Isnin, Mac 26, 2007

Cahaya Hati

Imam al-'Allaamah al-Hafiz Jamaluddin 'Abdur Rahman bin Abul Hasan 'Ali bin Muhammad bin 'Ali bin 'Ubaidillah al-Baghdadi al-Hanbali adalah seorang ulama besar bermazhab Hanbali yang wafat tahun 597H. Beliau dikenali sebagai "Ibnul Jawzi" menyebabkan beliau sering dikelirukan orang dengan "Ibnul Qayyim al-Jawzi" anak murid Ibnu Taimiyyah al-Harrani. Bersempena bulan mawlid ini, aku nukilkan tulisan-tulisan beliau mengenai Junjungan Nabi s.a.w. dan amalan bersholawat kepada baginda dari karangannya "Bustaanul Waa`idziin war Riyaadhus Saami`iin". Halaman 298-299, beliau rahimahUllah menulis:-

Telah diriwayatkan daripada Junjungan Rasulullah s.a.w. bersabda:-

من اكثر الصلاة عليّ نور الله قلبه

"Sesiapa yang banyak bersholawat ke atasku,
Allah akan memberi cahaya pada hatinya."

Dan yang sedemikian adalah kerana sesungguhnya segala dosa itu menghitamkan (menggelapkan) hati. Apabila seseorang melakukan satu dosa, maka tumbuhlah satu bintik hitam dalam hatinya. Lalu bila dia berterusan melakukan dosa, tumbuh berkembang segala bintik-bintik hitam tersebut sehingga menghitamkan sekalian hatinya. Maka apabila Allah membasahkan lidah seseorang itu dengan ucapan sholawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w., diampunkan Allah dosa-dosanya walaupun ianya umpama seberat gunung. Apabila dosa-dosanya diampun, hilanglah bintik hitam daripada hatinya lalu terbitlah cahaya.

Oleh kerana itu Islam tidak sempurna kecuali dengan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. Jika seseorang berkata: "Aku tidak memandang sholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. sebagai satu kewajipan," maka dia menjadi kafir, menentang Allah, keluar dari Islam dan hilang cahaya petunjuk daripada hatinya. Allah s.w.t. berfirman:-

أَفَمَن شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلإِسْلاَمِ فَهُوَ عَلَى نُورٍ مِّن رَّبِّهِ
"Jika demikian, adakah orang yang dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup matahatinya dengan selaput kederhakaan)?"
Maka ini adalah penjelasan yang nyata daripada Allah.
Dan telah dinasyidkan oleh mereka:-

نور القلوب يزيد عند صلاتنا للهاشمي فنوره لا ينجلي
فضياؤنا من ضوء نور محمد صلوا على ذاك النبي الأفضل


Cahaya hati bertambah ia tatkala kita sholawatkan Nabi
Nabi keturunan Hasyim cahayanya tak akan sirna sekali-kali
Maka sinar cahaya kita adalah daripada sinar cahaya Nabi
Bersholawatlah atas nabi yang terutama itulah Junjungan Nabi

اللهم صل على النبي الهاشمي سيدنا محمد
وعلى اله و صحبه و سلم تسليما