Berwangian Siang Ramadhan
Antara ulama kita yang terang-terang menyebut tentang perkara ini adalah Syaikh Zainuddin bin `Abdul `Aziz bin Zainuddin al-Malibari rahimahullah di mana dalam karya beliau yang masyhur "Fathul Mu`in" dinyatakan, antara lain:-
"Dan sunnat (bagi orang yang berpuasa) untuk menahan diri daripada makanan yang syubhah dan daripada menuruti kehendak hawa nafsu yang mubah (harus) baik ianya berupa sesuatu yang didengar, dilihat, menggunakan wangian dan menciumnya. Jika bertembung antara kemakruhan menggunakan wangian bagi orang yang berpuasa dan kemakruhan menolak pemberian wangian, maka dalam situasi sedemikian, mengelak daripada menggunakan wangian adalah lebih utama, kerana kemakruhannya membawa kepada pengurangan pahala ibadah (puasa)."Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi rahimahullah pula memperjelaskannya dalam "I`aanatuth Thaalibin" , jilid 2 halaman 280 - 281, antara lainnya sebagai berikut:-
(Perkataan pengarang yang menyebut: Dan daripada menggunakan wangian dan menciumnya) iaitu kedua-dua perbuatan tersebut adalah mubah, (namun) sunnat [bagi seseorang yang berpuasa] menahan dirinya daripada kedua perkara tersebut [yakni daripada menggunakan atau mencium wangian]. Dan tersebut dalam "at-Tuhfah": Bahkan menurut al-Mutawalli memandang kepadanya pun dihukumkan makruh."Manakala Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam "Nihayatuz Zain" halaman 194 pula menyatakan:-
" (Dan) yang keenam [daripada segala yang disunnatkan ke atas orang yang berpuasa adalah] (menahan) diri daripada (keinginan hawa nafsu) yang mubah yang tidak membatalkan puasa seperti memperbanyakkan makanan dan minuman; dan menikmati sesuatu yang diharuskan untuk didengar, dilihat, diguna dan dihidu seperti mencium wangian raihan dan memandang kepadanya dan menggunakannya kerana perkara-perkara tersebut mempunyai unsur bermewah-mewah yang menafikan hikmah berpuasa."Oleh itu, pandangan yang menghukumkan makruh mengguna wangian - wangian ketika berpuasa adalah satu pandangan yang wujud di kalangan para ulama kita. Maka pernyataan bahawa:- "tiada seorang ulama pun yang menghukumkannya sebagai makruh" adalah satu pernyataan yang silap walaupun ianya dikeluarkan oleh seorang daie kondang, kerana sememangnya wujud ulama yang menghukumkannya sebagai makruh. Bahkan pendapat yang menghukumkannya sebagai makruh inilah yang dipegang dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah sebagaimana makruhnya bersiwak setelah gelincir matahari. Ketahuilah bahawa sebagaimana makruhnya bersiwak setelah gelincir matahari, maka begitulah juga makruh menggunakan wangi-wangian ketika menjalani ibadah puasa. Sebenarnya bukan mazhab kita sahaja yang menghukumkan makruh menggunakan wangian ketika berpuasa. Mazhab Maliki juga mempunyai pandangan yang serupa sebagaimana dijelaskan oleh Dr. Wahbah az-Zuhayli hafizahullah dalam "al-Fiqhul Islamiy wa Adillatuhu", juz 2, ketika membincangkan perkara - perkara yang makruh bagi orang yang berpuasa, di mana dinyatakan bahawa antara perkara yang dimakruhkan bagi orang yang berpuasa dalam mazhab Syafi`i adalah bermewah-mewah atau menikmati kelazatan perkara yang mubah seperti menggunakan wangian pada siang hari (Ramadhan), mencium wangian dan pergi ke tempat permandian umum. Mazhab Maliki juga menghukumkan makruh berwangian dan mencium wangian pada siang hari Ramadhan. Oleh itu, wajar untuk kita menjaga puasa kita agar sempurna ganjarannya dan mudah - mudahan puasa kita akan menjadikan diri kita insan yang lebih zuhud yang tidak mudah tergiur dengan kelazatan duniawi.
2 ulasan:
Assalamu'alaikum.. Ustaz, memakai wangi-wangian ketika berpuasa selain di Bulan Ramadhan masih dihukumkan makruh ke dalam Mazhab Syafi'e?
Contohnya, ketika puasa sunat Isnin Khamis & puasa qadha serta nazar di luar bulan Ramadhan; masihkah dihukumkan makruh?
Syukron muqoddam..
wa 'alaikumus salam wa rahmatullah,
Ya, tetap makruh sebab karahah memakainya letak pada puasa bukan pada bulan Ramadhan.
Catat Ulasan