'Uyuunul Atsar & Nurul 'Uyuun
Kitab "`Uyuunul Atsar fi funuunil Maghazi wasy Syamaail was Siyar" adalah antara karya Sirah Nabawiyyah yang masyhur. Karya ini diterima baik oleh kalangan umat, baik ulama maupun awam, di mana mereka membacanya, mentelaahnya, membahasnya dan menjadikannya sebagai rujukan. Menurut Prof. Dr. Faruq Hamadah, kitab ini mungkin kitab sirah pertama yang cuba mengumpul bahan-bahan yang berserakan untuk dijadikan sebuah kitab sirah yang sempurna dari segala segi dan benar-benar sahih menurut pandangan pengarangnya. Selanjutnya, Prof. Dr. Faruq menyatakan bahawa antara kelebihan kitab ini adalah ia turut memuatkan nas-nas yang berasal dari kitab-kitab yang telah hilang, di mana di dalamnya mengandungi banyak faedah ilmiah dan analisis yang penting. Oleh itu, kitab ini sangat perlu dibaca dan ianya adalah kitab yang dapat dipegang dalam bidang sirah oleh generasi umat Islam, baik mereka yang ahli dalam bidang ini maupun yang tidak, yakni sesiapa sahaja yang ingin mempelajari dan mengetahui sirahnya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun, karya ini bukanlah kitab kecil, ianya terdiri daripada 2 jilid besar yang mungkin sukar untuk ditelaah oleh orang awam. Maka si pengarang telah meringkaskan fakta-fakta yang penting dari kitab ini menjadi satu kitab kecil yang diberinya jodol " Nurul 'Uyuun fi talkhish Siratil Amiinil Ma`muun shallaAllahu `alaihi wa sallam".
"Nurul 'Uyuun fi talkhish Siratil Amiinil Ma`muun" adalah kitab sirah yang ringkas dengan bahasa yang mudah namun tidak kurang keindahannya dan padat dengan fakta berkaitan dengan sirah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dalam karya ini, hanya fakta-fakta ringkas mengenai berbagai aspek sirah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dicatat. Bermula daripada menyebut nasab baginda yang mulia, senda gurau baginda, para isteri baginda, mereka-mereka di sekeliling baginda sehinggalah detik kewafatan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kitab kecil ini telah diterjemah dalam beberapa bahasa, antaranya Bahasa Inggeris oleh Bilal Patel dan Mariam Madge Conlan dengan jodol "The Light of the Eyes, A concise biography of the Trustworthy and Reliable Prophet (PBUH)" dan diterbitkan oleh Turath Publishing tahun 2016. Dalam nota mengenainya, dinyatakan:-
" ... While other biographical literature varies in regards of authorship, authenticity, length, breadth of detail and historical, cultural and religious perspective, this work attempts to assimilate the most beneficial aspects of all these features. Both concise and comprehensive, it relies heavily on rigorously authenticated (sahih) and fully referenced sources, and is brimming with knowledge that 'delights the souls and adorns the pages'.
Kedua-dua kitab ini, merupakan karangan seorang ulama besar, asy-Syaikh al-Imam al-'Allaamah al-Muhaqqiq al-Mutqin al-Hafiz al-Faqih al-Adib an-Nahwi, Fathuddin Abul Fathi Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ya'muri ar-Rab`i al-Andalusi al-Mishri rahimahumullah yang lebih dikenali sebagai Ibnu Sayyidin Naas.
Sebenarnya ada dua orang ulama yang dikenali sebagai Ibnu Sayyidin Naas. Ini adalah kerana mereka sama-sama dinisbahkan kepada moyang mereka yang bernama Sayyidin Naas bin Abil Walid. Ibnu Sayyidin Naas yang pertama merujuk kepada al-Imam al-Allaamah al-Khatib al-Hafiz Abu Bakar Muhammad bin Ahmad bin Abdullah bin Muhammad bin Yahya al-Ya'muri al-Andalusi al-Isybili yang dilahirkan pada tahun 557H dan wafat tahun 659H. Manakala Ibnu Sayyidin Naas yang kedua adalah pengarang "Nurul 'Uyuun" iaitu Fathuddin Abul Fathi Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ya'muri ar-Rab`i al-Andalusi al-Mishri. Oleh itu, Abul Fath Fathuddin Ibnu Sayyidin Naas adalah cucu kepada Abu Bakar Ibnu Sayyidin Naas. Menurut para ulama jika diithlaqkan sebutan Ibnu Sayyidin Naas, maka ianya merujuk kepada sang cucu, iaitu Abul Fath Fathuddin Ibnu Sayyidin Naas, pengarang kitab sirah yang sedang kita bicarakan.
