Rabu, November 29, 2006

Haul Imam al-Haddad

7 Dzul Qaedah merupakan haul Imam al-Haddad. Imam al-Haddad ulama dan waliyUllah yang terkenal keturunan baitun nubuwwah, Bani Zahra` min aali 'Ali, Saadah Ba 'Alawi. Dilahirkan di Kota Tarim al-Ghanna pada 5 Shafar al-Khair 1044H. Aku telah menulis serba sedikit mengenai riwayat hidup Imam yang mulia ini dalam posting yang lalu. Kali ini aku hanya ingin menegaskan bahawa Imam al-Haddad yang terkenal sebagai seorang yang berilmu tinggi lagi arif billah, tetap berpegang dengan mazhab Syafi`i dan beri'tiqad dengan i'tiqad Imam Abu Hasan al-'Asy'ari.

Mufti Hadhramaut, Habib 'Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin 'Umar al-Masyhur Ba 'Alawi dalam "Ghaayatu Talkhish al-muraad min fatawa Ibni Ziyaad" menyatakan bahawa Imam a-Haddad adalah mujaddid kurun ke-11H. Elok juga, jika aku nukilkan kalam Mufti Hadhramaut ini untuk tatapan kalian. Pada halaman 293 - 294 di pinggir "Bughyatul Mustarsyidin", beliau menyatakan:-

[Masalah] Hadits "Bahawasanya Allah akan membangkitkan buat umat ini pada awal setiap 100 tahun orang yang akan memperbaharui (mentajdidkan) agama umat ini (yakni yang akan memperbaharui pegangan dan keyakinan umat terhadap agama mereka)," dikeluarkan hadits ini oleh Imam Abu Dawud dan Imam al-Hakim dan selain kedua mereka. Dan dalam lafaz lain dinyatakan "Pada setiap 100 tahun seorang lelaki daripada ahli baitku," sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ahmad. Berkata Imam as-Sayuthi, hadits ini adalah masyhur dengan diriwayatkan oleh para hafiz yang muktabar. Maka mujaddid bagi:-
  1. Kurun pertama: Sayyidina 'Umar bin 'Abdul 'Aziz;
  2. Kurun ke-2: Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i;
  3. Kurun ke-3: Ibnu Suraij atau al-Asy'ari;
  4. Kurun ke-4: ash-Sha'luki atau Abu Hamid al-Isfaraini atau Qadhi Abu Bakar al-Baaqilani;
  5. Kurun ke-5: Imam al-Ghazali tanpa ada khilaf;
  6. Kurun ke-6: al-Fakhrur Razi atau ar-Rifaa`i;
  7. Kurun ke-7: Ibnu Daqiiqil 'Eid;
  8. Kurun ke-8: al-Bulqini dan Zainuddin al-'Iraqi atau Ibnu Bintil Mailaq;
  9. Kurun ke-9 : Syaikh Zakaria al-Anshari sebagaimana dinyatakan oleh guru kami ath-Thanbadaawi dan adalah Imam asy-Sayuthi telah menisbahkan tajdid kepada dirinya (yakni menyatakan dirinya sebagai mujaddid), dan tiada syak bahawa Syaikh Zakaria lebih memberi manfaat (buat umat) dan lebih masyhur, maka dialah mujaddid ke-9 ini, insya-Allah;
  10. Kurun ke-10: yang aku jumpa daripada keterangan para masyaikh bahawa mujaddid kurun ini ialah Syaikh Ahmad bin Hajar al-Haitami atau Imam Muhammad ar-Ramli, dan dirajihkan oleh sebahagian ulama bahawa mujaddidnya ialah Imam Muhammad ar-Ramli kerana Imam Ibnu Hajar meninggal sebelum berlalu kurun (yakni Imam Ibnu Hajar meninggal di akhir kurun dan tidak bertemu dengan awal kurun yang baru);
  11. Kurun ke-11: Sayyidinal Quthub 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad 'Alawi;
  12. Kurun ke-12: al-Quthub Ahmad bin 'Umar BinSumaith Alawi.
Dan ini kurun ke-13, kami berharap daripada Allah s.w.t. agar mentajdidkan umat ini dengan seseorang daripada kalangan khawaashul muqarrabinNya.
Ikhwah tengoklah senarai ulama yang mujaddid di atas. Semua mereka melakukan tajdid dan kebanyakan mereka masih tetap berpegang dengan mazhab, bahkan menjadi ulama besar dalam mazhab. Lihat Imam al-Asy'ari, Imam ash-Sha'luki, Imam Baaqilani, Hujjatul Islam al-Ghazali, Imam Fakhrur Razi dan lain-lain, semuanya masih berpegang dengan mazhab dan mengajar dan mengarang menurut mazhab tertentu. Jadi tajdid bukanlah bererti memusuhi mazhab atau anti-mazhab atau menyeru agar semua orang, termasuk kalangan awam untuk melakukan ijtihad dan menolak taqlid. Tajdid bukan bererti semua umat, termasuklah para petani dan nelayan, tokey kedai, tokey kain, tokey togey dan sebagainya, kena berijtihad. Seruan agar semua umat berijtihad, tanpa melihat tahap keilmuan mereka, adalah seruan yang menyeru kepada fitnah dan bukanlah tajdid, tapi seruan untuk menjahanamkan kemurnian Islam, apa tidaknya jika orang yang buta kayu pun disuruh berijtihad dan diharamkan bertaqlid, bukankah ini satu fitnah ? Kalimah ittiba` yang direka seolah-olah berbeza dengan taqlid, adalah seperti perbezaan yang mereka berikan kepada kalimah "rabb" dan "ilah". Janganlah terperdaya dengan permainan kalimah oleh puak-puak anti-mazhab dan anti-taqlid ini yang berselindung atas slogan kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah. Tanyakan kepada mereka 124,000 sahabi adakah semua mereka itu mujtahid ?

