Niat Puasa Sebulan Ramadhan
Sebagaimana yang kita sedia maklum, menurut Mazhab Syafie yang jadi amalan kita, wajib berniat untuk berpuasa Ramadhan pada setiap malam, yakni pada bila-bila masa mulai dari terbenam matahari sehingga terbit fajar. Tanpa berniat pada malamnya, maka tidaklah sah puasa seseorang. Berbeda dengan Mazhab Maliki yang membenarkan seseorang untuk hanya berniat sekali sahaja pada malam pertama Ramadhan dengan niat berpuasa untuk keseluruhan bulan yang mulia tersebut.
Sungguhpun demikian, para ulama kita tetap mensunnatkan (yakni jika dibuat dapat pahala) untuk kita memasang niat berpuasa keseluruhan bulan pada malam yang pertama bulan Ramadhan sebagai langkah ihtiyath sekiranya ada malam - malam yang kita terlupa berniat. Jika berlaku sedemikian, maka bolehlah kita meneruskan puasa kita tersebut walaupun terlupa niat dengan bertaklid kepada Mazhab Maliki. Satu lagi rahsia kenapa kita dianjurkan berniat puasa sebulan penuh Ramadhan itu adalah agar kita mendapat pahala niat untuk berpuasa sebulan penuh Ramadhan tersebut walaupun di pertengahan Ramadhan nanti kita kedatangan uzur syar`ie untuk menyempurnakan puasa kita ataupun kematian datang menjemput kita. Jika hal sedemikian terjadi, maka inSyaAllah dapatlah juga kita pahala Ramadhan walaupun sekadar pahala niat sebagaimana yang telah kita pasang pada malam pertama tadi. Mudah-mudahan Allah panjangkan umur kita sekaliannya dengan penuh sihat wal `afiat sehingga dapat kita jalani ibadah puasa kita dengan sebaiknya.
Mari kita ambil satu faedah dari satu kitab yang dinisbahkan kepada Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah dengan jodol "Kaifiat Khatam al-Quran" di mana pada halaman 116 - 117 dinyatakan, antara lain sebagai berikut:-
"Maka melafazkan niat puasa dengan katanya: " Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi Ramadhana kullihi hadzihis sanati lillahi ta`ala", artinya: "Sahaja aku puasa esok hari daripada menunaikan fardhu bulan Ramadhan sekaliannya pada tahun ini kerana Allah ta`ala." Maka inilah lafaz niat puasa Ramadhan yang sunnat dibawakan dia pada malam yang pertamanya. Dan adapun pada malam yang keduanya hingga akhir bulan, maka janganlah dibawa lafaz "kullihi" itu tetapi dikatanya: "Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi Ramadhana (Ramadhani) hadzihis sanah lillahi ta`ala", "Sahaja aku puasa esok hari daripada menunaikan fardhu bulan Ramadhan yang pada tahun ini kerana Allah ta`ala."
Maka WAJIB kita yang bermazhab Syafie untuk mengqasadkan niat dalam hati sanubari pada setiap malam bulan Ramadhan untuk berpuasa pada keesokan harinya dan SUNNAT melafazkan niat tersebut di lidah. Dan SUNNAT bagi kita yang bermazhab Syafie untuk mengqasadkan niat berpuasa sebulan penuh bulan Ramadhan dan SUNNAT untuk kita melafazkan niat tersebut di lidah. Semoga amalan kita diterima Allah dengan sempurna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan