Selasa, Oktober 13, 2020

Kisah Jaga Lisan

Hukama yang bijaksana telah mensifatkan lidah atau lisan sebagai sesuatu yang kecil jirimnya namun dapat melakukan dosa atau kesalahan yang besar (al-lisaan - shoghirul jirmi `adzimul jurmi). Ini adalah fakta yang tidak dapat dinafikan. Oleh itu, maha penting untuk kita menjaga lidah kita, lidah itu lebih tajam dari mata pedang. Tusukan mata pedang hanya mengenai fizikal seseorang, namun lidah yang tajam menusuk terus ke hati sanubari seseorang. Antara kaedah untuk menjaga lisan adalah dengan  membiasakan mengucap tutur kata yang manis dan bersopan. Inilah yang disabdakan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam : "Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik - baik atau diam". 

Imam Malik bin Anas radhiyaAllahu `anhu ada meriwayatkan satu kisah mengenai betapa tinggi akhlak dan kesungguhan yang ditunjukkan Nabi `Isa `alaihis salam dalam menjaga lidah baginda yang mulia. Dalam kitab "al-Muwaththa`" pada halaman 985, Imam Malik meriwayatkan daripada Yahya bin Sa`id bahawa pada suatu hari Sayyidina `Isa `alaihis salam ketika berjalan terserempak dengan seekor babi. Baginda berkata kepada babi tersebut: "Lalulah dengan selamat." Maka baginda ditanya oleh seseorang: "Kenapa engkau berkata sedemikian kepada seekor babi?" Baginda menjawab: "Aku takut untuk membiasakan lidahku bertutur dengan ucapan yang buruk.".....Allahu .... Allah.

Sidi Ahmad bin Idris radhiyaAllahu `anhu, pengasas dan pendiri Thariqat Ahmadiyyah Idrisiyyah yang masyhur lagi tersohor, turut menukilkan riwayat kisah yang seumpama dalam "Ruuhus Sunnah"di mana beliau menyatakan bahawa diceritakan seekor babi melintas di hadapan Sayyidina `Isa `alaihis salam, lalu baginda bersabda: "Pergilah dengan selamat." Maka dikatakan kepada baginda: "Sungguh itu hanyalah seekor babi". Baginda bersabda: "Bahawasanya aku tidak suka membiasakan lidahku kecuali untuk menuturkan kebaikan."

Maka, awasilah lidah kita dalam mengeluarkan tutur kata. Hukama menyatakan bahawa Allah menjadikan lidah itu di dalam mulut, terpenjara di belakang gigi dan bibir. Oleh itu untuk menggerakkan lidah mengeluarkan tutur kata, kita perlu melalui kedua-duanya. Maka sebelum mengeluarkan tutur kata, hendaknya difikir dua kali buruk baiknya ucapan yang hendak disampaikan tersebut. Jangan main lepas sahaja, ingat kata hukama Melayu: Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana. Sesungguhnya orang yang bijak itu berfikir dahulu sebelum berkata, sedangkan yang dungu berkata dahulu kemudian baru berfikir.

Tiada ulasan: