Jumaat, Jun 10, 2022

Tadzkirah Hb Taufiq

Di antara nikmat yang dikurniakan Allah kepada hambaNya yang dikehendaki adalah jalur nasab keturunan yang mulia, apatah lagi jika dalam susunan jalur nasab tersebut adanya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dan hal ini semata - mata anugerah Allah `azza wa jalla yang tidak dapat diusahakan. Sebagai satu nikmat, ianya perlulah disyukuri, maka cara mensyukurinya adalah menjaganya dengan sebaik mungkin agar tidak tercemar nama - nama mulia yang ada dalam silsilah tersebut. Jangan pula ia menjadi sebab bagi menjerumuskan seseorang ke lembah ghurur, tertipu dek nasab keturunan. Ingat pesanan Hujjatul Islam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu, nasab keturunan itu boleh menjadi sebab seseorang itu tertipu. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, yang mafhumnya: "Sesiapa yang diperlambatkan oleh amalannya, maka tidak akan dipercepatkan oleh nasab keturunannya." Imam an-Nawawi radhiyaAllahu `anhu dalam syarahnya bagi Shahih Muslim pada juz 17, halaman 35, menyatakan sebagai berikut:- ...Maknanya, sesiapa yang amalannya kurang (yakni kurang beramal shalih), tidaklah dia dapat diangkat sedarjat dengan mereka-mereka yang beramal. Maka seharusnya dia tidak semata - mata bersandar kepada kemuliaan nasab, kelebihan datuk neneknya sehingga kurang melakukan amal...."

Ingat, segala nikmat atas mukabumi ini, juga merupakan ujian. Jangan jadikan nasab keturunan sebagai modal berbangga diri sehingga memandang orang lain sebelah mata. Belajarlah tawadhu dan khumul. Jangan hanya pada luaran zahir, tapi ikhlas dari lubuk hati sanubari. Pastikan jangan ada terbetik dalam hati, bahawa aku lebih mulia kerana aku turunan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Itu nikmat dan juga ujian. Akhirul kalam, hayati sabdaan leluhur teragung, yang mafhumnya: "Datanglah kepadaku esok pada hari kiamat dengan amal perbuatan kamu dan bukannya dengan (hanya) nasab keturunan kamu. Sesungguhnya aku tidak akan dapat memberikan suatu pertolongan pun buat kamu di sisi Allah (dengan bersandarkan nasab keturunan semata). Juga pesanan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam kepada kaum kerabat baginda: "Janganlah sampai orang datang kepadaku (yakni di Mahsyar kelak) dengan membawa amalan - amalan shalih mereka, sedangkan kalian datang kepadaku dengan hanya membawa nasab - nasab kalian sahaja."
************
Habib Taufiq as-Seggaf

Tiada ulasan: