Selasa, Februari 9

Pahala Bacaan - Habib Zain

Sekadar menambah khazanah ilmu berhubung hadiah pahala kepada orang mati. Agar kita mengetahui siapa yang menjadi panduan dan rujukan kita. Bagi yang merujuk kepada yang lain, terpulanglah, itu hak kamu. Kami tak suka menceroboh hak kamu, maka diharap kamu juga jangan menceroboh hak kami. Nukilan daripada fatwa al-Habib Zain bin Ibrahim hafizahUllah yang tercatat dalam "al-Ajwibatul Ghaaliyyah" halaman 108. Maka al-Habib ditanya sebagai berikut:-
Soalan: Adakah sesorang diharuskan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran dan zikir kepada orang-orang mati ?

Jawapan: Ya, perbuatan yang sedemikian itu (yakni membaca al-Quran dan zikir untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati) adalah harus. Menurut pandangan yang shohih lagi terpilih dalam mazhab, pahala bacaan tersebut dan lain-lain amalan badaniyyah (yakni amalan-amalan yang dilaksanakan oleh anggota badan semata-mata) sampai kepada mereka (yakni kepada arwah tersebut). Sesungguhnya terhasil bagi mereka dengan yang sedemikian itu (yakni dengan hadiah pahala tersebut) manfaat, samada sebagai kaffarah dosa (penghapus dosa), mengangkat darjat, diberi nur, diberi kegembiraan dan lain-lain ganjaran pahala dengan kelebihan Allah ta`ala.




Rabu, Februari 3

Lukisan Makam Rasulullah ??

Tulisan ese kali ini hanyalah untuk memberikan pandangan ese mengenai gambar foto makam Junjungan Nabi SAW yang banyak beredar sekarang. Ustaz Mohd Khafidz hafizahUllah dalam blog beliau"Sawanih Wa Khawatir", ada menulis sedikit mengenai beredarnya gambar-gambar tersebut, di mana ianya bukanlah foto makam Junjungan Nabi SAW tetapi foto makam Mawlana Jalaluddin ar-Rumi rahimahUllah di Konya. Di samping itu, ada juga beredar foto lain yang dikatakan sebagai foto makam baginda SAW, sedangkan ianya adalah foto makam Sultan 'Uthman al-Ghazi rahimahUllah, pengasas Khilafah Uthmaniyyah Turki. Memandangkan sekarang kita tidak berpeluang untuk melihat sendiri keadaan makam Junjungan SAW, maka tidaklah dapat kita pastikan rupa sebenar makam Junjungan SAW tersebut. Mungkin makam Junjungan Nabi SAW pernah memiliki rupa atau penampilan seperti atau seumpama makam-makam tersebut, mengambilkira fakta bahawa Khilafah Uthmaniyyah pernah mentadbir dan memerintah al-Haramain untuk satu jangkamasa yang panjang. Apa-apa pun hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. Tidak mungkin sultan-sultan Bani 'Uthman membiarkan makam Junjungan Nabi SAW tak terurus. Diceritakan bahawa sewaktu pemerintahan Uthmaniyyah, kerja-kerja pembersihan Hujrah Nabawiyyah dilakukan sendiri oleh sultan yang memerintah. Sultan akan memasuki ruangan bilik yang mulia tersebut dalam keadaan merangkak. Kerja-kerja pembersihan juga dilakukan dalam keadaan merangkak dan penuh adab. Setelah dibersihkan, pati minyak bunga mawar dari Isparta akan disapu ke seluruh kawasan hujrah yang mulia. Pati minyak tersebut diperolehi dari bunga-bunga mawar yang ditanam khusus untuk tujuan ini. Allahu ... Allah, begitulah adab mereka dengan baginda Nabi SAW.

