Jumaat, Disember 16, 2016

Syaikh Abdul Ghani Kampar

Ini foto Syaikh Abdul Ghani bin Abdus Salam qaddasaAllahu sirrah yang lebih dikenali sebagai Syaikh Abdul Ghani Kampar @ Syaikh Abdul Ghani Batu Basurek. Mursyid Thariqah Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah yang telah mengangkat almarhum Buya Muhibbuddin Waly sebagai mursyid dalam Thariqah Naqsyabandiyah. Beliau dikatakan lahir sekitar tahun 1811 dan kembali ke rahmatullah pada 1961, menjadikan usia beliau sekitar 150 tahun.

Beliau telah melanjutkan pengajian agama di Mekah dan berguru dengan para ulamanya. Di antara guru beliau di sana adalah Syaikh Ahmad Khatib al-Minangkabawi rahimahullah dan khusus dalam perjalanan kesufian Thariqah Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah, beliau menerima didikan dan tarbiyah daripada Syaikh Sulaiman Zuhdi qaddasaAllahu sirrah. Setelah bermukim di sana sekitar 20 tahun, barulah Syaikh Abdul Ghani kembali semuka ke tanahair.

Sekembalinya beliau ke tanahair, beliau mendirikan surau dan rumah suluk di Batu Bersurat @ Batu Basurek, Kampar. Di situlah beliau mendidik dan mentarbiyyah para santrinya sehingga ramai murid-murid beliau yang menjadi ulama dan awliya`. Di antara murid-murid beliau yang masyhur adalah Syaikh Muda Muhammad Waly al-Khalidy dan anak beliau Prof. Dr. Muhibbuddin Waly al-Khalidy. Semoga Allah merahmati beliau dan segala para ulama dan awliya` yang banyak jasanya kepada umat.... al-Fatihah.

Tiada ulasan: