Nur Muhammad - Tok Pulau Manis
Seorang ulama wali, terbit mendahului Syaikh Daud Fathani rahimahullah. Gigih mengajar mendidik anak bangsa ke jalan yang diredhai Allah. Mengarang juga membuka pondok pengajian, itulah Syaikh Abdul Malik bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis @ Tokku Pulau Manis @ Syarif Abdul Malik rahimahullah. Beliau adalah salah seorang ulama berketurunan pendakwah dari Baghdad yang dilahirkan di Trengganu. Beliau dilahirkan sekitar tahun 1089H/1678M atau menurut satu sumber lagi sekitar tahun 1060H/1650M. Beliau wafat sekitar tahun 1149H/1736M di Trengganu dan makam beliau masih ada, dijaga rapi di Kampung Pulau Manis, Kuala Trengganu. Alhamdulillah, sejarah hidup Tok Syaikh Pulau Manis @ Syarif Abdul Malik rahimahullah telah mulai banyak ditulis dan diperkatakan orang, silalah tuan - tuan cari di alam maya atau di luar sana.
Tok Syaikh Pulau Manis, biasanya dikenali melalui karya beliau yang masyhur iaitu Hikam Melayu yang merupakan terjemah dan syarah bagi kitab al-Hikam karangan Syaikh Ibnu 'Athailah as-Sakandari. Karya beliau ini masyhur dan banyak kali diulang cetak dan dijadikan teks di pondok - pondok dan masjid - masjid. Sebenarnya Tok Syaikh Pulau Manis turut mempunyai beberapa karya lain yang kurang dikenali dan tidak tersebar secara meluas dalam masyarakat kerana tidak pernah dicetak atau diterbitkan, masih berbentuk manuskrip atau salinan yang disalin oleh beberapa penyalin. Di antara karangan lain Tok Syaikh Pulau Manis yang diketahui setakat ini adalah al-Kifayah yang berisikan perbicaraan ilmu usuluddin dan fiqh, Risalah an-Naql mengenai shalat Jumaat dan Risalah Kaifiyyah an-Niyyah berhubung persoalan niat.
Salah satu karya beliau tersebut adalah kitab al-Kifayah yang belum pernah dicetak sebelum ini. Namun para pengkaji telah menemui beberapa naskhah manuskrip salinan kitab ini. Antara naskhah yang lengkap adalah yang disalin oleh Tok Kelaba al-Fathani @ Syaikh Muhammad Husain bin Abdul Latif rahimahullah yang salinannya beliau sempurnakan pada 13 DzulQaedah 1297H / 16 Oktober 1880M. Manuskrip salinan Tok Kelaba ini masih tersimpan sebagai MSS 517 di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia di Kuala Lumpur. Di muka hadapan, Tok Kelaba memperkenalkan kitab tersebut sebagai:- Inilah kitab yang dinamakan dia dengan Kifayah, kata qil terjemahan bagi al-`Alim al-`Allaamah wal Habril Bahril Fahhamah, al-`Arif bis sirril maknun, yang dimakrufkan gelarannya dengan Tok Pulau Manis daripada ahli Terganu (yakni Trengganu) qaddasaAllahu sirrah, aamiin. Selain itu, Tok Kelaba juga bermadah memuji kitab ini dengan katanya:-
Faham baik awan(g) dengan dayang; Sebelum lagi nyawa melayang.
Ini kitab orang dahulu; Mengaji awan(g) jangan malu.
Sekalian hukum nyata di dalam; Tuntut awan(g) siang dan malam.
Loba awan(g) akan ilmu; Sentiasalah, janganlah jemu.
Telah menazam Haji Husain; Harap syafaat Nenek Husain (yakni Jaddul Husaini iaitu Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam).
Shalawat salam atas Nabi; Penghulu `Ajam dan `Arabi.
Amal ibadah jaga kamu; Beserta pula dengan ilmu.
Baharu sempurna kita kerja; Jangan kamu duduk sahaja.
Mengaji kamu jangan malas; Hari Kemudian ada balas.
Alhamdulillah, Allah ta`ala atas limpah kurnia dan kemurahanNya, telah mengizinkan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin, Trengganu, untuk menerbitkan buat julung kalinya, kitab al-Kifayah yang dirumikan dan diberi tahkik. Cetakan pertamanya diterbitkan pada tahun ini (2021) dengan jodol Kitab al-Kifayah karangan Tok Pulau Manis. Ianya adalah hasil usaha Dr. Zurita Mohd Yusuf, Hasanulddin Mohd dan Jamalluddin Hashim, berdasarkan kepada hasil penyelidikan Dr. Zurita Mohd Yusuf di peringkat doktor falsafah dan kajian di bawah Dana Penyelidikan Universiti. Semoga Allah memberikan ganjaran yang sempurna bagi mereka yang telah berkhidmat untuk turats ulama Jawi kita. Terbitan ini sudah ada di pasaran, maka eloklah tuan - puan segera dapatkan, buat bacaan dan kajian juga simpanan untuk tatapan anak keturunan. Namun dalam mengaji perlulah panduan, jangan gopoh menghukum hakam, lalu keliru dek bacaan, amalan orang mudah dibid`ahkan.
Akhirul kalam, berbalik kepada jodol entri ini, maka faqir kongsikan pernyataan Tok Syaikh Pulau Manis pada halaman 18 - 19 edisi tahkik tersebut sebagai berikut:- [Kedudukan Nabi Muhammad s.a.w. Berbanding Rasul - rasul yang Lain] Dan lagi hendaklah kita ketahui dan kita iktikadkan bahawa Nabi Muhammad itu terlebih tinggi martabatnya dan terlebih mulia pada Allah Taala daripada sekalian makhluk semuhanya (yakni semuanya) dari karena adalah arasy dan kursi dan loh dan kalam (yakni qalam) dan segala malaikat dan syurga dan nareka (yakni neraka) dan sekalian makhlukNya, semuhanya itu dijadikan Allah Taala daripada Nur Muhammad s.a.w. Dan lagi firman Allah Taala kepada Nabi Muhammad s.a.w.: "Jikalau tiada ada engkau nescaya tiada Aku jadikan segala makhluk semuhanya".
Semoga Allah menjaga segala turats ulama kita dan menyebarkannya untuk manfaat segala umat terutama anak keturunan Bangsa Melayu. Pelajarilah segala kitab turats ulama Jawi terdahulu, nescaya dapat suluh hidayah juga taufik menuju redha Allah jalla wa `azza. Janganlah memada dengan hanya membaca karangan ustaz - ustaz moden walaupun bernobat mufti pasir berdengung. Mudahan - mudahan Allah mengganjari Tok Syaikh Abdul Malik Pulau Manis dengan sebaik - baik ganjaran dan menempatkan beliau di kalangan para awliya`Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan