Jumaat, Disember 27, 2024

Shalawat Syaikh Arsyad

Tuan Guru Haji Munawwar bin Ahmad Ghazali adalah salah seorang ulama Banjar yang disegani. Beliau dikenali sebagai Guru Kubah Kampung Melayu, Martapura. Beliau merupakan murid almarhum Guru Haji Seman Mulia, Guru Ijai dan lain - lain ulama Banjar. Kealimannya diakui masyarakat sehingga ketika berusia muda dalam 19 tahun, beliau telah dilantik untuk mengambilalih dan meneruskan kelas - kelas pengajian yang diasuh oleh ayahandanya KH Ahmad Ghazali setelah beliau kembali ke rahmatullah. Beliau juga rajin mengarang dan di antara karangannya satu risalah yang menukilkan beberapa manaqib Datu Kalampayan @ Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari rahimahullah yang berjodol Fathush Shamad.

Pada halaman 64 risalah tersebut, beliau menukilkan satu shalawat yang dinisbahkan kepada Maulana Syaikh Arsyad al-Banjari rahimahullah. Beliau menyatakan sebagai berikut:- Shalawat karangan asy-Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Hendaklah engkau baca tiap - tiap hari dengan sungguh - sungguh kerana terlalu amat bauk. Tiada jua yang membaca ia satu kali, maka sama membaca Dalailul Khairat sekhatam

Inilah shalawat yang dinisbahkan kepada al-`Alim al-Allaamah Mawlana Syaikh Arsyad bin Abdullah al-Banjari rahimahullah. Di dalam shalawat ini dinyatakan bahawa Junjungan Nabi sebagai seawal - awal makhluk Allah (Awwalu Makhluqaat), yakni makhluk yang pertama dijadikan Allah, iaitu merujuk kepada penciptaan nur baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam yang juga disebut sebagai Nur Muhammad atau Ruhul A'dzam dan beberapa gelar lagi. Jadi ini menegaskan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah makhluk Allah dan bukannya satu juzuk atau sebahagian daripada Allah atau mempunyai unsur - unsur ketuhanan. Kalimah "nuurun min nuuri Dzatika" yang secara literal diertikan sebagai "satu nur daripada nur Zat Engkau" adalah seerti dengan kalimah "an-Nuridz Dzati" yang ada pada lafaz Shalawat Nuridz Dzati bagi Imam Abul Hasan `Ali asy-Syadzili radhiyaAllahu `anhu. Di mana kalimah tersebut hanyalah semata - mata idhafah tasyrifyyah (nisbah atau sandaran pemuliaan) dan bukannya atas makna hakiki bahawa ianya adalah sebahagian daripada Zat Allah yang Maha Esa pada zat, sifat dan af`al, lagi Maha Suci daripada menerima bahagi dan berjuzuk - juzuk.

Shalawat Imam Abul Hasan Ali asy-Syadzili, pendiri Thariqah asy-Syadziliyyah, yang masyhur disebut sebagai Shalawat Nuridz Dzati ini telah banyak diamalkan dan disyarahkan akan isi kandungannya oleh para ulama. Di antaranya oleh Imam ash-Shawi rahimahullah, dalam syarah beliau atas Shalawat Imam ad-Dardir rahimahullah yang berjodol al-Asrar ar-Rabbaniyyah wal Fuyudhat ar-Rahmaniyyah. Pada halaman 40, beliau menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan "an-Nuuridz Dzaati" yang disebut dalam lafaz Shalawat Nuridz Dzati sebagai berikut:- ...(Allahumma shalli wa sallim wa baarik `ala Sayyidina Muhammad, an-Nuridz Dzati)...iaitu nur (yang disandarkan kepada) Zat Allah, yang diciptakan dia oleh Allah terus secara langsung tanpa sebarang maadah (unsur asas / bahan baku) kerana dia adalah kunci / pembuka (miftah) bagi kewujudan / penciptaan segala makhluk lain dan juga menjadi maadah bagi kewujudan / penciptaan mereka, sebagaimana yang telah diterangkan dahulu bagimu dalam penjelasan Hadis Jabir (iaitu Hadis Nur Muhammad).....  [ Yakni, nur tersebut yang disandarkan kepada Zat Allah adalah sebagai idhafah tasyrifiyyah atau ta'dzimiyyah semata-mata, untuk menyatakan pemuliaan dan pengagungan serta keistimewaan Nur Muhammad ciptaan Allah tersebut berbanding dengan nur atau makhluk selainnya dan ianya disandarkan terus dengan Zat Allah kerana Allah menciptakannya daripada ketiadaan / ketidakwujudan kepada wujud tanpa sebarang wasithah (perantara seperti kita diciptakan Allah dengan perantara ibubapa kita) maupun maadah (unsur asas / bahan baku seperti jasad kita diciptakan daripada `alaq segumpal darah, manakala jasad Nabi Adam diciptakan daripada tanah sebagai maadah) kerana dialah seawal - awal makhluk yang diciptakan Allah, ketika itu belum ada lagi makhluk selainnya diciptakan Allah.]

Jadi bukanlah maksudnya Nabi Muhammad dan rohnya yang disebut sebagai Nur Muhammad itu sebahagian daripada Zat Allah atau memiliki unsur - unsur ketuhanan sebagaimana pemahaman orang - orang sesat yang mengaku - ngaku sudah mencapai makrifat atau tohmahan pihak yang allergik dengan konsep Nur Muhammad. Baginda dinisbahkan sebagai an-Nur adz-Dzat adalah semata-mata menunjukkan keagungan dan kemuliaan penciptaannya sebagaimana masjid dan Ka'bah disebut sebagai Baitullah (rumah Allah), unta Nabi Saleh sebagai naaqatullah (unta Allah) dan Sayyidina Isa al-Masih `alaihis salam digelar sebagai Ruuhullah (roh Allah atau the spirit of God)yang semuanya itu merupakan sandaran atau nisbah pemuliaan dan pengagungan (idhafah tasyrifiyyah atau ta'dzimiyyah), juga sebagai penegasan semuanya itu adalah makhluk istimewa yang dicipta dan dimiliki oleh Allah jalla wa `azza. Shalawat yang digubah oleh para awliya itu ada kalimah -kalimahnya yang tidak boleh difahami secara literal menurut bahasa semata - mata, kerana mereka bukan sekadar mengubah mengikut kefasihan bahasa sahaja, namun bertunjangkan juga kepada segala ilmu agama terutama ilmu akidah dan selainnya. Jika difahami secara literal, ianya akan membawa kepada kesesatan, namun dengan pemahaman yang shahih, kalimah - kalimah tersebut akan memberikan kesan positif untuk lebih memuliakan dan mengagungkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang merupakan an-Nurudz Dzat yakni makhluk istimewa ciptaan Allah yang diciptakan terus, tanpa sebarang wasithah dan tanpa maadah. Allahumma shalli wa sallim wa baarik `alaihi wa aalih.

Shalawat Mawlana Syaikh Arsyad

Sabtu, Disember 14, 2024

Karamah Imam Nawawi

Imam Muhyiddin an-Nawawi (631H - 676H) 
radhiyaAllahu `anhu adalah seorang ulama besar lagi wali, bahkan quthubnya para wali yang telah dizahirkan Allah atasnya berbagai karamah, samada hissi atau maknawi. Antara karamah beliau adalah karya - karyanya yang banyak sehingga berjilid - jilid kitab besar yang amat bernilai yang beliau tulis dalam umur beliau yang relatif singkat. Beliau wafat ketika berusia hanya lebih kurang 45 tahun sahaja, dalam usia singkat tersebut beliau dianugerahkan Allah ilmu dan kebijaksanaan serta kemampuan untuk mengarang dan segala karangan tersebut amat bermanfaat dan menjadi  rujukan serta panduan umat sehingga ke hari ini. 