Abul Fath Fathuddin Ibnu Sayyidin Naas dilahirkan pada bulan DzulQa`idah tahun 671H di Kaherah dan dibesarkan dalam keluarga ulama. Beliau mendapat didikan awal daripada ayahnya sendiri yang merupakan seorang ulama besar dan muhaddits yang berdarjat al-hafiz. Diceritakan bahawa ayah beliau kerana kasihnya kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka semua anak lelaki beliau yang berjumlah 4 orang diberinya nama Muhammad. Maka hanya kunyah sahaja yang membezakan antara nama mereka, iaitu Abu Sa'd Muhammad, Abu Sa`id Muhammad, Abul Qasim Muhammad dan pengarang "'Uyunul Atsar", Abul Fath Muhammad. Sejak kecil lagi, Abul Fath Ibnu Sayyidin Naas telah dibawa oleh ayahnya menghadiri majlis-majlis ilmu dan zikir. Sikap mencintai ilmu yang disemai sejak kecil ini menyebabkan beliau amat bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Beliau telah berpergian ke berbagai tempat demi mencari ilmu, sehingga jumlah guru-gurunya hampir 1,000 orang. Di antara guru-guru beliau adalah Imam Ibnu Daqiqil Eid, Imam Fakhruddin Abul Hassan al-Maqdisi dan ramai lagi.
Abul Fath Fathuddin Ibnu Sayyidin Naas merupakan seorang ulama yang menguasai berbagai bidang ilmu pengetahuan. Beliau wafat pada pagi Sabtu 11 Sya'baan 734H. Telah melayati jenazah beliau oleh ramai manusia dan beliau dikebumikan di al-Qurafah di sebelah al-Hafiz Ibnu Abi Jamrah. Selain meninggalkan anak-anak murid yang ramai, Imam Ibnu Sayyidin Naas, turut meninggalkan berbagai karya, antaranya:-
- `Uyuun al-Atsar fi funuun al-maghaazi wasy-syamaail was-siyar;
- Nurul 'Uyuun fi Talkhish Siratil Amiinil Ma`muun SAW;
- Tahshilul Ishaabah fi Tafdhiil ash-Shahaabah;
- Busyral Labiib bi dzikril Habiib;
- Minahul Midah
- al-Maqaamaatul 'Aliyyah fil Karaamaatil Jaliyyah;
- an-Nafhusy Syadzi fi Syarhi Jaami`it Tirmidzi.
.... Kemudian para sahabat mendengar satu suara dari arah pintu rumah Junjungan SAW berkata: "Jangan kamu mandikan dia, sesungguhnya dia suci dan disucikan. Kemudian mendengar pula mereka satu suara lain yang menyatakan: "Kamu mandikanlah baginda, sesungguhnya suara tadi adalah Iblis dan aku adalah al-Khidhir," dan dia memberikan ucapan takziah kepada mereka dengan katanya:- "Sesungguhnya pada Allahlah ketenangan atas setiap musibah (yakni carilah ketenangan / kesabaran tatkala menghadapi musibah dengan kembali kepada Allah), penggantian segala apa yang punah, pemerolehan segala apa yang luput, maka berpeganglah kamu dengan Allah dan hendaklah kamu berharap kepadaNya. Sesungguhnya yang mendapat musibah yang sebenar adalah orang yang ditegah daripada memperolehi pahala (yakni dia tidak mendapat pahala daripada musibahnya kerana dia tidak sabar atau redha tatkala mendapat musibah).Mudah-mudahan pengetahuan kita tentang Junjungan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam sentiasa bertambah dan berkembang, memekar dalam taman hati sehingga tumbuh kecintaan dan kerinduan yang sejati kepada baginda.
1 ulasan:
T.kasih mempelbagaikan maklumat. Mudah2an menambahkah kasih kpd Junjungan Nabi Muhammad
Catat Ulasan