Selain gambar foto tersebut, turut beredar gambar-gambar lukisan yang dikatakan sebagai makam Junjungan Nabi SAW. Ese sendiri ada dihadiahkan oleh seorang kenalan rapat sekeping poster lukisan makam Junjungan Nabi SAW seperti gambar lukisan yang ese letak di atas tu. Lukisan tersebut sampai sekarang masih tergantung dekat pintu kediaman ese, setiap kali melihatnya pasti akan terlancar ucapan sholawat dan salam atas Baginda Muhammad SAW. Adakah begitu rupa makam Junjungan Nabi SAW, idak le ese tahu dengan pasti, cuma ada jugak teman ese bermimpi berziarah ke makam Junjungan SAW dan katanya begitule rupanya makam baginda. Tapi inikan cuma mimpi, entahlah apa hakikat sebenarnya. Sebenarnya lukisan kat atas tu, ese ambik dari buku karangan Ustaz Muhammad Taha as-Suhaimi rahimahUllah berjodol "Haji Ifrad". Lukisan tersebut juga ada dalam karya beliau yang lain berjodol "'Umrah Dan Ziarah". Selain Ustaz Muhammad Taha, murid Syaikh 'Umar al-Khatib rahimahUllah, Ustaz M. Salleh bin A. Hamid, turut memuatkan lukisan tersebut dalam karangan beliau yang diberi jodol "Panduan Ilmu Fiq'h Syeikh Omar al-Khatib: Bab Haji, Umrah & Ziarah", pada halaman 292 (seperti tertera kat pada sudut kanan perenggan ini).

Baru-baru ni, ese dapat pulak buku susunan Ustaz Ahmad Lutfi yang berjodol "Kesan-Kesan Peninggalan Rasulullah SAW". Pada halaman 79 buku tersebut terdapat juga lukisan makam tersebut dengan keterangan - "Gambar nadir ini telah diilhamkan oleh Sayyid Ali Muhammad Taqi Al Hayimi Al Arabi." Jadi lukisan tersebut dilukis menurut ilham seseorang, tetapi tidak dinyatakan pula daripada datangnya ilham tersebut, dari mimpi ke atau dari melihat sendiri atau dari melihat makam-makam lain, hanya Allah yang mengetahui. Walau apapun, sebagaimana yang ese tulis di atas, kemungkinannya tetap ada, mungkin pernah satu ketika dalam sejarah Islam, makam Junjungan Nabi SAW berupa sedemikian, tetapi ianya satu kemungkinan, mungkin pernah dan mungkin juga tidak. Ese turut dimaklumkan bahawa akhbar Arab Saudi, al-Muslimun, pernah menyiarkan lukisan makam tersebut dalam satu artikel berkenaan pemandangan dalam Hujrah an-Nabawiyyah. Ese cuba mencarinya tetapi tidak berjumpa, yang ese jumpa adalah sebuah klip video dari YouTube yang ada menyentuh berkenaan hal ini,. Malangnya klip video tersebut dalam Bahasa Tamil. Tak dak rotan, akar pun jadilah, ese bubuhlah jugak klip tersebut di bawah buat tatapan sesiapa yang reti.

