Sambung Tarawih - Fatwa Kedah
Bulan Ramadhan, bulan yang mulia di mana kita digalakkan untuk mempertingkatkan lagi amalan - amalan sunnat terutama sekali shalat-shalat sunnat kerana setiap amalan sunnat dalam bulan ini diberi ganjaran fardhu. Sesungguhnya ganjaran fardhu itu terlalu amat besar kerana 1000 sunnat pun tidak akan dapat mencapai ganjaran fardhu yang satu. Antara shalat sunnat yang dikhususkan dalam bulan Ramadhan yang mulia ini adalah shalat Tarawih. Telah jadi amalan kita bahawa ianya dilaksanakan dengan 20 rakaat dan disudahi dengan 3 rakaat Witir. Namun kekadang ada di antara kita yang menghadiri jemputan ke majlis - majlis iftar di mana mungkin atas sebab - sebab tertentu seperti kesuntukan masa, maka penganjurnya hanya melaksanakan shalat Tarawih 8 rakaat sahaja sebelum dilanjutkan dengan witir sebanyak 3 rakaat. Maka persoalan yang timbul: Apakah setelah kita menunaikan shalat Witir tersebut, kita boleh menyempurnakan bilangan rakaat tarawih kita sehingga cukup 20 rakaat, yakni dengan menambah lagi 12 rakaat?
"Himpunan Fatwa 2 Negeri Kedah Darul Aman" yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Kedah yang ketika itu dipimpin oleh Shahibus Samahah al-`Alim al-`Allaamah Dato` Mursyid Diraja Dato` Paduka (Dr.) Syaikh `Abdul Majid bin Mohd Noor, pada halaman 21 mencatatkan sebagai berikut:-
Mengerja Tarawih Selepas Witir.
Mengerjakan Tarawih delapan rakaat dan Witir, selepas itu digenapkan Tarawih dengan dua belas rakaat lagi bagi mencukupi dua puluh rakaat.Jawatankuasa berpendapat sah mengerjakan Tarawih selepas Witir dan sah Tarawih yang digenapkan menjadi dua puluh rakaat yang diselangi dengan Witir tetapi menyalahi kaifiat yang afdhal, iaitu disempurnakan Tarawih dahulu selepas itu dikerjakan Witir samada terus selepas Tarawih atau dilakukannya pada akhir malam.
Oleh itu, bagi sesiapa yang berkemampuan, janganlah melepaskan peluang untuk memperbanyakkan sujud kepada Allah `azza wa jalla dalam bulan yang mulia ini. Walau apa pun perkataan mengenai bilangan rakaat shalat Tarawih, namun memperbanyakkan sujud, yakni dengan melakukan shalat - shalat nafil, itu adalah tsabit suruhannya dalam nas yang shahih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan