Khamis, Oktober 01, 2015

Kisah Jaga Air Muka

Imam an-Nawawi ats-Tsani, Syaikh Muhammad Nawawi bin `Umar al-Jawi al-Bantani, guru kepada guru - guru kita dan segala ulama Tanah Jawi, 'alaihi wa 'alaihim rahmatul Bari, dalam karya beliau yang sudah tersohor di serata negeri, syarah kepada "al-Munabbihat" karya Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah, dengan jodol "Nashoihul `Ibaad" menulis pada halaman 11 - 12 seperti berikut:-
"... Abu 'Abdur Rahman Haatim bin 'Ulwaan atau menurut sebahagian ulama lain, nama beliau ialah Haatim bin Yusuf, adalah di antara sebesar-besar ulama Khurasan. Beliau merupakan murid Syaikh Syaqiq (al-Balkhi). Dikisahkan satu ketika seorang wanita telah datang menemui Syaikh Haatim untuk bertanyakan satu masalah. Ketika mengemukakan soalan, wanita tersebut telah terkentut dengan mengeluarkan bunyi, maka tersipu-sipulah wanita tersebut kerana malu. Lalu Syaikh Haatim pun berkata kepada wanita tersebut: "Kuatkanlah suaramu," seolah-olah beliau pekak dan tidak mendengar wanita tersebut. Maka gembiralah si wanita tersebut dan hilanglah rasa malunya dan dia berkata pada dirinya: "Pasti dia tidak mendengar bunyi kentut tadi." Sejak peristiwa tersebut, lekatlah gelaran pekak bagi Haatim sehingga beliau digelar Haatim al-Asham (Hatim si Tuli)."
Dikisahkan juga bahawa Syaikh Haatim terus berpura-pura menjadi orang yang kurang jelas pendengarannya alias tuli atau pekak selama bertahun-tahun sepanjang hayat wanita tersebut. Hal ini beliau lakukan demi menjaga air muka wanita yang terkentut tadi. Hanya setelah meninggal wanita tersebut, barulah "pendengaran" Syaikh Haatim kembali seperti sediakala. ..... Allahu ... Allah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Allah...akhlak yg mulia