Dalailul Khairat - Haji Khalifah
Katib Chelebi @ Katip Celebi atau lebih dikenal sebagai Haji Khalifah @ Haci Halife adalah seorang tokoh ilmuwan pelbagai bidang yang hidup dalam era Khilafah Turki Uthmaniyyah. Beliau tidak hanya menguasai ilmu - ilmu ukhrawi, bahkan mahir juga dalam ilmu - ilmu dunyawi seperti kedoktoran, geografi, matematik, geometri, falak, sejarah dan sebagainya. Nama asli beliau adalah Mustafa Affendi bin Abdullah Affendi al-Qusthanthini, yang digelar sebagai al-`alim al-fadhil al-adib al-muarrikh al-kamil al-arib. Beliau dilahirkan pada tahun 1017H / 1609M dan wafat pada tahun 1068H / 1657M. Sewaktu hayatnya, beliau suka mengumpul berbagai kitab ilmu, ketika wafat beliau meninggalkan perpustakaan yang besar, bahkan dikatakan sebagai yang terbesar di Istanbul ketika itu. Beliau sendiri juga memiliki karangan - karangan yang bernilai dan salah satu yang mengangkat nama beliau sehingga kini adalah karya beliau yang berjodol Kasyfudz Dzunun `an Asaamil Kutub wal Funun yang merupakan kamus bibliografi karya - karya ulama dan ilmuwan terdahulu.
Dalam entri ini, faqir hanya ingin berkongsi tulisan beliau tentang kitab Dalailul Khairat. Pada halaman 759, jilid 1, Kasyfudz Dzunun, beliau menulis, antara lain, sebagai berikut: ...Dalailul Khairat wa Syawariqul Anwar fi dzikrish shalati `alan Nabiyyil Mukhtar karya Syaikh Abu Abdullah Muhammad bin Sulaiman bin Abu Bakar al-Jazuli....Kitab ini adalah satu ayat (tanda kebesaran) daripada ayat - ayat Allah tentang shalawat ke atas Junjungan Nabi `alaihish shalatu was salam, yang sentiasa ditekuni pembacaannya di belahan timur dan barat, terutama sekali di negeri - negeri Rom (merujuk kepada Romawi Timur atau Byzantium yang ibu kotanya Constantinople yang diubah menjadi Istanbul selepas kejatuhannya ke tangan umat Islam dan menjadi sebahagian dari Empayar Turki Utsmaniyyah).
Begitulah gah dan masyhur serta luasnya penyebaran kitab Dalailul Khairat. Ianya juga menerima sambutan hangat lagi luar biasa oleh umat Islam ketika itu sehingga Katib Chelebi menggelar kitab ini sebagai ayatun min aayaatillah (satu tanda dari tanda - tanda kebesaran dan kemurahan Allah ta`ala). Maka tidak hairan jika kitab Dalailul Khairat dinobatkan sebagai kitab kedua, selepas mushaf al-Quranul Karim, yang paling banyak disalin, dicetak dan disebar dalam masyarakat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan