Khamis, Mei 29, 2025

Faedah Dari Durratun Naashihin

Syaikh Utsman al-Khubawi al-Hanafi rahimahullah menukilkan perkataan sebahagian ulama yang menggambarkan harapan dan dambaan mereka, terhadap orang yang berpuasa pada sembilan hari di permulaan bulan DzulHijjah yang mulia. Pada halaman 280 kitab Durratun Naashihin, tercatat, antara lain, sebagai berikut:-

Kata sebahagian ulama: "Barang siapa yang berpuasa pada hari - hari ini (iaitu hari - hari permulaan DzulHijjah, tanggal 1 hingga 9), (mudah - mudahan) Allah memuliakannya dengan 10 perkara. (1) Diberikan keberkatan pada umurnya; (2) Ditambahkan hartanya; (3) Dipeliharakan ahli keluarganya; (4) Dikaffarahkan (ditebus) dosa kesalahannya; (5) Digandakan pahala kebajikannya; (6) Dimudahkan sakaratul mautnya; (7) Diterangkan kegelapan kuburnya; (8) Diberatkan timbangan amal kebajikannya; (9) Diselamatkan dia dari jatuh ke jurang neraka; (10) Ditingkatkan ketinggian darjat kedudukannya dalam syurga."

Begitulah pandangan dan harapan sebahagian ulama bagi mereka - mereka yang berpuasa sunnat pada hari - hari awal DzulHijjah. Maka, jangan kita sia - sia peluang untuk menambah amal kebajikan. Jika kita tidak mampu untuk berpuasa keseluruhan hari yang sembilan tersebut, maka kita puasa pada hari Tarwiyah (8hb) dan hari Arafah (9hb), atau setidak - tidaknya jangan kita tinggalkan berpuasa pada hari `Arafah kerana warid sunnah dan fadhilahnya tanpa keraguan. Selamat Menyambut Awwal DzulHijjah, `Aidul Adha dan Ayyamut Tasyriq.

Khamis, Mei 22, 2025

ShadaqaAllahul `Adzim

Umat Islam di seluruh dunia, termasuklah di negeri - negeri yang dikuasai Wahabi, selepas membaca al-Quran akan menutupnya dengan bacaan "ShadaqaAllahu `Adzim". Amalan ini telah berjalan sekian lama, dilakukan ulama dan awam, tanpa sebarang masalah sehinggalah datang sesetengah manusia yang katanya berilmu mempertikaikannya, bahkan membid`ahkannya sebagai bid`ah tercela sehingga memerintahkan agar ianya dihentikan. Dalam menghadapi puak - puak pelampau seperti ini, bertenang dan tak perlu kita layan akan pandangan mereka, cukuplah bagi kita ajaran para ulama kita yang telah membumi dalam masyarakat. 

Di sini faqir kutipkan pandangan mantan mufti besar Iraq, Dr. Abdul Malik as-Sa'di dalam karangannya al-Bid`atu fi Mafhumil Islamiy ad-Daqiiq pada halaman 144. Antara yang beliau catat adalah sebagai berikut:- ".... Adapun ungkapan (ShadaqaAllahu `adzim) yang diucapkan seusai pembacaan al-Quran tidak mengapa untuk dilakukan (la ba'sa bihi / yakni harus atau boleh - boleh saja) dan bukannya perbuatan bid`ah sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian kelompok, kerana tidak ada nas yang menegahnya dan ia tidak bertentangan dengan kaedah - kaedah umum yang ada dalam Islam (qawa`idul `amm lil Islam). Di samping itu, Allah ta`ala telah menyebut kalimah "shadaqaAllah" ini dalam kitabNya yang mulia, ketika mana Dia berfirman :"Katakanlah (wahai Nabi Muhammad): "Benarlah firman Allah. Maka ikutilah agama Ibrahim yang lurus (berdasarkan Tauhid) dan dia tidak termasuk dalam golongan orang yang musyrik (yang menyekutukan Allah)." [ Surah Ali `Imran: 95]. Adalah para salafush shalih ketika dibacakan suatu ayat al-Quran di hadapan mereka, mereka akan berkata: "ShadaqaAllah".

Jadi jelas bahawa ungkapan "ShadaqaAllah" ada asal muasalnya daripada amalan sebahagian salafush shalih dan bukanlah satu perkara bid`ah munkarah tercela yang tidak ada asal atau dasar dalam Islam sebagaimana dakwaan sesetengah manusia. Ulama kita juga berfatwa bahawa ungkapan tersebut tidak keluar dari ruang lingkup ungkapan zikir dan pujian (tsana`) kepada Allah. Bahkan, jika seseorang mengucapkannya dalam shalat sekalipun, dengan niat zikir ianya tidak membatalkan shalatnya, bahkan sebahagian ulama menambah bahawa tanpa sebarang niat zikir pun ianya tidak membatalkan shalat. 

Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari
(w.926H) 
rahimahullah, ulama besar lagi wali, yang menjadi guru kepada para ulama besar seperti Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan Imam Ramli, pernah ditanya tentang hukum seorang makmum yang mengucapkan "ShadaqaAllahul `Adzim" selepas bacaan imamnya dalam shalat, adakah perbuatan tersebut membatalkan shalatnya? Jawapan yang diberi beliau sebagaimana tercatat dalam al-I'laam wal Ihtimaam bi jam`i Fatawa Syaikhil Islam, pada halaman 97, antaranya sebagai berikut:
"Bahawasanya perbuatan tersebut tidak membatalkan shalatnya kerana ungkapan (ShadaqaAllahu `Adzim) itu hakikatnya adalah tsana` (pujian) kepada Allah ta`ala........Bagi ungkapan berupa zikir atau tsana` (pujian) tidak disyaratkan ada niat / qashad (zikir) untuk dianggap sebagai tidak membatalkan shalat, kerana niat / qashad tersebut hanya disyaratkan untuk menghasilkan pahala (yakni tidak membatalkan shalat walaupun tanpa qashad namun tidak mendapat pahala zikir)....... "

Begitulah kedudukannya di sisi para ulama kita. Ianya bukanlah satu perkara yang perlu dipermasalahkan sehingga ke tahap perbalahan yang tak berkesudahan. Sesiapa yang melakukannya, biarkanlah dia melakukannya dengan tenteram. Sesiapa yang tidak mahu melakukannya, maka ianya bukanlah satu kewajipan yang mesti dilakukan.

Hatta Syaikh Sudais pun melakukannya

Sabtu, Mei 03, 2025

Faedah Daripada Imam Damiri

Imam Abul Baqa' Kamaluddin Muhammad bin Musa ad-Damiri @ Imam ad-Damiri
(742 - 808H) rahimahullah adalah salah seorang ulama besar bermazhab Syafie. Beliau belajar di al-Azhar sehingga menjadi alim besar dan menjadi tenaga pengajar di al-Azhar, juga seorang mufti yang faqih. Beliau juga seorang sufi yang kuat beribadah selain giat mengajar ilmu - ilmu agama termasuklah ilmu hadis. Selain dari itu, beliau boleh juga dianggap sebagai seorang ahli zoologi, bahkan di antara kitab beliau yang termasyhur adalah sebuah ensiklopedia haiwan yang berjodol Hayaatul Hayawaan al-Kubra yang mencatat sekurang - kurangnya 931 jenis haiwan dilengkapi dengan hukum memakannya. Ketokohan beliau dalam ilmu fiqh juga terserlah dengan karya beliau yang berjodol an-Najmul Wahhaj yang mensyarahkan kitab Minhajuth Thalibin dalam 10 jilid besar. Dalam ilmu hadis, beliau menulis satu syarah atas Sunan Ibnu Majah yang berjodol ad-Dibaajatu `ala SunanIbni Maajah.

Imam ad-Damiri juga mempunyai ramai anak - anak murid dan salah seorang daripada mereka adalah Imam Taqiyuddin Abul `Abbas al-Maqrizi (766 - 845H) rahimahullah, ilmuwan dan sejarawan Mesir yang ternama. Faedah yang hendak faqir kongsikan ini adalah sebagaimana yang dicatat oleh al-Maqrizi dalam kitab beliau Durarul `Uquud al-Fariidah. Pada jilid 3, halaman 437, al-Maqrizi mencatat sebagai berikut:- Satu ketika aku telah berjumpa dengan beliau (ad-Damiri) dan beliau bercerita: "Aku telah bermimpi berkata dengan seseorang: "Telah lama aku tidak mengunjungi Baitul `Atiq (Baitullah) dan aku sangat rindu untuk mengunjunginya." Maka dia berkata kepadaku: "Bacalah: (( La ilaha illa Allah, al-Fattaahul `Aliim, ar-Raqiibul Mannaan ))." Setelah mimpi tersebut, aku pun  memperbanyak berzikir dengannya dan pada tahun itu juga aku direzekikan untuk menunaikan haji."
Begitulah kisah dan faedah yang dicatat oleh al-Maqrizi daripada Imam ad-Damiri. Mudah - mudahan bermanfaat dan menjadi satu wasilah dan ikhtiar agar kita diberi rezeki menunaikan haji suatu hari nanti. Semoga rahmat Allah sentiasa mencucuri ke atas ad-Damiri dan para ulama kita semuanya sehingga ke akhir zaman.