Selasa, November 28, 2006

Di mana Allah ?

Shadrul Islam, al-'Aalim, al-Ushuli al-Mutafannin, al-Imam Abu Manshur Abdul Qaahir bin Thoohir bin Muhammad at-Tamimi al-Isfarayini al-Baghdadi ada seorang ulama besar bermazhab Syafi`i dan antara pemuka al-'Asyairah yang masyhur. Beliau hidup sebelum Ibnu Taimiyyah al-Harrani di mana beliau wafat dalam tahun 429H. Beliau sezaman dengan Imam Muhammad al-Juwayni (ayahanda Imam al-Haramain Abdul Malik bin Muhammad al-Juwayni, guru Hujjatul Islam al-Ghazali) dan termasuk generasi ketiga para Imam al-'Asyairah. Antara ulama yang menjadi gurunya ialah Imam Abu Ishaq al-Isfarayini yang masyhur itu. Imam Abu Manshur 'Abdul Qaahir al-Baghdadi menuntut ilmu sehingga menguasai 17 cabang ilmu dengan baik, sehingga beliau dipuji oleh Syaikhul Islam Abu Utsman as-Shabuni sebagai " salah seorang Imam Ushuluddin yang paling utama dan berotoriti mengenai Islam dengan ijma` ulama-ulama kenamaan dan berwibawa. Antara kemegahan beliau ialah Imam al-Baihaqi, Imam Abul Qasim al-Qusyairi dan Imam Nashir al-Mirwazi adalah antara murid-murid beliau. Imam besar ini juga meninggalkan banyak karangan yang bernilai, antaranya:-
  1. Bulughul Mada min ushulil huda;
  2. Fadaih al-Karramiyyah;
  3. al-Farqu bainal firaq;
  4. al-Fakhir fil awail wal awakhir;
  5. al-'Imad fi mawaritsil 'ibaad;
  6. Ibtal al-qawl bit tawallud;
  7. Manaqib al-Imam asy-Syafi`i;
  8. Masyariq an-Nur wa Madarik as-Surur fil kalam;
  9. al-Milal wan Nihal;
  10. Nafy Khalq al-Quran;
  11. Syarh Miftah Ibn al-Qass;
  12. al-Kalam wal Wa`id;
  13. Nasikh al-Quran wa mansukhhuh'
  14. Mi'yar an-Nazar;
  15. Naqd Abi Abdillah al-Jurjani fi tarjih Madzhab Abi Hanifah;
  16. al-Qadhaya fid dawr wal washoya;
  17. Syarh hadits Iftiraq Ummati;
  18. ash-Shifat;
  19. Tafdhil al-faqir ash-shobir 'ala al-ghani asy-syakir;
  20. Tafsir al-Quran.
Berhubung persoalan "di mana Allah?", Imam Abdul Qaahir bin Thoohir bin Muhammad al-Baghdadi menulis dalam karangannya yang masyhur "al-Farqu baina al-Firaq" pada fashal ke 3 dalam menerangkan segala usul yang telah disepakati (telah diijma`kan) oleh Ahlus Sunnah wal Jama`ah pada halaman 256 menulis antaranya:-

Dan Ahlus Sunnah wal Jama`ah telah ijma` bahawasanya Allah s.w.t. tidak bertempat dan tidak lalu atasNya masa, bersalahan dengan pegangan golongan al-Hisyaamiyyah dan al-Karaamiyyah yang mendakwa Allah bertempat di arasyNya. Dan telah berkata Amirul Mu'minin 'Ali r.a.: "Sesungguhnya Allah ta`ala telah menciptakan arasy untuk menzahirkan qudratNya dan bukan untuk dijadikan tempat bagi zatNya". Baginda juga berkata: "Dan adalah Allah ta`ala wujud tanpa tempat dan Dia sekarang atas sebagaimana sediakalanya".
Kesimpulannya, mudah sahaja: Kewujudan Allah berbeza dengan kewujudan makhluknya. Antara perbezaannya ialah wujud Allah tanpa bertempat dan wujud makhluk mengambil tempat dalam bahso tok-tok guru dulu "mengambil bagi lapang". Bagaimana orang yang berakal boleh menempatkan tempat bagi Allah, sedangkan tempat itu juga satu makhluk yang baharu. Jika dikatakan Allah di atas arasy, maka yang dimaksudkan dengan atas itu adalah kadar kedudukan atau maqamnya yang Maha Tinggi dan bukannya difahami secara zahir sebagai tempat kedudukannya. Insya-Allah, di lain posting kita akan lihat tafsiran para ulama kita berhubung dengan ayat-ayat dan hadits-hadits sifat ini.