Di antara karamah hissi yang sempat dirakam dalam kitab - kitab para ulama pula adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam Jalaluddin as-Sayuthi rahimahullah dalam karya beliau berupa manakib Imam an-Nawawi dengan jodol al-Minhajus Sawi. Pada halaman 48 dinyatakan sebagai berikut:- ....Telah aku (yakni Imam Taqiyuddin as-Subki dan mungkin juga diri Imam Sayuthi sendiri) melihat dalam "Majmuk" yang disalin oleh Syaikh Syamsuddin al-`Iyzari asy-Syafie (seorang ulama Syafie yang wafat tahun 808H, memiliki beberapa karangan antaranya mukhtashar bagi kitab al-Quut karya Imam al-Adzra`ie dan ta'liq atas Syarhul Kabir bagi Imam ar-Rafi`ie) menyatakan bahawa penjaga pintu gerbang Madrasah ar-Rawahiyyah (sebuah madrasah yang mengajar Mazhab Syafie di Kota Damsyik yang letaknya di timur laut Masjid al-Umawi) berkata: "Pada suatu malam Imam an-Nawawi telah berjalan keluar dan aku mengikut beliau. Ketika sampai di pintu gerbang madrasah, pintunya terbuka sendiri. Beliau pun keluar dan aku berjalan bersamanya beberapa langkah, tiba - tiba kami sudah berada di Kota Mekah. Imam Nawawi pun berihram umrah dan melaksanakan tawaf dan saie. Setelah selesai, beliau melanjutkan dengan bertawaf sunat sepanjang malam sebelum pulang. Ketika hendak pulang, aku berjalan di belakangnya, tiba - tiba sahaja kami telah berada semula di Madrasah ar-Rawahiyyah.

Inilah antara karamah yang pernah berlaku atas Imam an-Nawawi dan dirakam oleh para ulama kita. Karamah ini yang berupa thayyul ardh, di mana Allah melipatkan bumi bagi beliau, sehingga jarak yang jauh dari Damsyik ke Mekah dapat ditempoh dengan hanya beberapa langkah. Mudah - mudahan kita mendapat berkat dan syafaat daripada al-Imam al-Faqih al-Muhaddits Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf an-Nawawi asy-Syafie ad-Dimasyqi radhiyaAllahu `anhu.

Rabu, Disember 04, 2024

Awalnya Darul Arqam ......

Pada awal, dakwah yang dimulakan oleh Allahyarham Ustaz Haji Ashaari dengan Yayasan Darul Arqamnya tidaklah melenceng dari jalan kebenaran. Amalan Aurad Muhammadiah yang beliau amalkan sejak remaja, masih tidak menyimpang dari landasan yang diletak oleh pengasasnya. Ketika itu, tidak timbul dakwa - dakwi yang berbagai, hatta sekitar penghujung 90an, Ustaz Haji Ashaari, dalam majlis - majlis pengijazahan amalan Aurad Muhammadiah, masih dengan jelas menyatakan bahawa Syaikh Muhammad as-Suhaimi @ Kiyai Agung telah pun meninggal dunia. Isu - isu berkaitan Imam al-Mahdi, Fata at-Tamimi dan sebagainya tidak pernah ditimbulkan. Di awal polemik, pihak Darul Arqam sempat mendapatkan pandangan daripada pihak Nahdlatul Ulama, ormas muslim yang terbesar di Indonesia. Pihak Nahdlatul Ulama dalam keputusan mereka yang dikeluarkan pada 12 Ogos 1994 memutuskan, antaranya: " Sampai saat ini, Pengurus Besar Nahdlatul Ulama tidak melihat adanya hal - hal yang dianggap sesat dari aqidah Darul Arqam ....."

Namun, sayangnya setelah jemaah tersebut berkembang sehingga ke tahap yang membanggakan, maka timbul perasaan ujub, merasa kagum dan takjub dengan kehebatan jemaah dan pemimpinnya, sehingga memandang rendah dan memperlekehkan orang dan jemaah lain. Maka bermulalah indoktrinasi bahawa inilah jemaah pilihan, jemaah terpilih jemaah akhir zaman, jemaah pendokong Imam al-Mahdi dan dan dan sebagainya. Ketika itulah, penyimpangan demi penyimpangan mula berlaku sehingga difatwakan sesat dan diharamkan oleh kerajaan. Benarlah kata sebahagian ulama: "Ra'sul mal al-`ulama`, ath-tawadhu` (modalnya para ulama itu bersikap tawadhu` merendah diri), justru ulama yang tidak tawadhu seumpama pedagang yang tidak balik modal atau kehilangan modal yakni mengalami kerugian. Semoga kita semua ditetapkan Allah atas jalan kebenaran sehingga ke akhir hayat.

Penjelasan Allahyarham Ustaz Ashaari 
(Majlis Pengijazahan sekitar 90an)