Tabarruk Sampai Mati
Imam an-Nawawi rahimahullah dalam karya beliau "Tahdzibul Asmaa-i wal Lughaat", juz ke-2, halaman 24, menulis bahawa Khalifah 'Umar bin `Abdul Aziz radhiyaAllahu `anhu menjelang kewafatannya, berwasiat agar baginda dikebumikan bersama-sama dengan rambut dan kuku Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Setelah baginda wafat, maka wasiat ini telah dilaksanakan. Imam an-Nawawi menyatakan, antara lain, sebagai berikut:-
Dan (Khalifah Umar bin 'Abdul `Aziz) telah berwasiat agar dikebumikan bersamanya sesuatu yang dimilikinya daripada rambut Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan beberapa kuku daripada kuku-kuku baginda. Dia berkata: "Apabila aku mati, maka kamu jadikannya dalam kafanku (yakni masukkanlah rambut dan kuku Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam kain kafanku)", maka mereka pun melakukan yang sedemikian. Dan diriwayatkan daripada Yusuf bin Maahik yang berkata: "Ketika kami sedang meratakan tanah atas kubur Khalifah 'Umar bin `Abdul `Aziz, jatuh ke atas kami secebis kain dari langit yang tercatat padanya: Bismillahir Rahmanir Rahim, keamanan daripada Allah buat 'Umar bin 'Abdul 'Aziz dari api neraka."Jika perbuatan bertabarruk itu menyalahi syariat, pasti Khalifah `Umar radhiyaAllahu `anhu yang terkenal 'alim, 'adil, warak, bahkan dinobatkan sebagai salah seorang khalifah rasyidin dan mujaddid kurun yang pertama, tidak akan berwasiat dengannya dan pasti ianya tidak dilaksanakan. Oleh itu, jika kita ada alahan dengan bertabarruk, maka tak perlulah kita melakukannya. Namun jangan pula kita menjangkitkan alahan kita kepada orang lain, apatah lagi membid`ahkan atau mensyirikkan mereka-mereka yang melakukannya.