Yaasin Malam Nishfu
Satu amalan yang boleh dikatakan telah diwiridkan sejak zaman tok nenek kita dahulu bahawa pada setiap malam pertengahan bulan Sya'baan (malam Nishfu Sya'baan) mereka akan berkumpul di masjid atau surau atau rumah untuk membaca Yaasin sebanyak 3 kali dengan niat-niat yang tertentu. Amalan ini telah dipandang baik sejak dahulu lagi sehinggalah ke masa kita ini apabila ada sesetengah ustaz yang "membid`ahsesatkan" amalan tersebut. Maka jarum halus pembid`ahan tersebut mereka suntik dengan alasan kononnya takut amalan membaca Yaasin 3 kali itu dianggap sebagai suatu kewajipan atau kononnya kerana pembacaan Yaasin yang terlalu cepat sehingga mencederakan bacaan dan berbagai alasan lagi. Maka digantikanlah pembacaan Kalam Allah yang mulia dengan mendengar celoteh mereka atas nama tazkirah dan seumpamanya.
Apakah benar, amalan membaca Yaasin pada malam Nishfu Sya'ban ini bertentangan dengan Syariat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sehingga perlu dihentikan amalannya. Atau hanya "ijtihad" juhala` sahaja yang sanggup menghentikan satu tradisi salih yang telah menjadi amalan tok nenek kita zaman berzaman? Jika pejuang bangsa sanggup bersingsing lengan untuk mempertahankan tarian kebudayaan bangsa, mengapa di sudut lain amalan-amalan salih yang telah menjadi menjadi tradisi bangsa kita hendak dihapuskan.
Berbalik kepada pembacaan Yaasin pada malam Nishfu Sya'baan, mari kita lihat apa yang dinyatakan oleh seorang ulama dan muhaddits yang ternama, al-Imam al-Muhaddits Abu `Abdullah Muhammad bin Darwisy al-Huuti al-Bayruti (1209-1276H) rahimahullah dalam karya beliau " Asna al-Mathaalib fi Ahaadits Mukhtalifah al-Maraatib". Pada halaman 585 kitab tersebut, dinyatakan bahawa:-
"Hadits-hadits Kelebihan Nishfu Sya'ban. Hadits-haditsnya telah disebut terdahulu di antaranya hadits : " Sesungguhnya Allah turun ke langit pada malam Nishfu Sya'baan (yakni Allah menurunkan satu rahmat yang khas pada malam tersebut, Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluk) ..... sehingga ke akhir hadits." Dan kami telah menjelaskan status hadits-hadits tersebut dalam babnya dan perkataan-perkataan ulama mengenainya. Dan pada kesimpulannya, sejumlah hadits yang warid tentang malam Nishfu Sya'baan menunjukkan atas kelebihannya (yakni sememangnya warid berbilang hadits-hadits yang menunjukkan atas kelebihan malam Nishfu Sya'baan) sebagaimana dinyatakan oleh ahli ilmu.
Adapun pembacaan surah "Yaasin" pada malamnya selepas Maghrib dan doanya yang masyhur (yakni Doa Nishfu Sya'baan"), maka ianya telah disusun oleh sebahagian orang salih ( ahlush sholaah yakni orang salih dan bukannya orang fajir atau fasik) menurut ijtihadnya sendiri. Dikatakan bahawa orang yang menyusunkan tertib amalan Yaasin ini adalah al-Buni dan TIDAKLAH MENGAPA untuk diamalkan (yakni mengamalkannya tidaklah menjadi kesalahan sehingga perlu untuk ditegah atau dilarang atau diperlekehkan).
Allahu .. Allah, maka amalan membaca Yaasin pada malam Nishfu Sya'baan itu berasal daripada amalan para ulama dan orang - orang salih terdahulu. Mengenai al-Buni, maka Syaikh Mahmud al-Arnaauth pada ta'liqnya atas "Asna al-Mathaalib" tersebut menyatakan bahawa al-Buni adalah Syaikh Abul `Abbas Ahmad bin al-Qaasim bin Muhammad Saami at-Tamimi al-Buni rahimahullah, ulama besar yang dinisbahkan kepada Bunah yang terletak dalam kota Annabah di Algeria. Beliau adalah seorang muhaddits (ahli hadits) yang memiliki karya-karya yang bernilai antaranya "Nadzam al-Khashaish an-Nabawiyyah" dan "al-Mustadrak `ala as-Sayuthi". Beliau wafat pada tahun 1139H. Perlu kita perjelaskan bahawa Syaikh al-Buni rahimahullah yang dimaksudkan di sini bukanlah Syaikh al-Buni atau nama penuhnya Ahmad bin `Ali bin Yusuf al-Buni pengarang "Syamsul Ma`arif al-Kubra" yang terkenal dalam ilmu hikmah. Mereka adalah dua orang yang berbeza, hidup pada zaman yang berbeza, namun dari tempat yang sama.
Oleh itu, maka tidak wajar untuk kita berhenti beramal dengan tradisi membaca "Yaasin" tiga kali dan "Doa Nishfu Sya'baan" hanya kerana ada "ustaz" atau "proztaz" yang bermasalah dengan amalan tersebut. Jika takut dikatakan menjadi kewajipan atau takut kecederaan tajwid dalam bacaan "Yaasin", maka nasihat dan ilmulah jawabnya bukannya menghentikan amalan tersebut. Oleh itu adalah satu kebangangan untuk mengikut "ustaz" yang belum tentu kesalihan dan kewarakannya dan meninggalkan para ulama yang telah nyata kesalihan dan kewarakan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan