Jumaat, November 04, 2016

Faedah Dari Fathur Rabbani

Shalawat al-Fatih atau "al-Yaquutatul Faridah" (Permata Tunggal atau Permata Langka) memang sudah sinonim dengan pengamal Thariqat Tijaniyyah. Namun ianya bukanlah milik ekslusif mereka, shalawat ini sebenarnya telah tersebar sebelum Sidi Ahmad Tijani rahimahullah lagi dengan beberapa variasi lafaz atau shighah. Ianya telah menjadi amalan umat Islam, samada yang berafiliasi dengan Tijani atau bukan. Contohnya kalimah "al-Fatih li ma ughliq" tercatat dalam satu shighah yang dinisbahkan kepada Sayyidina 'Ali radhiyaAllahu 'anhu.  Oleh itu, sekadar menambah perbendaharaan kita, faqir nukilkan pengertian kalimah "al-Fatih lima ughliq". Penjelasan ringkas ini dinukil daripada kitab "al-Fathur Rabbani" karya Syaikh Muhammad bin Abdullah bin Hasanain asy-Syafie ath-Thashfaawi at-Tijani rahimahullah, di mana pada halaman 54 dinyatakan:-


(Pembuka bagi apa yang tertutup) iaitu baginda telah membuka segala apa yang tertutup daripada kewujudan. Jika bukan kerana baginda shallaAllahu 'alaihi wa sallam, tidaklah wujud segala yang mawjud (yakni segala makhluk yang diwujudkan Allah ta`ala). Segala makhluk tidak akan dikeluarkan daripada 'adam (yakni ketidakwujudan) kepada wujud (yakni jika bukan kerana baginda tidaklah diciptakan segala makhluk). Maka bagindalah satu-satunya sebab bagi kewujudan sekalian makhluk. Sesungguhnya baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah sebab bagi limpahan rahmat Allah ke atas segala yang mawjud, jikalau bukan kerana kewujudan baginda shallaAllahu 'alaihi wa sallam tiadalah rahmat bagi yang mawjud. Maka baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam yang membuka segala rahmat dan nikmat yang selama ini tertutup, samada yang berbentuk ni'matul ijaad (yakni nikmat - nikmat asas yang berupa kewujudan seperti wujudnya diri kita daripada tiada kepada ada atau wujudnya keimanan diri dan sebagainya) maupun ni'matul imdad ( yakni segala nikmat yang diperlukan untuk melestari atau mengekal atau menambahbaik ni'matul ijaad (nikmat kewujudan) seperti umur yang panjang, rezeki yang luas, husnul khatimah ketika mati dan sebagainya).

Allahu ... Allah, sesungguhnya teramatlah besar alaqah atau pertautan kita dengan Junjungan Nabi shallaAllahu alaihi wa sallam. Saking kuatnya pertautan tersebut, maka menjadi kewajipan kita untuk mengucapkan salam ke atas baginda shallaAllahu alaihi wa sallam dengan shighah mukhathabah (yakni secara dialog bertemu muka) iaitu ketika mengakhiri shalat dalam lafaz tahiyyat akhir yang menjadi rukun shalat dengan ungkapan "as-salamu `alaika ayyuhan Nabiyyu wa rahmatullahi wa barakatuh", diucapkan seolah-olah kita berhadapan dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan terungkap di lisan kita "salam atas mu wahai Junjungan Nabi". Maka wajar bagi kita untuk menjaga hubungan ini dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang dianjur dan diperintah oleh Allah ta`ala. Berusahalah agar jangan sampai ada satu detik hubungan kita dengan baginda shallaAllahu alaihi wa sallam terputus. Jika terputus, bersegeralah untuk mempertautkannya kembali dengan sentiasa ingat bahawa Allah `azza wa jalla Tuhan yang mewujudkan kita, ingat bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu alaihi wa sallam yang menjadi sebab bagi kewujudan kita. Allah `azza wa jalla yang memberikan rahmat dan baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam  adalah rahmatNya yang teragung bagi sekalian alam termasuklah diri kita insan kerdil. Allahu .... Allah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

T kasih atas penerangan yg lbh lanjut. Mohon dikongsi