Sabtu, Mac 17, 2007

Isal-e-tsawab

Isal-e-tsawab adalah istilah yang digunakan oleh seorang sahabat dari benua Keling merujuk kepada majlis-majlis tahlil atau kenduri arwah. Kalimah tersebut membawa erti "menyampaikan pahala", yakni upacara di mana kita mendoakan agar umpama pahala apa yang kita telah kerja atau baca disampaikan Allah kepada orang lain terutama sekali arwah yang telah kembali ke rahmatUllah. Inilah istilahnya yang masyhur digunakan oleh saudara-saudara kita dari kawasan sana. Jadi tidaklah amalan bertahlil dan menghadiahkan pahala kepada arwah yang telah pergi hanya diamalkan oleh orang kita sahaja. Mungkin rupa dan caranya berbeza tetapi prinsipnya serupa - menghadiahkan pahala amalan terutamanya kepada mereka-mereka yang telah kembali ke hadhrat Ilahi. Amalan ini sudah tentu mempunyai sandaran yang kuat di sisi para ulama kita, walau bagaimanapun ianya tidak terlepas dari berlakunya khilaf. Walau pun ada khilaf, kita nyatakan bahawa jumhur ulama menerimanya dan membolehkannya, jika segelintir yang "membid`ahsesatkan"nya maka biaq pi lah. Di sini aku tidak ingin membahaskan persoalan ini menurut mazhab-mazhab fiqh, tetapi hanya ingin menukilkan tulisan ulama hadits besar yang karangannya menjadi teks penting bagi satu jama`ah yang bertebaran atas muka bumi ini. Bukan apa, sebab aku lihat ada dari kalangan ahli-ahli jama`ah ini yang terpengaruh dengan dakyah golongan anti-tahlilan sehingga turut terlibat dalam usaha membid`ahsesatkan orang lain. Jika pun mereka tidak bersetuju dengan pihak yang melakukan tahlilan dan sebagainya, maka tiadalah hak bagi mereka untuk menghukum pihak yang melakukannya, kerana orang yang melakukan amalan tahlil atau isal-e-tsawab ini mempunyai sandaran mereka, kuat atau tidak sandaran tersebut maka itu persoalan ijtihadiyyah, cuma jika difikirkan dengan logika akal jika tidak kuat sandarannya maka tidaklah jumhur membolehkannya.

Syaikhul Hadits Maulana Muhammad Zakaria al-Kandahlawi rahmatUllah 'alaih, seorang ulama Hanafi dan muhaddits besar yang diberi gelaran Ra-isul Muhadditsin (Ketua Muhaddits) menulis dalam karangannya (yang diterjemah lah, yang asli bahso Urdu, idak le aku faham) berjodol "Fadhilat Sedekah" jilid 1 halaman 188 - 190 menulis:-

Hadrat Ali ibnu Musa Haddad rahmatUllah 'alaih berkata: "Aku telah mengambil bahagian dalam satu jenazah dengan Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih, Muhammad ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih pun turut serta. Selepas mayat dikebumikan salah seorang buta telah datang dekat kubur dan mulai membaca al-Quran. Hadrat Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih telah berkata: "Bacaan al-Quran dekat kubur adalah bid`ah." Apabila kami mula kembali dari tempat perkuburan tersebut, dalam perjalanan itu Muhammad ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih telah bertanya kepada Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih : "Apakah pendapat anda mengenai pribadi Mubasyer Ibnu Ismail Habali rahmatUllah 'alaih ? Imam Ahmad Hanbal rahmatUllah 'alaih menjawab: "Yang boleh dipercayai." Ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih pun telah bertanya: "Adakah anda juga mempelajari ilmu daripada beliau?" Imam menjawab: "Ya, saya telah belajar hadith daripada beliau." Ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih berkata: "Mubasyer ibnu Ismail Habali rahmatUllah 'alaih telah menceritakan kepada saya bahawa Abdur Rahman ibnu 'Ala ibnu Lajlaj rahmatUllah 'alaih telah meriwayatkan daripada bapanya bahawa apabila beliau hampir meninggal dunia, beliau telah berwasiat agar di bahagian kepala kuburnya dibacakan ayat-ayat permulaan dan terakhir dari surah al-Baqarah dan beliau berkata juga bahawa beliau telah dengar Hadrat 'Abdullah ibnu 'Umar radiyaAllahu 'anhuma berwasiat begitu." Setelah mendengar peristiwa ini, Hadrat Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih berkata kepada Muhammad ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih : "Patah baliklah anda ke tanah perkuburan itu dan suruhlah si buta tadi agar dia membaca al-Quran dekat kubur."

Hadrat Muhammad ibnu Ahmad Maruji (Mirwazi) rahmatUllah 'alaih berkata: "Aku telah dengar Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih menasihati kepada manusia: "Apabila kamu menziarahi kubur hendaklah kamu membaca surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Naas. Selepas itu sampaikan pahalanya kepada penghuni-penghuni kubur; pahalanya akan sampai kepada mereka." [Ihya]

Mughni adalah sebuah kitab mengenai hukum fekah Mazhab Hanbali yang amat dipercayai. Pengarangnya telah menyalinkan peristiwa ini dan juga riwayat-riwayat mengenainya. Telah diriwayatkan di dalam Bazlul Majhud serta sanad dari kitab Bahar bahawa selepas solat, puasa dan sedekah jikalau pahalanya disampaikan kepada sesiapa maka pahala itu akan sampai kepadanya baik dia masih hidup ataupun sudah mati.

Telah diriwayatkan di dalam kitab Abu Dawood daripada Hadrat Abu Hurairah radiyaAllahu 'anhu: "Adakah sesiapa yang akan mengambil tanggungjawab untuk mengerjakan dua atau empat rakaat solat (yakni sholat nafil) di Masjid Asyar (dekat Basrah) lalu akan berkata: "Pahalanya ini adalah bagi Abu Hurairah (yakni dihadiahkan pahala solatnya tadi kepada Sayyidina Abu Hurairah." [Abu Dawood]

Patutlah diambil perhatian mengenai penyampaian pahala kepada arwah kaum kerabat. Sebab, di samping hak-hak mereka, selepas mati kita akan berjumpa mereka. Betapa besarnya malu akan dirasai semasa itu, kiranya tidak memberi apa-apa kepada mereka walaupun telah diambil banyak faedah daripada mereka dengan keihsanan dan harta peninggalan mereka.
Lihat ikhwah bagaimana Maulana telah berpesan agar perhatian sewajarnya diberikan untuk amalan isal-e-tsawab (dalam tradisi kita disebut "amalan bertahlil @ kenduri arwah"). Oleh itu sekali lagi aku nyatakan bahawa amatlah menghairankan jika sesetengah ahli Jama`ah Tabligh ada yang menjadi penentang kepada amalan-amalan seperti ini kerana terikut-ikut fahaman ahli bid`ah-membid`ah yang anti tahlilan. Sedarlah wahai saudara Ahli Jama`ah Tabligh, Maulana Zakaria al-Kandahlawi yang kitab-kitab fadhailnya kamu baca sehari-hari tidak pernah membid`ahsesatkan amalan isal-e-tsawab, bahkan telah menyeru agar ianya diberi perhatian. Maka sama-samalah kita jaga amalan, warisan dan tradisi yang telah dipandang baik oleh orang-orang Islam. Janganlah diqiaskan atau disamakan amalan, warisan dan tradisi tersebut dengan amalan, warisan dan tradisi orang-orang kafir, kerana qias tersebut adalah qias baathil atau qias ma`al faariq kerana tidaklah agama Islam itu sama dengan agama kafir.


4 ulasan:

ruqayya_ali berkata...

jazakallah khair :)

muhammad fakhrul razi berkata...

pernah satu ketika saya merasakan antara ahli jemaah tabligh dengan ahli salafi wahabi al ahkam.net mana satu yang lebih 'salaf',maka saya akan jawab jamaah tabligh.

ini kerana bukan saja mereka cintakan kisah nabi dan para sahabat dan cuba menonjolkan dalam setiap kehidupan termasuk cara makan,berpakaian dan lain-lain,mereka sendiri juga sering menegaskan betapa perlu berdakwah seperti nabi berdakwah dan mendorong mereka berdakwah secara bersemuka dgn org awam.(bukan sekadar menulis di internet atau buat kenyataan akhbar).

mungkin sebab mereka kuat mengajak awam solat berjamaah di masjid, dan kebanyakan mereka merasakan telah jatuh hukum wajib untuk solat berjamaah di masjid, persis kepada mazhab hanafi atau imam abu hanifah sendiri yang kita tahu merupakan imam yang paling tua atau lebih hampir zaman 'salaf'nya dengan rasulullah s.a.w berbanding imam yang tiga lain yang datang kemudiannya, yang telah mewajibkan solat berjamaah di masjid.

namun, dari satu sudut, apabila bergaul dengan jamaah tabligh, saya dapati suatu gejala yang mungkin tak dapat dielakkan menular, iaitu 'merasakan kita yang paling betul,dan tiada khilaf melainkan hukum dari kitalah yang tepat sekali' persis golongan salafi wahabi juga menular di antara ahli jamaah tabligh.

alqasam berkata...

Allah, Allah..

Terima Kasih utk artikel ini

Memang benar sekali.

ruqayya_ali berkata...

mfr, ulama' tabligh yg saya jumpa xpernah lagi yg ada unsur salapi.

melainkan org awam sahaja.