Tawassul - Dr Ayman al-Akiti
Ketika ulama menyebutkan tawassul, maka ia bermaksud menjadikan sesuatu sebagai perantara untuk mencapai tujuan yang dituju. Misalnya, seseorang yang berharap agar doa dan harapannya dikabulkan Allah SWT, maka dia bertawassul dengan Nabi Muhammad SAW iaitu menjadikan Baginda sebagai wasilah atau perantara agar doa dan harapannya dimakbulkan oleh Allah SWT kerana Baginda SAW adalah kekasih Allah SWT.
Dalam konteks perdebatan hari ini, kelompok yang menganggap tawassul sebagai syirik adalah disebabkan mereka menilai bahawa doa sepatutnya dipanjatkan langsung kepada Allah SWT, sedangkan menjadikan ruh orang yang telah mati sebagai perantara termasuk Nabi Muhammad SAW adalah salah satu bentuk kesyirikan kerana melanggar firman Allah SWT: "Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung: "Kami tidak menyembah melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya" (al-Zumar: 3).
Walhal Rektor Universiti al-Qarawiyyin; Tayyib bin Kiran al-Fasi (w. 1812M) menjelaskan bahawa ayat tersebut sebenarnya menunjukkan kaum musyrikin beriman berhala-berhala tersebut memiliki bahagian dari sifat ketuhanan yang menyebabkan mereka jatuh dalam ke syirikan, serta larangan bertawassul dengan berhala.
Di sisi lain, kalau ditilik pada dalil dan nas syarak, ditemukan banyak sekali hadis dan athar yang digunakan sebagai sandaran keharusan bertawassul. Belum lagi doa-doa yang warid (sampai kepada kita) oleh ulama-ulama agung sendiri yang mengharuskan bertawassul. Ini yang menyebabkan Imam al-Sanusi (w. 895H) menjelaskan tawassul di dalam Islam adalah harus berbeza dengan sikap kaum musyrikin Mekkah.
Sebuah kisah yang terkenal diriwayatkan oleh Uthman bin Hunaif RA yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW didatangi oleh seorang lelaki buta yang mengadu kesusahannya. Maka Baginda SAW memerintahkannya untuk bersabar itu lebih baik baginya. Tetapi orang tersebut memilih Baginda SAW mendoakannya. Maka Baginda SAW memerintahkannya untuk ia berwudu, solat dua rakaat serta berdoa dengan doa ini:"Ya Allah! Aku memohon daripadaMu dan bertawassul dengan Nabi Mu Muhammad, Nabi pembawa rahmat, Ya Muhammad! aku bertawassul denganmu kepada Tuhanku bagi hajat ku ini, maka tunaikanlah untukku Ya Allah! berikanlah syafaatnya kepadaku".
Lalu Uthman menceritakan: "Demi Allah! sebelum kami berpisah dan belum banyak kami berborak, tiba-tiba lelaki buta itu masuk seolah ia belum pernah mengalami kebutaan". (HR al-Tirmidhi (hasan sahih gharib), al-Hakim (sahih) dan lain-lain. Bahkan seorang pakar hadis dari Mesir, Dr. Mahmud Said Mamduh mengatakan hadis ini sahih. (Lihat: Raf'u al-Manarah: 106].
Terkait dari kisah ini, Imam al-Tabrani meriwayatkan ketika zaman Khalifah Uthman bin Affan ada seseorang berhajat kepada Khalifah, akan tetapi beliau tidak dipandang oleh Khalifah. Maka beliau pun mengadu kepada Uthman bin Hunaif, maka beliau memerintahkan untuk berdoa seperti di dalam hadis yang lalu. Orang tersebut pun datang ke pintu rumah Khalifah Uthman bin Affan RA dan beliau dijemput masuk serta segala hajatnya ditunaikan. Beliau juga kembali dan menceritakan perkara inikepada Uthman bin Hunaif. [Athar al-Tabrani, Abu Nu'aim dan al-Bayhaqi. Dr. Mahmud mensahihkan hadis ini: Raf'u al-Manarah:115]. Athar ini juga menjadi bukti dianjurkan bertawassul dengan Rasulullah SAW walaupun setelah kewafatannya.
Hujjah kuat lainnya adalah sebuah atsar yang menceritakan ketika zaman Khalifah Umar bin al- Khattab RA, terjadi sebuah kemarau. Maka datanglah seorang lelaki ke makam Rasulullah SAW dan menyeru: "Ya Rasulallah! Turunkanlah hujan! kerana umat mu benar-benar dah hancur". Lalu lelaki itu bermimpi didatangi Rasulullah SAW dan berpesan supaya bertemu dengan Umar, sampaikan salam dan khabarkan bahawa kalian akan disirami hujan. Ketika lelaki itu bertemu Khalifah Umar RA dan menceritakan maka menangislah Khalifah dan berkata: "Ya Allah! saya tidak bermalasan kecuali terhadap sesuatu yang saya tidak mampu mengerjakannya" (Athar ini diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Sahihnya, al-Bayhaqi dan lain-lain. al-Hafiz Ibn Hajar dan al-Hafiz Ibn Kathir telah mensahihkan Athar ini).
Dari semua dalil ini juga banyak lagi dalil yang tidak dapat disebutkan di dalam ruang yang terbatas ini, ulama-ulama agung mazhab Syafii dan mazhab-mazhab lain berpendapat bahawa bertawassul dan beristighathah adalah harus bahkan sunnat. Imam al-Nawawi (w. 676H) di dalam al-Majmu`: 8/274, misalnya mengajarkan untuk memberikan salam kepada Nabi Muhammad SAW ketika menziarahi makam Baginda, setelah itu Abu Bakr, Umar dan kembali ke wajah Rasulullah SAW dan bertawassul serta meminta syafaat melalui Baginda SAW kepada Allah SWT. Apa yang disebutkan oleh al-Nawawi ini jelas-jelas menunjukkan amalan bertawassul dengan Rasulullah SAW setelah wafatnya di makam Rasulullah SAW serta menghadap Rasulullah SAW.
Tawassul dan Istighathah ini telah difatwakan harus dan baik oleh al-Subki (w. 756H), Ibn Hajar al- Asqalani (w. 852H), Zakaria al-Anshari (w. 926H), al-Suyuthi (w.911H), al-Qastalani (w. 923H), Ibn Hajar al-Haytami (w.974H), Mula Ali al-Qari (w. 1014H), al-Ramli (w. 1004H), al-Qurtubi (w. 671H), Wan Daud al-Fathani (w. 1847M), Abdullah Fahim (w. 1961 M), sekalian ulama Muzakarah di Kepala Batas tahun 1953M, dan banyak lagi ulama dari hujung Barat sehingga hujung Timur.
Selain dari itu, beberapa jabatan mufti negeri di Malaysia juga telah mewartakan Fatwa Menangani Persoalan Bidaah Perkara Ikhtilaf/Khilaf Furu', seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.
Di dalam keputusan tersebut juga melarang pembidaahan amalan bertawassul. Lebih-lebih lagi sekalian ulama Alam Melayu dahulu beramal dengan banyak selawat yang penuh dengan keindahan bertawassul kepada Junjungan Besar Baginda Muhammad SAW yang diadatkan oleh ulama dahulu dan sekarang. Bagaimana mungkin amalan majoriti muslim ini dihukum syirik?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan