesuatu daripada al-Quran dan jika sekiranya dikhatamkan keseluruhan al-Quran ianya adalah lebih utama (afdhal)."
Nah, jelas dihukumkan mustahab dan afdhal mengkhatamkan al-Quran di sisi kubur si mati. Mengkhatamkan al-Quran di sisi kubur ini sudah tentu akan memakan masa. Oleh itu di mana kesilapannya jika seseorang duduk di sisi kubur dan membaca al-Quran sehingga khatam ? Inilah rupa bentuk "tunggu kubur" yang dikenali oleh ulama kita, tak kiralah dia nak berada di kubur itu siang-malam sampai khatam atau berulang-alik ke kubur sehingga khatam. Dan tunggu kubur yang dimaksudkan ini tidaklah sampai melakukan perbuatan maksiat dan meninggalkan kewajipan. Dalil untuk membaca al-Quran di kubur bolehlah dirujuk dalam karangan-karangan ulama kita dan telah banyak ditulis dan diperkata orang. Cuma di sini aku nukil sesuatu dari " Tahqiiqul Aamaal fiimaa yanfa`ul mayyit minal a'maal " karangan Dr. Habib Muhammad bin Alawi al-Maliki rhm. di mana pada halaman 60 beliau meriwayatkan bahawa asy-Sya'bi berkata:-

كانت الأنصار إذا مات لهم الميت اختلفوا إلى قبره يقرءون القران
"Adalah golongan Anshar apabila mati seseorang daripada mereka berulang-aliklah mereka ke kuburnya untuk membaca al-Quran."
Sebagaimana yang aku katakan terdahulu, amalan ini berasal dari perlakuan umat dan ulama terdahulu dan bukanlah sesuatu yang hanya diada-adakan oleh ulama Tanah Jawi sahaja. Ini dapat kita lihat daripada pernyataan Imam as-Sayuthi dalam "al-Hawi lil Fatawi" juzuk 2 halaman 194 menulis:-

و رأيت في التواريخ كثيرا في تراجم الأئمة يقولون: و اقام الناس على قبره سبعة ايام يقرءون القرآن، و أخرج الحافظ الكبير ابو القاسم بن عساكر في كتابه المسمى تبين كذب المفتري فيما نسب إلى الامام ابي الحسن الأشعري سمعت الشيخ الفقيه ابا الفتح نصر الله بن محمد بن عبد القوي المصيصي يقول: توفي الشيخ نصر بن ابراهيم المقدسي في يوم الثلاثاء التاسع من المحرم سنة تسعين و اربعمائة بدمشق و اقمنا على قبره سبع ليل نقرأ كل ليلة عشرين ختمة
(Dan telah aku lihat) dalam kitab-kitab sejarah tatkala menceritakan riwayat hidup para imam (pemuka agama) banyak menulis:- "Dan telah berdiri manusia di sisi kuburnya 7 hari membaca mereka al-Quran." Dan telah dikeluarkan oleh al-Hafidz al-Kabir Abul Qasim Ibnu 'Asaakir dalam kitabnya yang berjodol "Tabyiin Kadzibil Muftari fi ma nusiba ilal Imam Abil Hasan al-'Asy'ariy" bahawa dia telah mendengar asy-Syaikh al-Faqih Abul Fath NashrUllah bin Muhammad bin 'Abdul Qawi al-Mashishi berkata: "Telah wafat asy-Syaikh Nashr bin Ibrahim al-Maqdisi pada hari Selasa 9 Muharram 490H di Damsyik. Kami telah berdiri/berhenti/berada di kuburnya selama 7 malam, membaca kami al-Quran pada setiap malam 20 kali khatam."
Jadi harap dengan penjelasan Imam kita as-Sayuthi ini, dapat kita faham bahawa amalan berada di sisi kubur atau tunggu kubur ini telah dilakukan sejak lama dahulu. Oleh itu, janganlah lekas kita marahkan orang yang nak duduk menunggu kubur dengan membaca al-Quran, bertahlil dan berdoa. Kalau kita tak suka, kan ini perkara khilaf, mereka yang buat ada sandaran mereka. Kita yang tidak suka, tok sah buat, balik rumah tidur, lebih baik daripada bergaduh pasal isu khilafiyyah remeh ni. Tetapi jika dengan menunggu kubur itu mereka buat munkar atau maksiat seperti berjudi dan sebagainya, maka wajarlah kita tentang kemunkaran tersebut. Sebagai penutup posting ini dengan aku nukilkan daripada "Himpunan Fatwa Negeri Kedah Darul Aman" mengandungi pendapat - pendapat dan keputusan - keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman disusun oleh Shohibus Samahah Datuk Setia Jaya Datuk Paduka Syaikh 'Abdul Majid bin Muhammad Nur, di mana pada halaman 40 dalam Bab Jenazah dinyatakan:-
S: Adakah Islam menyuruh menunggu kubur orang yang baru mati kerana membaca al-Quran di atasnya selama 3 hari atau 4 hari dengan malamnya ?
J: Harus menunggu kubur orang yang baru mati kerana membaca al-Quran di atasnya.
الله اعلم

