Khiththah Mardhiyyah
Syaikh Ahmad al-Khatib bin 'Abdul Latif al-Minankabawi adalah seorang tokoh ulama Melayu yang telah menempa nama di kota suci Makkah al-Mukarramah. Beliau adalah murid kepada Sidi Ahmad Zaini Dahlan, mufti Makkah dan Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi, pengarang I`anatuth Thalibin. Beliau juga adalah guru kepada ramai pelajar, antaranya Syaikh Abdul Karim Amrullah, ayahanda Dr. Hamka. Atas ketinggian ilmunya, Syaikh Ahmad Khatib dilantik menjadi imam dan khatib bagi pengikut Mazhab Syafie pada maqam Ibrahim dalam Masjidil Haram yang mulia. Biografi beliau telah banyak ditulis dan dibukukan, antaranya oleh Dr. Mat Rofa Ismail dengan jodol "Biografi Agung Syeikh Ahmad al-Khatib al-Minankabawi". Tuan - puan yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai beliau, bolehlah mencari dan membaca tulisan tentang sejarah hidup beliau yang cemerlang tersebut. Selain memimpin shalat, mengajar dan memberikan fatwa, Syaikh Ahmad Khatib juga tidak lupa menghasilkan karya-karya tulis. Bahkan, hasil karangannya beliau menjangkau 47 buah kitab dan risalah dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan termasuklah ilmu falak dan matematik. Sungguhpun sedemikian alimnya, beliau tetap sahaja, dalam hukum - hakam fiqh, bertaqlid kepada Mazhab Syafie. Contohnya dalam polemik yang dicetuskan oleh Kaum Muda pada masalah talaffuz bin niyyah (yakni hukum melafazkan niat "ushalli" sebelum memulakan shalat), Syaikh Ahmad Khatib rahimahullah telah mengarang satu risalah / kitab yang diberi jodol "al-Khiththah al-Mardhiyyah fi raddi syubhati man qaala bi bid`ati at-talaffuz bin niyyah" bagi mempertahankan Mazhab Syafie dan menjelaskan bahawa hukum melafazkan niat bukanlah bid`ah dhalalah sebagaimana dakwaan Kaum Muda (baca: Wahhabi).
"... Dan segala itu padalah bagi orang yang beriman pada menyatakan sesat Ibnul Qayyim dan gurunya Ibnu Taimiyyah dan jika seperti itu maka adalah saudara - saudara yang mengikut Ibnul Qayyim pada syubhahnya sesat pula. Maka Ibnu Taimiyyah dan Ibnul Qayyim dan segala yang mengikut mereka itu ialah firqah yang telah keluar dari Ahlis Sunnah wal Jama`ah, yang memerangi mereka itu akan Ahlis Sunnah wal Jama`ah, dan mengkufurkan akan mereka itu, dan dinamai mereka itu Firqah al-Wahhabiyyah......" Mungkin ada yang tidak selesa dengan kata - kata dan kecaman keras Syaikh Ahmad Khatib terhadap Ibnu Taimiyyah dan Ibnul Qayyim serta pentaqlid mereka, namun apa yang dilakukan oleh Syaikh Ahmad Khatib tersebut hanyalah sebagai memulangkan paku buah keras kepada mereka yang terlebih dahulu menghukum orang - orang yang tidak mengikut pandangan mereka sebagai sesat, syirik, kufur dan sebagainya. Oleh itu, jika kita tidak suka dikecam orang, maka janganlah suka mengecam orang. Janganlah bersikap seolah - olah kebenaran mutlak itu adalah milik kita seorang. Belajarlah untuk menghargai khilaf dan menghormati ijtihad para ulama yang muktabar walaupun mungkin ijtihad mereka tidak selari dengan pegangan kita. Mudah - mudahan Allah mencucuri rahmat yang berkekalan ke atas Syaikh Ahmad al-Khatib rahimahullah dan menjadikan ilmunya bermanfaat sehingga kesudahan masa.