Ratib al-Haddad
"Bahawasanya sesiapa yang membaca ratib ini teristimewa lafaz tahlilnya dengan adab, hudhur hati, yakin dan niat (ikhlas bertaqarrub kepada Allah) dan menyempurnakan tahlilnya 1,000 kali, nescaya akan terzahir baginya sesuatu daripada segala nur milik Allah ta`ala."
Tuan Guru Haji Muhammad Sulum @ Sulung al-Fathani (1895M - 1954M) pula menukilkan Ratibul Haddad dalam khatimahnya bagi karangannya "Gugusan Cahaya Keselamatan" di mana sebagai pengenalannya beliau menulis:-
"Kenyataan wirid yang sangat berkat dunia dan akhirat bagi waliyullah yang besar Habib 'Abdullah al-Haddad dan ratib baginya."Bahkan ramai lagi ulama kita yang menjadikan Ratibul Haddad ini sebagai pakaian mereka seperti al-'Alim al-'Allaamah asy-Syaikh Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani yang dikenali sebagai Tok Kelaba al-Fathani dan juga ulama terbilang Acheh Darus Salam, asy-Syaikh Teungku Hasan Krueng Kalee yang empunya kitab berjodol "Risalah Lathifah fi adabi adz-dzikri wa at-tahlil wa kaifiyyati tilaawati ash-Shomadiyyah 'ala thoriqati Quthubil Irsyad al-Habib 'Abdullah al-Haddad".
Sebagai penutup, aku nukilkan di sini artikel berjodol "Syarh Ratib al-Haddad - Dari Yaman ke Dunia Melayu" karangan Fadhilatul Ustaz Wan Mohd. Shoghir bin Wan Abdullah al-Fathani (mudah-mudahan Allah memanjangkan usia beliau serta memanfaatkannya bagi agama dan umat).
Mudah-mudahan Allah mencucurkan hujan rahmat dan keredhaan atas Shohibur Ratib Imam al-Haddad serta para ulama kita terdahulu ...... al-Fatihah.Syarh Ratib al-Haddad
Dari Yaman ke Dunia MelayuSEKURANG-KURANGNYA ada dua jenis "wirid" atau disebut juga dengan "Ratib" yang sangat berpengaruh di kalangan orang-orang Arab, terutama golongan "Habaib" (Habib-Habib atau Saiyid/Syed) yang datang ke dunia Melayu. Yang pertama disebut "Ratib Al-Haddad" dan yang satu lagi dinamakan "Ratib Al-Attas". Sebahagian besar yang diketahui oleh para pengamalnya, "Ratib Al-Haddad" ialah satu amalan yang dapat menenangkan jiwa, penuh berkat, terdapat beberapa fadhilat yang kadang-kadang menyalahi adat. Wirid atau ratib yang tersebut adalah disusun berdasarkan ayat-ayat al-Quran, doa, selawat, istighfar, dan sejenisnya. Yang pertama mengamalkannya ialah Al-Quthub al-Ghauts al-Habib as-Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad Ba'alawi al-Huseini al-Hadhrami asy-Syafi'ie. Ulama besar keturunan Nabi Muhammad S.A.W ini dilahirkan di Tarim, Yaman, pada 5 Safar 1044 H/30 Julai 1634 M dan wafat pada 7 Zulqa'idah 1132 H/10 September 1720 M.
Artikel ini bukan menceritakan riwayat hidup ulama yang tersebut tetapi adalah lebih memperkenalkan satu-satunya manuskrip bahasa Melayu yang membahas secara mendalam tentang "Ratib Al-Haddad". Perlu saya sebutkan di sini bahawa hingga kini belum dijumpai "Ratib Al-Haddad" bahasan yang mendalam sepertinya dalam bentuk cetakan bahasa Melayu. Sungguh pun demikian, belum begitu lama, terdapat yang diusahakan oleh Syed Ahmad bin Muhammad bin Zain bin Semit cetakan yang ditulis dalam bahasa Arab, cetakan yang kedua Zulhijjah 1417 H/1997M, diterbitkan oleh Pustaka Nasional Singapura. Manuskrip yang dalam bahasa Melayu diselesaikan pada hari Ahad, jam 4.00 petang, bulan 24 Syawal 1224 H/2 Disember 1809 M. Disalin kembali tahun 1317 H/1899 M. Judul lengkap manuskrip dalam bahasa Arab "Sabil al-Hidayah wa ar-Rasyad fi Syarh ar-Ratib al-Haddad". Judul terjemahan dalam bahasa Melayu "Jalan Pertunjuk dan Pengajaran Pada Menyatakan Faedah Kelebihan Quthub Bangsa Haddad". Karangan asal dalam bahasa Arab dilakukan oleh keturunan ulama tersebut, beliau ialah Habib 'Alawi bin Ahmad bin al-Hasan bin 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad. Nama penterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu tidak dinyatakan, kemungkinan adalah diterjemahkan oleh yang mengaku pemiliknya bernama Ahmad Salim ibnu al-Marhum Syeikh Mat Juban Pontianak, Kampung Melayu.
Selain yang diberi judul di atas terdapat lagi manuskrip dalam bahasa Melayu, tetapi bahasan kandungannya berbeza, ialah "Kaifiyat Qiraat ar-Ratib al-Haddad". Judul ini diterjemah oleh Saiyid Ahmad bin Muhammad al-'Aidrus, tidak terdapat tarikh selesai penterjemahan. Manuskrip ini bekas dimiliki oleh Ahmad bin 'Abdullah bin Qadhi. Manuskrip "Kaifiyat Qiraat ar-Ratib al-Haddad" lebih bercorak cara-cara mengamalkan ratib, tanpa mengemukakan dalil. Sedang "Sabil al-Hidayah wa ar-Rasyad" (manuskrip yang pertama) secara garis besar kandungannya ialah lebih mengutamakan dalil-dalil al-Quran dan hadis lebih lengkap untuk membuktikan bahawa amalan yang diajar oleh Quthub al-Ghauts al-Habib as-Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad adalah tidak menyimpang dari ajaran Islam yang diajarkan oleh datuk nenek beliau, iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Jika kita membuat perbandingan kandungan yang terperinci antara manuskrip bahasa Melayu dengan yang bahasa Arab cetakan Pustaka Nasional Singapura ternyata ada beberapa perkara yang dibicarakan dalam manuskrip Melayu tidak terdapat dalam yang bahasa Arab. Demikian juga sebaliknya.
Dalam manuskrip yang bahasa Melayu dicatatkan tulisan Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad dalam "Kitab Manaqib", kata beliau, "Barangsiapa orang yang membiasakan atas ratib kami, nescaya dikurniai [oleh] Allah Ta'ala akan dia sebaik-baik kesudahan mati di dalam kalimah ... ". Yang dimaksudkan di sini ialah mati dalam agama Islam dan beriman. Sebagaimana terdapat pada salah satu doa dalam ratib, yang terjemahannya "... matikan kami dalam agama Islam". Doa ini pula ada hubungkait dengan doa dalam ratib juga, yang maksudnya, "Kami semata-mata ridha terhadap Allah, tuhan kami, kami suka agama Islam, adalah agama kami dan Nabi Muhammad S.A.W, Nabi kami. " Terhadap Allah, Islam dan Nabi adalah sangat ditekankan dalam ilmu 'aqidah supaya beri'tiqad dengan jazam dan betul. Perlulah diperhatikan, kerana sewaktu kita masuk kubur yang tersebut adalah pertama-tama perkara yang ditanya. Selain fadhilah untuk menghadapi sakarat al-maut, beliau sebut juga bahawa "Ratib al-Haddad" berfungsi "Dipeliharakan [oleh] Allah Ta'ala daripada terbakar, dan kecurian, dan tiada terbunuh orang akan dia ... Ratib ini dibaca tiap-tiap ditimpa dukacita, nescaya diberi [oleh] Allah kesukaan". Semua yang diriwayatkan bahawa bacaan-bacaan dalam ratib ada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dalam hadits shahih.
Sebagai bukti "Ratib al-Haddad" sangat berpengaruh, dalam rangka "Majlis Haul Habib as-Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad", telah diadakan perhimpunan acara membaca ratib tersebut di Masjid Baitul Aman, di Jalan Damai, Kuala Lumpur, pada malam Sabtu 1 Zulqa'idah 1426 H/3 Disember 2005 M. Yang hadir selain dari seluruh Malaysia, ramai pula yang datang dari Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, India, Yaman, dan negara-negara lainnya. Acara diteruskan ke Batu Pahat (Johor), Temerloh (Pahang) dan Singapura. Selain membaca "Ratib al-Haddad" juga diadakan ceramah yang khusus membicarakan kehebatan dan jasa-jasa besar Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad dalam penyebaran Islam. Karya-karya beliau telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan tersebar di seluruh dunia.
2 ulasan:
BarakAllahulak ya Abu Muhd.
Dengan menukilkan sejarah Ratib Al-Haddad Imamuna ya Syeikhuna Imam Al-Haddad. Moga bertambah barakah blog ini.
Sama-sama bagi yg berkesempatan kita membawa Ratib Al-Haddad. Paling tidak Wird Latif setiap pagi dan petang. InshAllah.
Assalamu `alaikum
Saya ingin tahu lebih jauh tentang ratib al-Haddad dan wirid latif.
Boleh saya miliki copy manuskripnya atau tulisan mengenai ratib itu, karena saya ingin mempelajarinya.
terima kasih
W. Wahyudi
Catat Ulasan