Istighfar Rejab
Sering kita mendengar ustaz - ustaz kita berkata bahawa Rejab itu adalah bulan istighfar, yakni dianjurkan kita melebihkan bacaan istighfar memohon keampunan Allah dalam bulan ini melebihi bulan - bulan lain. Maka tidak pelik, jika beberapa ulama menganjurkan bacaan - bacaan istighfar dengan berbagai shighah atau lafaz. Di antara lafaz yang sering dianjurkan untuk diamalkan adalah sebagaimana yang disebut oleh Mulla Ali al-Qari Sultan al-Harawi rahimahullah dalam risalah al-Adab fi Rajab pada halaman 38 yang menyatakan sebagai berikut: ...Aku telah mendengar sebahagian masyaikh membanyakkan istighfar dalam bulan ini dengan istighfar yang berbunyi:
"Aku memohon keampunan Allah, Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Mulia, dari segala dosa dan kesalahan."
Ramai guru dan ulama yang mewasiatkan agar sentiasa mengamalkan istighfar ini sekurang - kurangnya 1000 kali sepanjang bulan Rejab. Di antaranya, Syaikh al-`Arifbillah Ahmad ath-Thahir al-Hamidi (1257H - 1331H), seorang ulama Azhar bermazhab Maliki, terkenal dengan kewalian dan keilmuannya, setiap kali masuk bulan Rejab, beliau akan berpesan kepada murid - murid dan masyarakat awam agar mengamalkan istighfar sekurang - kurangnya seribu (1000) kali sepanjang bulan Rejab. Menurut kata sebahagian masyaikh, dengan mengamalkan istighfar ini, selain mendapat keampunan Allah, mudah - mudahan juga ia menjadi sebab bagi si pengamalnya untuk melintasi titian shiratul mustaqim secepat kilat menyambar. Oleh itu, janganlah kita mensia -siakan apa jua faedah yang disebut oleh para alim ulama dan awliya shalihin kita, yang mungkin menjadi sebab dan wasilah untuk kita berjaya meniti titian yang paling sukar menuju ke syurga. Ingat titian shirathul mustaqim bukanlah laluan yang mudah, laluannya teramat sempit bak rambut dibelah tujuh, jaraknya ribuan tahun, dipenuhi berbagai liku, onak duri dan seumpamanya yang sentiasa berusaha untuk mengait seseorang agar tersembam ke neraka di bawahnya. Allahu ... Allah, Rabbi sallim sallim. Hanya iman, takwa dan amal shaleh yang kita harapkan jadi sebab memperolehi rahmat Ilahi dan syafaat Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, hingga berjaya menjejak kaki ke dalam syurga yang abadi.
Khutbah Syaikh Farraj Ya'qub al-Maliki al-Azhari