Khamis, Januari 11, 2007

Habib Abdul Qadir

Habib Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqqaf dilahirkan di Kota Seiwun, Hadhramaut pada tahun 1331/1911. Ayahanda beliau Habib Ahmad bin 'Abdur Rahman as-Saqqaf adalah seorang ulama terkemuka di Hadhramaut yang menjadi pengganti kepada Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi, penyusun Simthudh Dhurar. Selain belajar daripada ayahandanya sendiri, beliau juga belajar dengan Syaikh Thaha bin 'Abdullah Bahmid. Beliau juga belajar di Madrasah an-Nahdhatul Ilmiyyah dan telah menghafal al-Quran serta menguasai qiraah as-sab`ah daripada gurunya Syaikh Hasan bin 'Abdullah Baraja`. Lihat bagaimana pemuka habaib menuntut ilmu bukan sahaja daripada kalangan mereka sahaja, tetapi kepada ulama lain yang alim walaupun tidak senasab dengan mereka. Aku pelik dengan sikap segelintir yang hanya mahu belajar daripada ulama yang sama senasab dengan mereka, jalan siapa yang kamu turuti sebenarnya. Sungguh para salaf kamu terdahulu menuntut ilmu daripada ulama tanpa melihat asal keturunan mereka hatta Imam al-Haddad mempunyai guru daripada kalangan masyaikh.

Antara guru-guru beliau lagi ialah Habib 'Umar bin Hamid as-Saqqaf, Habib 'Abdullah bin 'Alwi al-Habsyi, Habib 'Umar bin 'Abdul Qadir as-Saqqaf, Habib 'Abdullah bin 'Aidrus al-'Aidrus dan ramai lagi. Habib 'Abdul Qadir adalah seorang ulama dan daie yang menjalankan dakwahnya dengan penuh kebijaksanaan. Akhlaknya yang tinggi mampu menawan hati sesiapa sahaja, ilmu, warak dan akhlaknya menyebabkan beliau dikasihi dan dihormati. Khabarnya Buya Hamka pernah ziarah kepada beliau sewaktu di Jeddah, dan setelah berbincang dengan beliau, akhirnya Buya Hamka mengakui bahawa Baitun Nubuwwah Bani Zahra` min ali 'Ali masih wujud dan berkesinambungan dalam darah para saadah Bani 'Alawi sebagaimana dijelaskan beliau dalam fatwanya yang antara lain menyatakan:-
"....Maka baik Habib Tanggul (yakni Habib Sholeh al-Hamid) dan almarhum Habib Ali di Kwitang, Jakarta, memanglah mereka keturunan dari Ahmad bin 'Isa al-Muhajir yang berpindah dari Bashrah ke Hadhramaut itu, dan Ahmad bin Isa tersebut adalah cucu tingkat ke 6 dari cucu Rasulullah, Husain bin Ali bin Abi Thalib. Kepada keturunan-keturunan itu semuanya kita berlaku hormat dan cinta, iaitu hormat dan cintanya orang Islam yang cerdas, yang tahu harga diri, sehingga tidak diperbodoh oleh orang-orang yang menyalahgunakan keturunannya itu ..... Kita ulangilah seruan dari salah seorang ulama besar 'Alawiy yang telah wafat di Jakarta ini, iaitu Sayyid Muhammad bin 'Abdur Rahman BinSyahab, agar generasi-generasi yang datang kemudian dari keturunan 'Alawiy memegang teguh agama Islam, menjaga pusaka nenek moyang, jangan sampai tenggelam ke dalam peradaban Barat.....

.....Perhatikanlah kembali hadits-hadits yang telah kita salinkan di atas. Di sana tersimpul bahwa Nabi kita s.a.w. sangatlah mengasihi anak cucu keturunannya itu. Beliau meminta kepada kita umatnya ini supaya turut mengasihi cucu-cucunya itu. Beliau meminta agar kita memandang mereka sebagai anak beliau juga. Jika orang lain mengambil keturunan dari ayahnya, Rasulullah mengecualikan anak-anak Fatimah, agar dipandang sebagai anak keturunan beliau. Hal ini janganlah kita entengkan. Junjung tinggilah pengharapan Nabimu. Pernah saya mendengar seorang khatib yang lancang, berkhutbah di satu Jum`at, mengatakan bahwa Rasulullah tidak ada keturunan! Orang yang mengakui keturunan Rasulullah adalah tidak sah! Nyatalah bahwa khatib ini tidak mengetahui sopan santun Islam....

.........Maka kalau ada orang yang mengatakan bahawa keturunan Rasulullah, bangsa Sayid, Syarif, Habib, itu dijamin masuk syurga sebab mereka keturunan Nabi, itu adalah karangan-karangan orang di belakang saja, untuk memperbodoh atau mencari keuntungan di kalangan orang awam. Sebaliknya demikian pula; iaitu orang yang memungkiri keturunan Nabi sendiri bahawa Hasan dan Husain anak Fatimah, diakui Nabi sebagai anak cucu atau keturunannya, sampai ada khatib Jum`at, yang tidak ada ilmu, memungkiri keturunan Nabi dalam khutbah Jum`at. Orang seperti itu bukan ilmunya yang bercakap, tetapi kerana belum mengetahui, maka sentimennyalah yang keluar."
Berbalik kepada Habib 'Abdul Qadir, dakwah beliau tidak terhad kepada bumi kelahirannya sahaja, tetapi beliau juga memperluaskan medan dakwahnya sehingga ke Singapura dan Indonesia. Akhirnya atas permintaan beberapa ulama Hejaz, beliau menetap di Hejaz dengan bermukim di Kota Makkah, Madinah dan Jeddah untuk mengasuh majlis-majlis ta'lim. Dalam usia yang sudah hendak mencapai seabad, beliau menghabiskan masanya di Jeddah dan masih menerima ziarahnya para penziarah. Mudah-mudahan Allah memberkahi usia dan segala usaha beliau dan membalasinya dengan sebaik-baik balasan.

6 ulasan:

muhammad zaid berkata...

Assalamualaikum
Habib Abdul Qadir sekarang ini uzur (fana' billah) terlantar di atas katil.Itu yg dikatakan oleh Gus Arifin Bratang Gede. Dan Gus juga sempat merakamkan foto Habib yang terkini tahun lepas.

Unknown berkata...

Assalamualaikum,

Sedikit tambahan, Al-Habib Al-Qutub Abdul Qadir Assaqqaf juga ada berdakwah di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur, pada tahun 1980 dan juga pada tahun 1987 (kalau tak salah ingatan ana).

Semoga kita semua mendapat manfaat dari Allah dengan keberkatannya, ilmu-ilmunya, nafahatnya, cahaya-cahayanya, rahsia-rahsianya di dunia dan akhirat. Amiiin

Kaki Bangku berkata...

Sidi Abu Muhammad,

Terima kasih kerana menjelaskan lagi persoalan nasab dan amalan ekslusif sharif, habaib, sayyid.

ruqi-san berkata...

ana ada teman yang berketurunan al-saqqaf,dan katanya dia berketurunan Nabi S.A.W,teman ana ni shja yg duduk mesia,relatives semua di Singapore.Keturunan Nabi memang hebat2 dan mulia,mmg ana akui.. :)

Abu Muhammad berkata...

Wa alaikumus salam wa rahmatullah, ahlan wa marhaba bikum jami`an.

Ku Keng berkata...

Subhanallah, dan sangkaan ana beliau sudah lama tiada. Banyak sekali cerita-cerita tentang beliau sewaktu ziarahnya ke Malaysia dan Singapura dulu, yang ana dengar dari almarhum 'ammi Harun al Habshi.

Semoga Allah swt mempermudahkan hari-hari mukanya.