Jurugambar terkenal, Syaikh Abdul Adheem Peter Sanders, memberikan pandangan beliau mengenai gambar-gambar dan lukisan-lukisan makam Junjungan SAW seperti berikut (pandangan beliau ese kutip dari laman Islam - The Modern Religion):-
"Inside the Prophet's (saw) tomb - no I have not seen inside. I asked a sheikh what's inside - he's one the people who clean the area. He said light, light..nothing but light. The picture going round on the Internet - it's not a real picture, it's a painting from someone's vision because there's nothing in there, they've completely concealed it up. That might have been what it was like in the Turkish times, I don't know. It seems very authentic - I've seen in different shuyukh's houses. It's possible that it is what it did look like or what it does look like in the unseen, I don't know. Allahuwalam. As far as I know, there is nothing there. The sheikh said there is only light and he added, people who don't see this light only see their own darkness."
Akhirul kalam, ese nak bawak satu lagi cerita mimpi. Harap korang sudi membacanya, jangan pulak korang mimpi ya. Kalau nak mimpipun, bacalah sampai habis. Kisahnya begini:- Pernah satu ketika seorang sholeh telah bermimpi seolah-olah beliau berada di Kota Madinah sedang duduk menghadap ke arah makam Junjungan Nabi SAW. Tiba-tiba beliau terdengar seruan yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW hadir, maka beliau dan sekalian hadirin semua berdiri demi menta'dzimkan Junjungan Nabi SAW dan semua mata tertumpu ke arah makam Junjungan SAW. Malangnya orang sholeh ini tidak dapat melihat Junjungan Nabi SAW, beliau hanya menatap makam baginda SAW. Hal ini menghairankannya, tiba-tiba terngiang-ngiang di telinganya hatif yang menyatakan bahawa "hanya yang hidup dapat melihat yang hidup", yakni orang yang mati hatinya, pandangannya hanya sebatas makam sahaja dan tidaklah dia memandang kepada Shohibul Maqam. Terbangun orang sholeh ini sambil menangis semau-maunya, kerana baginya mimpi tersebut memberi peringatan agar dirinya jangan lalai dan hendaklah dia sentiasa menghidupkan hati dengan mencintai Allah dan kekasihNya. Ya ini cuma cerita mimpi. Ya hanya sebuah mimpi, tapi bagaimana keadaan kita ya, punya ngak pertautan erat dengan Shohibul Maqam SAW???? Apakah tatkala kita berziarah ke makam Junjungan SAW, yang kita ziarahi cuma makam sahaja atau memang sesungguhnya kita menziarahi Shohibul Maqam? Bukankah Imam Malik bin Anas RA diriwayatkan sebagai tidak menyukai seseorang untuk berkata : "Aku menziarahi kubur Rasulullah", sebaliknya hendaklah dia berkata: "Aku menziarahi Rasulullah SAW." Fahami bebetul ye, yang tidak sukai oleh Imam Malik adalah ucapan tersebut, bukannya ziarah ke makam Junjungan Nabi SAW. Sesungguhnya menziarahi makam Junjungan Nabi SAW itu adalah amalan yang dipandang sunnah dan dianjurkan oleh para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah termasuklah Imam Malik bin Anas RA. Ese sudahi entri ini dengan sebuah sabdaan Junjungan Nabi SAW, yang diriwayatkan antaranya oleh Imam al-Baihaqi, Imam ath-Thabrani dan Imam ad-Daraquthni, berbunyi:-

Sesiapa yang menziarahiku selepas kewafatanku,
maka seumpama dia menziarahiku sewaktu hayatku.

*********************************************
Lukisan Makam Junjungan SAW
pada halaman 79 buku Ustaz Ahmad Lutfi
********************************************
Ini pula lukisan makam Junjungan Nabi SAW sebagaimana terpapar di belakang sebuah kitab tua himpunan dua karya mawlid, iaitu Mawlid ad-Diba`i dan Mawlid al-'Azab yang ese terima daripada Allahyarham ayahanda ese, moga Allah merahmati beliau sentiasa.

**************************************************
Ini adalah gambar al-Muwaajahah asy-Syarifah tahun 1326H


*******************************************************
Ini video yang ese jumpa berkaitan dengan laporan di akhbar al-Muslimoon, Jeddah, yang memuatkan artikel dan lukisan pemandangan dalam Hujrah Nabawiyyah asy-Syarifah. Disampaikan oleh seorang penceramah dari sebuah pertubuhan Ahlus Sunnah wal Jama`ah di Kerala, India. Takat tu yang ese faham, sebab video ni dalam Bahasa Tamil. Sesiapa yang faham tolong terjemah sikit.
video

Selasa, Januari 26

Saham Akhirat

Marilah sama-sama kita menyumbang untuk membina kembali prasarana yang telah musnah agar para penuntut ilmu ini dapat meneruskan pengajian mereka. Mudah-mudahan segala sumbangan dan bantuan yang dihulurkan akan menjadi amal jariah yang berterusan ganjarannya bagi si pelaku.

Selasa, Januari 19

Shohih & Dhoif

Kekadang seseorang itu disibukkan dengan perkara-perkara yang menjadi urusan dan bahasannya para ulama. Mereka mencampuri urusan tersebut dengan penuh bersemangat sehingga larut dalam bahasannya yang berkesudahan dengan ilmu itu hanya tinggal ilmu tanpa disertai amal. Berbahas mengalahkan ulama, tetapi amalannya tidak pulak seperti amalannya para ulama... Allahu ... Allah. Inilah penyakit yang menimpa umat sekarang. Misalan, ada yang bertarawih 8 rakaat serta memfatwakan hanya bilangan tersebut sebagai sunnah, maka berterawihlah dia dengan penuh perasan telah mengikut sunnah 100%, sedangkan jika dibandingkan 8 yang dilakukan itu tak setara pun dengan setengah rakaat yang dikerjakan Junjungan Nabi SAW. Tapi ada hati nak berlagak kononnya dah 100% ikut sunnah dan amalan orang lain semua bid`ah. Inilah antara penyakit yang menimpa masyarakat hari ini.

Mari kita sama - sama merenungi kata-kata almarhum Ustaz Syed Ahmad Semait rahimahUllah dalam pra kata buku "al-Jawharul Mawhub wa Munabbihatul Qulub - Bingkisan Mutiara Untuk menghidupkan Hati Yang Merana".
"Cuma kebanyakan hadis - hadisnya yang diselitkan di dalam buku ini tidak pula disebutkan sanad - sanadnya yang mungkin akan menarik kemusykilan bagi generasi zaman sekarang yang sibuk dengan masalah sanad dan tingkatan hadis itu sebagai sahih, hasan, muttafaq - alaih ataupun dha`if dan maudhu' dan sebagainya sehingga kadang - kadang mereka tercicir tidak sampai ke mana pun, dan akhirnya tiada apa yang dapat diamalkan sehingga menjadi rugi selama-lamanya.

Saya lebih menarik dengan ramai para ulama yang sudah pun memberikan pandangannya kepada jenis-jenis hadis - hadis seperti ini serta memutuskan bahawa dalam fadhailul a'maal, yakni kerja-kerja kebaktian kepada Allah ta`ala dan amalan-amalan saleh yang dimaksudkan buat bekalan akhirat, jangan sampai terlalu disibukkan dengan persoalan sanad dan tingkatan hadis. Kita juga punya akal untuk memikirkan kalau-kalau hadis itu munkar atau tidak betul dari yang betul dan yang kuat di samping yang lemah dan sebagainya, malahan yang patutnya kita utamakan apa yang dianjurkan dalam hadis-hadis itu untuk kita amalkan supaya kita dapat manfaatnya dan pahalanya sebagai bekalan di belakang hari. Bukankah kita boleh faham, kalau apa yang dianjurkan itu baik buat diri kita di hadapan Allah ta`ala dan RasulNya. Kalau sudah sibuk - sibuk sangat dengan bid`ahnya atau maudhu'nya atau munkarnya, atau ini betul dan ini tidak betul, tentu akhirnya tidak ada apa yang dapat kita buat dan kantung kita pun kosong bila kita kembali kepada Allah ta`ala, yidak ada suatu yang dapat kita amalkan, wallahu - a'lam."
Pasti apa yang dimaksudkan oleh yang mulia Habib tersebut bukanlah meremehkan ilmu hadits dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. Tetapi biarlah urusan tersebut diserahkan kepada mereka-mereka yang benar-benar mahir dan menguasainya, bukan hanya orang-orang yang cuma mencuri-curi hadits dari kutubnya para muhadditsin.

Rabu, Januari 13

Mukmin Berhak Pertahan Kalimah "Allah".

Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady

KITA boleh melihat gagasan Islam liberal seperti dalam laman web 'Jaringan Islam Liberal' (islamlib.com) untuk memerhati implikasi yang mungkin timbul daripadanya jika ia tersebar di kalangan Muslimin di Malaysia. Antaranya ialah seperti berikut:

Dalam laman web JIL kita dapati misalnya (http://islamlib.com/id/c/gagasan/ )(5-12-2004) gagasan yang disebut 'sesuai dengan prinsip persaudaraan ( al-ikhâ), kesetaraan (al-musâwah) dan keadilan (al-'adâlah); sesuai dengan HAM (hak-hak manusia sejagat) dan tidak bertentangan dengan Deklarasi Universal HAM, juga produk hukum lain seperti Perlindungan kanak-kanak dan Perempuan.

CLD-KHI (satu gagasan) juga demokratis, pluralis, inklusif dan mengutamakan keadilan dan kesetaraan gender"- dengan huraian yang terpengaruh dengan konsep Barat mengenai demokrasi, pluralisme (semua agama sama), 'incluvisme' (semua agama boleh diterima oleh orang mukmin), menunjukkan kedudukan utama lelaki, dan persamaan gender (iaitu sama kedudukan dalam semua hal antara lelaki dan perempuan ala Barat) tanpa menghiraukan ketentuan dalam syariat, hidup kerohanian dan akidah Ahli Sunnah.

Kemudian kita bertemu pula dengan gagasan disebutkan: http://islamlib.com/id/c/gagasan/ (26/08/08) 'Sejumlah kajian menjelaskan bahawa corak keagamaan masyarakat dapat dipolakan dalam dua kategori: corak yang otoritarian dan humanistik. Agama yang humanistik memandang manusia dengan pandangan positif dan optimis, serta menjadikan manusia sebagai makhluk penting dan memiliki pilihan bebas.

Dengan kemahuan bebasnya, manusia dapat memilih agama yang diyakininya benar. Manusia harus mengembangkan daya nalarnya agar mampu memahami diri sendiri, untuk selanjutnya membangun secara positif dan konstruktif dengan sesama manusia, serta menjaga kelestarian alam semesta."

Dalam konteks gagasan seperti ini maka akan muncul fahaman Islam bukan agama yang benar satu-satunya, pemikiran manusia harus tidak didisiplinkan oleh hukum Tuhan, sebab pada mereka yang berfikiran demikian tidak ada apa disebut 'hukum Tuhan' itu; yang ada hanya tafsiran manusia. Juga tidak ada perkara akidah yang tetap yang mesti kita tunduk patuh kepadanya; perkara benar boleh berubah-ubah mengikut keadaan; yang baik dan yang buruk juga terletak kepada keadaan dan budaya.

Dalam konteks ini kita tidak hairan kalau golongan yang terpengaruh dengan pemikiran sedemikian melakukan penafsiran agama mengikut kehendak sendiri dan tidak dipandu oleh konsep ilmu dan akidah arus perdana tertentu. Jelas bahawa cara pemikiran sedemikian akan menghuru-harakan keadaan orang ramai dalam negara selain daripada ia terpesong daripada kebenaran yang disepakati dalam umat. Bahkan golongan ini tidak menerima ijmak atau persepakatan ulama sebagai panduan dalam memahami ilmu khususnya ilmu agama.

Dalam konteks pemikiran demikian kita tidak hairan ada orang Islam sendiri yang membenarkan penggunaan kalimah atau nama Allah, ismu jalalah, digunakan oleh mereka yang mengamalkan kepercayaan syirik seperti triniti dan yang sepertinya. Pada orang Islam membenarkan pihak yang mengamalkan agama syirik menggunakan nama Allah adalah kesalahan terbesar sekali sebab ia menyentuh tauhid dan kekudusan Tuhan.

Oleh itu, sedaya mungkin, bila Muslimin ada kewenangan, mereka mesti mencegahnya, kecuali ia sudah menjadi budaya yang lumrah seperti yang berlaku di setengah negara di Asia Barat. Hujah-hujah mengenai ini antaranya seperti berikut.

Pertama: Takrif Allah ialah sebagaimana yang ada dalam Surah al-Ikhlas, Ia Tunggal, Tempat Tuju Terakhir sekalian makhluk bagi mendapat hajat mereka, Kekal Abadi, Sempurna, tidak melahirkan dan tidak dilahirkan, serta tidak ada yang seperti-Nya. Kalau nama itu digunakan bagi Tuhan Jesus, atau Bapa Di Langit yang mereka meminta roti setiap hari daripada-Nya, atau triniti, itu tidak benar.

Kedua: Kalau Muslimin membenarkan pihak yang menyembah salib, atau Jesus atas kayu palang menyeru itu semua sebagai 'Allah', atau pihak yang menyembah patung Ganesh menyerunya dengan nama Allah, maka itu seperti Muslimin membenarkan pihak lain itu 'memaki Allah'.

Ini timbul daripada ayat bermaksud: "janganlah kamu memaki apa yang mereka sembah selain daripada Allah, lalu mereka memaki Allah dalam permusuhan dan dalam ketiadaan ilmu" ; ertinya kita membenarkan mereka menyeru nama 'Allah' kepada objek yang bukan Allah. Kita wajib menjaga kesucian nama Allah sedaya yang mungkin. Kalau tidak kita bersalah.

Ketiga: Kita wajib menjaga takdisnya nama Tuhan sedaya upaya kita. Ulama menyatakan bahawa kita wajib menjaga kesucian rahim wanita dengan memastikan 'tiga kali suci' atau 'tiga kali haid' baru rahim dikira suci, dan perkahwinan baru boleh diakadkan; maka kata ulama kalau dalam menjaga kesucian rahim dimestikan tiga kali suci, walhal kalau sekalipun sudah cukup, alangkah lebih beratnya pula hukum menjaga kesucian nama Tuhan supaya ia sunyi daripada apa-apa yang tidak patut baginya seperti memanggil nama Allah walhal yang dituju adalah 'Tuhan Jesus' atau 'Bapa Di Langit'.

Keempat: Kita bukan berada dalam budaya yang nama 'Allah' digunakan oleh mereka yang beragama lain, maka kalau kita membenarkan penggunaan itu, ia akan mengelirukan orang beriman yang ramai terdiri daripada orang awam. Itu akan menimbulkan kekacauan rohani dan membinasakan agama dan manusia dari segi hidup rohani mereka. Kita wajib mengelak diri daripada perkara demikian.

Kelima: Dalam Kamus Inggeris Oxford yang terbesar itu dinyatakan bahawa Allah adalah tuhan bagi orang Islam. Demikian juga dalam Encyclopedia Brittannica dan Encyclopedia of Religion and Ethics suntingan Hastings. Jadi mengapa pula nama jalalah ini hendak digunakan oleh mereka, dan dalam majalah versi bahasa Melayunya pula? Adakah mereka akan menggunakan nama ini dalam Bible mereka semua dalam semua bahasa dunia?

Keenam: Mengenai kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia yang wajib diterima semua pihak, dan agama ialah urusan Yang di-Pertuan Agong dan dalam negeri-negeri urusan Sultan, dan fatwa kebangsaan sudah menentukan bahawa ismu jalalah atau nama Allah itu adalah untuk agama Islam. Maka dalam konteks ketaatan kepada perlembagaan tidak ada sesiapa yang patut mempersoalkan kedudukan agama Islam dan perkara yang berkaitan dengan pengamalannya. Dengan itu penggunaannya yang tidak wajar, hendaklah dilarang.

Ketujuh: Kepercayaan lain boleh diamalkan dengan 'aman dan damai' dan mempersoalkan penggunaan Allah khusus bagi orang Islam dan agama Islam bukanlah perbuatan mengamalkan kepercayaan lain dengan 'aman dan damai' sebab ia menimbulkan keresahan sebagaimana yang jelas dalam laporan media. Dengan itu penggunaan nama Allah oleh pihak lain yang mengandungi niat tidak wajar hendaklah dilarang.

Kelapan: Walaupun dalam hubungan dengan hak-hak kebebasan manusia sejagat, artikel 29 memberi kenyataan:

"Artikel 29(2) deklarasi itu memaktubkan, dalam melaksanakan seluruh hak dan kebebasan, setiap individu adalah tertakluk kepada sekatan yang ditentukan oleh undang-undang khusus. Sekatan itu adalah bagi memastikan keperluan saksama terhadap moraliti, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam suatu masyarakat demokratik.

