Takbiran & Wiridan
Tulisan kali ini kan kubicarakan sekadarnya berhubung persoalan yang mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak, tapi biaq pilah, kalau remeh tak yah lah bace ye. Bagiku cukup sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. menjadi sandaran, di mana Junjungan Nabi s.a.w. bersabda kepada Sayyidina Abu Dzar r.a.:-
لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن تلقى أخاك بوجه طليق
"Janganlah engkau meremehkan sesuatu makruf, walaupun kemakrufan tersebut sekadar engkau bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang manis."Tambahan pula, apa yang aku nak tulis ini adalah berdasarkan kepada permintaan beberapa ikhwah yang sudah amat sering meminta penjelasan mengenainya. Persoalannya ialah bagaimanakah caranya kita hendak memulakan takbir hari raya kita, takbir dulu ke wirid dulu. Tapi di sesetengah tempat kat kampung aku, persoalan ni tak timbul, sebab deme lebih suka ikut cara malas, takbir je tak yah wirid-wirid, maka digantikanlah wiridan sholat itu dengan takbiran.... Allahu .... Allah, pahala dah berlonggok gamaknye.
Berbalik kepada persoalan tadi, maka untuk menjawabnya, biorle serah kepada ulama kita. Aku nukilkan di sini tulisan Tok Syaikh Daud al-Fathani dalam "Furuu'ul Masaa-il" jilid 1 halaman 137, di mana dinyatakan:-
"(Su-ila r.a.) Apakah kita dahulukan kemudian daripada sembahyang fardhunya atau sunnatnya, adzkar sembahyang atau takbir? (Maka dijawabnya) Dengan bahawasanya hendaklah didahulukan takbir itu daripada adzkar sholawat kerana bahawasanya ia tanda kenyataan waktu dan tiada berulang-ulang, maka adalah sungguhnya akan dia dengan mengerjakan sangat dituntut daripada adzkar sembahyang, ini nisbah takbir muqayyad. Adapun takbir mursal ditakhirkan dia daripada adzkar sembahyang."Dalam "Busyral Kariim" karya Syaikh Sa`iid bin Muhammad Baa 'Asyin, jilid 2, halaman 20, dinyatakan sebagai berikut:-
" .... Dan inilah takbir mursal dan mutlak (yakni takbir yang bermula selepas terbenam matahari malam hari raya dan berkekalan sehingga salam sholat sunnat hari raya) yang tidak terikat dengan sembahyang atau selainnya. Dan SUNNAT ditakhirkannya (yakni ditakhirkan takbir mursal muthlaq ini) dari segala zikir sembahyang (yakni wiridan selesai sholat). Maka jika didahulukan takbir mursal mutlak ini dari zikir-zikir selepas sembahyang dengan niat (atau anggapan) bahawa ianya adalah muqayyad (yakni dianggapnya takbir mursal itu sebagai takbir muqayyad yang terikat dengan sembahyang) maka hukumnya adalah makruh, namun jika tidak ada niat (atau anggapan) tersebut maka perbuatannya mendahulukan takbir mursal daripada wiridan sholat hanya dinilai sebagai sesuatu yang meluputkan yang afdhal (yakni yang afdhalnya ialah didahulukan wiridan dari takbir mursal) bukannya sesuatu yang makruh."Manakala dalam kitab "Bughyatul Mustarsyidiin" himpunan Mufti Sayyid 'Abdur Rahman bin Muhammad Ba 'Alawi pada halaman 89 dinyatakan:-
"(Faedah) Sunnat ditakhirkan takbir mutlak (mursal) dari zikir-zikir (selepas) sembahyang, berbeda dengan takbir muqayyad di mana ianya disunnatkan didahulukan dari zikir-zikir sembahyang....."Maka ikhwah yang budiman, begitulah menurut ulama kita Syafi`iyyah kedudukan takbiran dengan wiridan, iaitu takbir mursal sunnat dikemudiankan dari wiridan, manakala takbir muqayyad sunnat didahulukan dari wiridan. Jika didahulukan takbir mursal dengan niat sebagai muqayyad maka hukumnya adalah makruh, jika tiada niat tersebut, maka hanya khilaful awla sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan