Khamis, Disember 14, 2006

Haul Syaikh Utsman Sarawak

Hari ini 23 Dzul Qaedah merupakan hari haul atau hol Syaikh Utsman bin 'Abdul Wahhab as-Sarawaki. Ulama besar Nusantara kelahiran Kampung Sinjan, Kuching, Sarawak, yang telah mengabdikan dirinya mengajar ilmu-ilmu Islam dalam Masjidil Haram depan Ka'bah al-Musyarrafah.

Riwayat hidup Syaikh Utsman Sarawak, terutama sekali menyentuh kesungguhannya menuntut ilmu dan segala masyaikhnya telah disebut oleh anakandanya yang juga seorang ulama besar, Syaikh Zainuddin Sarawak, dalam sebuah kitab berjodol "Nafahaatur Ridhwan fi Manaqib asy-Syaikh Utsman". Kitab ini telah ditulis oleh Syaikh Zainuddin dalam Bahasa 'Arab dan kemudiannya diterjemah ke dalam Bahasa Melayu oleh murid-muridnya iaitu Datuk Imam Haji Muhammad Morshidi, Khatib Muhammad Nawawi dan Haji Muhammad Daud. Kitab manaqib ini juga telah diberi taqridz oleh Syaikh Sa`id bin Muhammad al-Yamani, Syaikh 'Umar bin Abu Bakar BaJunaid, Syaikh Muhammad 'Ali bin Husain al-Maliki al-Makki, Syaikh Muhammad Mukhtar bin 'Uthoorid dan Syaikh 'Abdul Qaadir bin Shoobir al-Mandili, yang semuanya ulama-ulama besar di Makkah yang mengajar dalam Masjidil Haram yang mulia.

Naskhah kitab ini yang ada pada aku ialah naskhah cetakan pertama tahun 1340H cetakan Mathba`ah al-Ahmadiyyah, Singapura. Pada helaian pertama terjemahan Manaqib ini ditulis:-
Bermula ini manaqib dibaca pada tiap-tiap malam Jumaat bagi orang yang kuasa dan dengan tertentu pula pada 23 daripada bulan Dzil Qa`edah.
Tetapi sepanjang usiaku belum lagi aku menemui anak negeriku yang melakukan majlis pembacaan manaqib ini secara berjemaah seperti yang berlaku dalam peringatan haul di Tanah Jawa. Mungkin haul Syaikh Utsman hanya dibuat secara kecil-kecilan sahaja oleh anak keturunan beliau yang masih ada lagi di Sarawak dan di Makkah. Mudah-mudahan anak cucu beliau akan meneruskan perjuangan nenda mereka ini dengan sebaik mungkin dan mempelajari sejarah hidup nenda mereka ini agar dapat dijadikan contoh dan tauladan. Inilah yang menggerakkan hatiku untuk menulis berhubung tarikh kewafatan dan haul ulama besar ini, agar dapat diketahui dan diperingati oleh ikhwah sekalian umumnya dan anak negeriku khususnya. Harap kesudian kalian menghadiahkan sekalung al-Fatihah buat ulama yang berjasa ini, ulama yang telah mencetak anak-anak murid yang kemudiannya menjadi pembela dan penjaga pegangan anak negeriku dari terhakis akibat penjajahan orang putih. Sayogia, jasa dan budi beliau dikenang sepanjang masa, sesungguhnya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang tidak tahu berterima kasih kepada manusia, maka tidaklah dia tahu bersyukur kepada Allah."
Untuk mengambil berkat aku nukilkan di sini sedikit pribadi Syaikhuna Utsman as-Sarawaki sebagaimana dicatat oleh Syaikhuna Zainuddin as-Sarawaki dan diterjemahkan dalam Bahasa Melayu kita:

  • Adalah almarhum itu mudah-mudahan merahmat akan dia oleh Allah ta`ala banyak diam dan perangainya itu murah
  • Dan tingkah lakunya merendah akan diri dan memuliakan segala orang 'alim
  • Dan adalah sangat cermat atas mencapai pemandai dan adab
  • Lebih daripada cermat manusia atas perak dan mas
  • Dan thoma` ia pada mengikut jalanan sebaik-baik 'Ajam dan 'Arab
  • Iaitu Rasulullah s.a.w. terlebih kuat dan terlebih sampai daripada thoma` (Asy'ab) iaitu seseorang yang masyhur dengan thoma` pada orang 'Arab
  • Bermula malamnya melihat kitab dan menyebut akan Tuhannya
  • Dan siangnya mengajar dan berfikir
  • Kasih ia akan segala orang yang miskin dan faqir
  • Dan menjauh ia akan dirinya daripada mereka yang mempunyai fasik dan pembohong dan mempunyai takabbur
  • Memulia ia akan segala anak-anak yatim
  • Dan memberi ia akan makanan kepada orang-orang dan melembut akan perkataan
  • Dan adalah ia membesar akan tiap-tiap orang yang terbangsa ia bagi ilmu hingga segala anak-anak yang baharu belajar
  • Dan tiada didengar bahawasanya mengumpat akan seseorang atau menyalahi ia akan dia atau menyumpah akan dia
  • Dan apabila berkata, benar ia pada perkataannya
  • Dan apabila orang bercakap baginya dibenarkannya
  • Dan adalah ia sentiasa mengekali atas membuat segala kebajikan dan taat
  • Dan membesar ia bagi segala bangsa Syarif - Syarif dan Sayyid - Sayyid
  • Dan adalah ia menunduk kepalanya kerana malu
  • Dan tiada ia beramal kerana mintak puji
  • Hingga mendatangkan akan dia oleh mati
  • Maka bahawasa sesungguhnya kami bagi Allah dan kepadaNya jua kembali kami.
Akhirul kalam aku nukilkan juga di sini, 3 bait syair Syaikh Utsman untuk renungan dan pegangan kita:-
Jikalau adalah engkau yang mempunya akal, maka hendaklah engkau membanyakkan sholawat * Atas Nabi Muhammad dan atas keluarganya ahli menyempurna
Maka dengan sholawat ini mencapai engkau akan syafaat dan keuntungan * Dan sejahtera dan terpelihara daripada orang yang jahat dan derhaka

Mudah-mudahan merahmat oleh Tuhan atas Nabi Muhammad dan keluarganya * Selama-lama ada bumi dan yang didalamnya menyempurna
Marilah kita memperbanyakkan bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. sebagai pesanan Syaikhuna Utsman bin 'Abdul Wahhab as-Sarawaki rhm.


5 ulasan:

~albazrah~ berkata...

Assalamu'alaykum

Abu Muhd, saya nak minta penjelasan tentang ayat ni, saya kurang faham:

"Dan adalah sangat cermat atas mencapai pemandai dan adab"

Jazakumullah khairal jaza'

Abu Muhammad berkata...

kalimah asal bahso 'arabnya tertulis:-


و كان حريصا على نيل العلم و الأدب

wa kaana hariishan 'ala nailil 'ilmi wal adab

yang ertinya: Adalah jadi almarhum Syaikh Utsman itu seorang yang sungguh-sungguh mengambil berat untuk mencapai atau memperolehi ilmu dan adab.

jadi makna cermat yang diterjemahkan itu membawa erti bersungguh-sungguh dan teliti dalam mencari ilmu (pemandai) dan adab. Itulah yang dimaksudkan dalam kalimah tersebut.

~albazrah~ berkata...

Alhamdulillah, terima kasih. Jelas.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak berkata...

Assalamualaikum Ustaz Abu Muhammad.

Boleh saya dapatkan salinan manaqib Sheikh Usman Serawak ini iaitu Kitab Nafahatur Ridhwan?

Sekiranya dapat saya peroleh akan salinannya, adalah amat berbesar hati. Mohon bantuan Abu Muhamamd

Abu Muhammad berkata...

boleh tuan emailkan alamat tuan. in sya Allah nanti diusahakan.