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Jazakallah ya syaikh untuk artikel ini. Saya menghargainya. Cuma mohon pengesahan dari syaikh berhubung situasi saya baru2 ini.

ada kematian kerabat keluarga saya. dan dibuat majlis tunggu kubur. Diisi dengan tahlil. pun begitu yang saya musykil:

1. Saya tidak dibenarkan meninggal kawasan kubur sehingga ada orang lain berada di kawasan kubur tersebut. maksudnya mesti ada orang berada di kawasan kubur selama 3 hari. Saya bertanyakan kenapa, lalu dijawab oleh pak lebai, "malaikat akan datang selepas manusia meninggalkan kubur sebayak (saya lupa berapa) langkah".

2. Bolehkan ahli yang berada di kubur ini untuk makan, hisap rokok dan berbual2 kosong. Kerana saya berada dikubur bermula dari waktu pengebumian pukul 11 pagi sehingga selepas subuh keesokan harinya. dalam waktu itu tahlil dilakukan sekitar jam 10 malam. Kami rehat, ada yang hisap rokok. ada yang berbual2, ada yang tidur, ada yang makan. begitulah seterusnya sehingga subuh.

Saya tidak pernah mengikut majlis tunggu kubur sebelum ini. Namun bila mengikutinya saya menjadi ragu2. Adakah tunggu kubur yang saya ikuti itu termasuk dalam apa yang dimaksudkan dalam artikel ini.

saya mengharapkan pandagan dari syaikh.

Jazakallah.

Abu Muhammad berkata...

Tunggu kubur yang dimaksudkan adalah untuk mendoakan almarhum,untuk membaca ayat-ayat suci dan bertahlil.

Kalau semata-mata nak temankan si mati dengan tidur di sana, maka tak perlulah tunggu, elok pi balik tidur kat rumah. Apa yang dikatakan Pak Lebai itu adalah salahfahamnya terhadap apa yang dinyatakan dalam hadits yang si mati mendengar derapan kaki orang yang menghantarnya. Ada atau tidak manusia di sana, malaikat Munkar dan Nakir pasti datang untuk menyoal si mati menurut waktu dan ketentuan Allah s.w.t.

Oleh itu,kalau tunggu kubur hanya dengan makan-minum, hisap rokok, berbual kosong dan tidur, eloklah pi balik rumah, tak payahlah nak tunggu-tunggu kubur. Tapi kalau tidur seketika untuk melepas lelah dan malas nak balik ke rumah, maka tidak ada tegahan untuk tidur di tanah perkuburan, asal sanggup.

Tanpa Nama berkata...

Syukran, Jazakallah

Tanpa Nama berkata...

salam