"Artikel 29(3) deklarasi berkenaan menegaskan, seluruh hak dan kebebasan tidak boleh mencanggahi seluruh matlamat dan prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Berdasarkan Piagam PBB, antara matlamat dan prinsip PBB adalah pengamalan toleransi dan kehidupan bersama secara aman; bersatu memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa; menghapuskan seluruh ancaman kepada keamanan; pemansuhan tindakan ganas; dan bertindak selaras dengan undang-undang antarabangsa untuk meleraikan persengketaan atau lain-lain tindakan menjejaskan keamanan". (Lihat dalam laman web Malaysian Bar: (http://www.malaysianbar.org.my/berita/komen_undang_undang/realiti_kebebasan_media_di_malaysia.html?date=2010-01-01 )


Kesembilan: Kita boleh memahami hal ini dengan menggunakan misalan dan perbandingan. Katakanlah ada seorang raja negeri yang besar; ia sedang berada di Balai Penghadapannya; ramai orang yang berada di Balai Penghadapannya itu. Katakanlah di Balairong Seri, tiba-tiba ada seorang yang datang, dengan diperhatikan oleh raja besar itu, kemudian ia bertemu dengan tukang sapu sampah berhampiran, lalu ia mengadap orang itu. Katanya 'Tuanku Yang Dipertuan! 'tentu sekali orang itu akan mendapat murka raja itu. Demikian kedudukannya. Maka kalaulah muslimin membenarkan pihak lain menggunakan nama Allah untuk 'Tuhan Jesus' atau untuk 'Bapa di Langit' maka itu adalah tempelak terbesar terhadap Allah Yang maha Esa dan maha Tinggi.

Dengan itu sedaya upaya Muslimin jangan memberi izin pihak lain menggunakan nama ini secara tidak sepatutnya. Manfaatkan kewenangan yang Tuhan kurniakan kepada Muslimin untuk menyuci dan meninggikan nama-Nya agar Ia tidak dicemari sesiapa. Kalau kewenangan itu tidak dimanafaatkan mungkin Tuhan akan mencabutnya, dijauhkan Allah. Wallahu a'lam.

INTI PATI: Hujah pertahan penggunaan Allah

  • Takrif Allah ialah sebagaimana yang ada dalam Surah al-Ikhlas, Ia Tunggal, Tempat Tuju Terakhir sekalian makhluk, Kekal Abadi, Sempurna, tidak melahirkan dan tidak dilahirkan, serta tidak ada yang seperti-Nya seperti dalam agama lain.
  • Membenarkan pihak agama lain menggunakan nama Allah seperti membenarkan pihak lain menghina Allah.
  • Mukmin wajib menjaga kesucian nama Allah daripada disamakan dengan 'Tuhan Jesus' atau 'Bapa Di Langit.
  • Membenarkan agama lain turut guna nama Allah menyebabkan mukmin lain akan keliru.
  • Kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia wajib diterima, penggunaan Allah selain Islam perlu dilarang.
  • Penggunaan nama Allah oleh pihak lain yang mengandungi niat tidak wajar hendaklah dilarang.

Sabtu, Januari 9

Jom Ramai - Ramai


Jumaat, Januari 8

Pengunaan Kalimah Allah - Dr. Farid

Moh kite dengar plak penjelasan Dr. Mohd Farid Shahran mengenai isu penggunaan kalimah Allah. Dr. Farid adalah Assistant Prof. kat Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama di Kulliyyah Ulumul Wahy wal Insaniah, Universiti Islam Antarabangsa. Dengar bebetul, faham bebetul, mudah-mudahan bertambah ghirah kita pada agama kita yang suci ini.

Bhgn 1
video

Bhgn 2
video

Bhgn 3
video

Bhgn 4
video

Bhgn5
video

Bhgn 6
video