Kita beriman dengan firman Allah bahawa Dia beristiwa` atas arasy sebagaimana difirmankanNya, tetapi tidaklah dikita ketahui makna hakikat firmanNya itu dan kita serahkan maksudnya kepada Allah semata-mata tanpa pergi lebih jauh daripada itu. Inilah pegangan kebanyakan ulama Salaf. Tetapi jika ada ulama yang mentakwilkan istiwa` itu sebagai menguasai, maka tidaklah boleh dikeji sebagai silap, kerana hakikatnya memanglah Allah yang menguasai arasy dan sekalian makhluk ini. Hanya yang sesat ialah orang yang mengatakan bahawa Dzat Allah itu memang berada atau bertempat di arasy, maka itulah pendapat yang salah dan sesat. Maha Suci Allah daripada mengambil bagi lapang.



6 ulasan:

Tawel Sensei berkata...

Bertanyakan soalan 'Di mana Allah' itu juga sudah pun menjadi kesalahan. Kerana notasi 'Di mana' itu sudah semestinya merujuk kepada konsep ruang dan masa.

Walaupun sudah menjadi ijmak ulama dalam persoalan ini, tetapi depa peduli ke pasal ijmak atau tidak? Main langgar aje ana lihat.

ruqi-san berkata...

penerangan yang mantap dan jelas! ;)

tuan abumuhd,kitab kifayatulawwam itu bagus ka untuk dipelajari?

Abu Muhammad berkata...

tersangatlah bagus dan elok untuk dipelajari. Insya-Allah, terbuka pintu untuk lebih berma'rifatUllah dan ma'rifatur rasul.

Kaki Bangku berkata...

Sidi Abu Muhammad,

Aqidah Tahawiyyah ni macam mana ye? Apa bezanya dengan Ashairah?

Abu Muhammad berkata...

Risalah Aqidah Tahawiyyah karangan keponakan Imam al-Muzani itu adalah elok, dan sebenarnya senarai ringkas aqaid sahaja. Isinya sama dengan aqidah Ahlus Sunnnah wal Jamaah, cuma manhaj tulisannya mudah dan tidak menyusun atau menghitung-hitung sifat 20 wajib, 20 mustahil, ma`ani dan ma'nawiyyah atau dalil aqlinya.

Bahkan disebut dalam Aqidah Tahawiyyah bahawa Allah ta'ala tidak berhad atau batasan, berjisim, beranggota dan tidak berjihat dengan jihat yang 6 seperti segala benda baharu.

Cuma masalahnya ialah Syarah Aqidah Tahawiyyah yang dilakukan oleh segelintir golongan mujasimah ini yang mensyarahkan senarai aqidah ringkas tersebut dan memperkembangkannya seolah-olah pegangan Imam Tahawi seperti pegangan mereka yang nampaknya seperti tafwidh tetapi sebenarnya tajsim.

Oleh itu berhati-hati dengan Syarah Aqidah Tahawiyyah, lihat siapa pengarangnya.

Ibnu Ali berkata...

saya nak menanyakan tentang perbahasan ulama berkenaan dengan "Huwal awwalu wal akhir"..

Kalau boleh dapat jelaskan dalam blog alhamdulillah. Jika dapat bagitau nama kitab yang bagus untuk saya rujuk lagi bagus.