Doa Ramadhan
Sayyidina `Ubadah bin ash-Shaamid radhiyaAllahu `anhu berkata: " Adalah Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam telah mengajar kami akan kalimat doa ini ketika datangnya bulan Ramadhan: "Ya Allah, sejahterakanlah aku bagi (menghadapi) bulan Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terima dia daripadaku dengan penerimaan yang sempurna."
Doa ini disebut dalam hadis yang diriwayatkan Imam ath-Thabrani rahimahullah dalam "ad-Du`a", Imam ad-Dailami rahimahullah dalam "Musnad al-Firdaus" dan Imam adz-Dzahabi rahimahullah dalam "Siyar A'laam an-Nubala`". Kebanyakan ahli hadis menghukumkan riwayat ini sebagai dhaif, Imam adz-Dzahabi menghukumnya sebagai "gharib", manakala Syaikh `Ali bin Husamuddin Abdul Malik al-Muttaqi al-Hindi (888H - 975H) rahimahullah dalam karya beliau yang masyhur "Kanzul `Ummal" menyatakan bahawa ianya diriwayatkan dengan sanad yang "hasan". Oleh itu, jikapun dihukum riwayat ini sebagai dhaif, namun tidak ada kesalahan bagi kita mengamalkannya istimewa pula ianya berisi permohonan yang munasabah bagi menghadapi bulan Ramadhan yang mulia, selain pengertian yang mendalam dan mempunyai rahsia besar terkandung dalamnya. Di mana kita memohon kepada Allah agar kita diberi keselamatan, kesejahteraan, kesihatan dan keafiatan untuk menghadapi bulan Ramadhan dengan sebaik-baiknya sehingga kita dapat menunaikan segala hak-hak Ramadhan sebagaimana diperintahkanNya tanpa sebarang gangguan dan rintangan. Kita juga memohon agar bulan Ramadhan juga sejahtera dan selamat bagi kita dan juga selamat sejahtera daripada kita, yakni daripada dicemari dengan perbuatan dan perlakuan dosa maksiat kita, dalam erti kata lain, kita mohon agar Allah memelihara kita agar jangan sampai melakukan sebarang maksiat yang boleh melanggar kesucian bulan Ramadhan yang mulia. Dan di akhir doa tersebut, kita memohon agar Allah menerima Ramadhan kita dengan penerimaan yang sempurna. Allahu .... Allah..... `adhzimmmmm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan