Isnin, Oktober 24, 2016

Timbangan Yang Sempurna


Sebagai hamba yang lemah, serba kekurangan dan kedhaifan, pasti sifat kurang itu dibawa hatta ketika melaksanakan sesuatu pekerjaan atau amalan atau urusan atau ibadah. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa memohon agar Allah `azza wa jalla menerima segala amalan kita walaupun keadaannya dipenuhi pelbagai kekurangan dan kecacatan. Allah azza wa jalla dalam surah al-Baqarah ayat 127 berfirman, yang kira-kira maksudnya: " Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata:  Wahai Tuhan kami ! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." Allahu ... Allah, lihat sahaja bagaimana dua manusia agung ini, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail 'alaihimash shalatu was salam, nabi serta rasul yang maksum, tatkala melaksanakan pekerjaan yang suci iaitu perintah Allah membina Baitullah, di tempat yang paling suci, Kota Mekah, namun tetap kedua mereka bermunajat memohon agar Allah ta`ala menerima amalan mereka. Lalu di manakah kedudukan kita ? Sewajarnya hamba yang lemah yang dhaif yang banyak kekurangan dan taqshir lagi melazimi dosa dan maksiat, pasti 100000000000 kali wajar dan patut untuk merayu agar Allah yang Maha Agung menerima amalan kita yang penuh kekurangan ini. Sesungguhnya nilainya sesuatu amalan itu adalah atas kabul dan penerimaannya di sisi Allah. Sedekah yang hanya sekupang dua tetapi diterima di sisi Allah adalah besar nilainya di akhirat nanti berbanding sedekah 2.6 billion yang tidak diterima di sisi Allah.

Imam Nawawi rahimahullah menukilkan dalam kitabnya yang masyhur "al-Adzkar" pada halaman 427 bahawa diriwayatkan dalam "Hilyatul Awliya" daripada Sayyidina Ali radhiyaAllahu `anhu yang berkata: "Sesiapa yang suka (amalannya) ditimbang (yakni dikira) dengan timbangan yang sempurna, maka hendaklah dia membaca di akhir majlisnya atau ketika dia berdiri (untuk meninggalkan sesuatu majlis, yakni kinayah bagi selesainya sesuatu pekerjaan atau urusan atau amalan atau ibadah):-
Juga telah warid lagi beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan dalam "Mushannaf Abdur Razzaq ash-Shan`aani" dan oleh Imam ath-Thabrani rahimahullah dalam "Kitabud Du`a", bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam membaca ayat-ayat ini selepas shalat. Imam ad-Dailami rahimahullah pula mendatangkan riwayat daripada Sayyidina 'Ali karramaAllahu wajhah yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang suka amalannya ditimbang dengan timbangan yang sempurna pada Hari Kiamat, maka hendaklah dia membaca setelah selesai shalat : (ayat tersebut tadi, yakni ayat 180 - 181 surah ash-Shaaffaat)." 

 Allahu... Allah, maka ada ulama yang menamakan ayat-ayat 180 - 181 surah ash-Shaaffaat ini sebagai "al-Mikyaalul Awfa" yakni "timbangan yang sempurna". Oleh itu adalah dianjurkan agar pembacaan ayat atau zikir ini diamalkan di akhir setiap majlis kebajikan atau pada penghujung doa atau ketika selesai menunaikan shalat dan lain-lain ibadah, dengan harapan agar Allah `azza wa jalla menerima segala ibadah dan amalan kebajikan tersebut dan memberikan ganjaran pahala yang sempurna atas ihsan dan rahmatNya semata-mata.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

T.kasih sidi. Mohon kongsi