20 Sunnat Ab`adh
Secara kasar, umum mengetahui bahawa berqunut dalam shalat fardhu Subuh ( dan i'tidal rakaat terakhir shalat sunnat witir pada pertengahan kedua bulan Ramadhan) adalah antara sunnat ab`adh yang sangat-sangat dituntut perlaksanaannya menurut Mazhab Syafi`i. Selain daripada itu, umum juga mengetahui bahawa bacaan tahiyyat awal juga termasuk sunnat ab`adh.
Para ulama telah memperincikan bahawa terdapat 20 perkara yang dianggap sebagai sunnat ab`adh di mana jika ditinggalkan salah satu daripadanya maka sunnatlah dijabar atau ditampung dengan sujud sahwi. 20 perkara tersebut adalah sebagai berikut:-
- membaca tahiyyat awwal;
- duduk ketika membaca tahiyyal awwal;
- membaca shalawat ke atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam setelah membaca tahiyyat awwal;
- duduk ketika membaca shalawat tersebut;
- membaca shalawat ke atas Aali Muhammad mengiringi ucapan shalawat ke atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selepas membaca tahiyyat akhir;
- duduk ketika membaca shalawat atas Aali Muhammad pada tahiyyat akhir;
- membaca qunut (dalam Shalat Subuh & Witir pertengahan kedua Ramadhan)
- berdiri ketika membaca qunut;
- membaca shalawat ke atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selepas qunut;
- berdiri ketika membaca shalawat tersebut;
- membaca shalawat ke atas Aali Muhammad mengiringi shalawat ke atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam setelah qunut;
- berdiri ketika membaca shalawat ke atas Aali tersebut;
- membaca shalawat ke atas sahabat Nabi mengiringi shalawat ke atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam setelah qunut;
- berdiri ketika membaca shalawat ke atas sahabat tersebut;
- membaca salam ke atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam beserta shalawat setelah qunut;
- berdiri ketika membaca salam tersebut;
- membaca salam ke atas Aali Muhammad setelah qunut;
- berdiri ketika membaca salam tersebut;
- membaca salam ke atas sahabat setelah qunut;
- berdiri ketika membaca salam tersebut.
Inilah 20 sunnat ab`adh yang perlu kita amalkan agar sempurna ibadah kita tanpa perlu ditampung dengan sujud sahwi. Untuk ucapan shalawat dan salam di akhir qunut, maka memadailah dengan shighah yang biasa diamalkan, iaitu wa shallaAllahu 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala aalihi wa shahbihi wa sallam yang merangkumi ucapan shalawat dan salam ke atas baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, ke atas 'Aali Muhammad dan ke atas para sahabat baginda.
3 ulasan:
Apakah hukum penambahan "WA BAARIK" sebelum ucapan salam seperti
wa shallaAllahu 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala aalihi wa shahbihi WA BAARIK wa sallam
dan apakah hukum jika membaca wa sallam sebagai WA SALLIM?
T.kasih
Tidaklah menjadi kesalahan untuk ditambah dengan kalimah "baaraka" pada salawat tersebut. Dan mengikut kaedah ilmu nahwu ianya hendaklah dibaca " wa baaraka wa sallam" kerana mengikut awalannya "wa shalla ...", namun jika dibaca "wa baarik wa sallim" tidaklah membatalkan shalat kerana kesalahannya hanya dari segi ilmu nahwu. Allahu a'lam.
Catat Ulasan