Berbalik kepada Imam al-Haddad, di sini aku nukilkan kalam beliau berhubung persoalan "di manakah Allah?". Dalam "an-Nashooih ad-Diniyyah wal washooyaa al-Imaaniyyah", halaman 433, Imam al-Haddad menyatakan:-

Dan bahawasanya Dia (yakni Allah s.w.t.) suci dari masa dan tempat, suci dari menyerupai segala ciptaan, tidaklah Dia diliputi oleh segala arah (jihat), dan tidaklah Dia bersifat dengan segala sifat yang baharu. Dia beristiwa` atas arasyNya sebagaimana yang difirmankanNya dengan makna yang dikehendakinya, istiwa` yang layak dengan kemuliaan keagunganNya dan ketinggian kemuliaanNya dan kebesaranNya (ini merupakan tafwidh mutlak Imam al-Haddad terhadap firman tersebut kepada Allah, dengan menyerahkan bulat-bulat pengertian makna hakikinya kepada Allah, tanpa membicarakannya lebih daripada itu. Dan perhatikan bahawa hal ini dinyatakan oleh Imam al-Haddad selepas dia mensuci atau mentanzihkan Allah daripada bertempat.)
Manakala dalam risalahnya "al-'Aqiidah as-Sadiidah al-muwaafaqah bil kitaab was sunnah al-hamiidah", halaman 14 - 15 di atas "al-Minhatul Fariidah syarhu 'Aqiidah al-Haddad as-Sadiidah" karangan murid Buya al-Maliki, Kiyai 'Ali Badriy Masyhuri al-Baasuruwaani, Imam al-Haddad menulis:-

Allah bersih daripada penyerupaan dan penyamaan, daripada sekutu dan pembantu, dari masa dan tempat, daripada sahabat dan anak, dari batasan atau had. Dialah Allah Ahadush Shomad, yang tidak beranak dan tidak diperanak, dan tiada ada sesuatupun yang setara denganNya...

Jadi jelas menurut Imam al-Haddad sebagaimana juga para ulama kita yang lain bahawa Allah wujud tanpa bertempat. Maka sesiapa yang menyatakan bahawa wujud Allah itu dengan menduduki sesuatu tempat, maka bukanlah itu i'tiqad Ahlus Sunnah wal Jama`ah sebagaimana difahami oleh para ulama kita. Marilah kita menghadiahkan al-Fatihah kepada Imam al-Haddad dan mudah-mudahan Allah mengalirkan sebanyak-banyak keberkatan kepada kita sekalian. Untuk keterangan lanjut berhubung i'tiqad Imam al-Haddad silalah ikhwah rujuk posting yang lalu, antaranya:-


2 ulasan:

Tawel-Sensei berkata...

Dan dalam lafaz lain dinyatakan "Pada setiap 100 tahun seorang lelaki daripada ahli baitku,"

Soalan saya: Adakah ke-12 orang tokoh mujadid di atas semuanya dari ahlul bait? Minta penjelasan.

Dan tentang mujaddid kurun ke-13, puak Wahhabi telah pun menobatkan Sheikh Albani sebagai tokohnya. Adakah ini boleh dianggap khilaf dalam menentukan siapakah tokoh tajdid sesuatu kurun?

Abu Muhammad berkata...

Bukan semuanya daripada ahli bait. Tapi tidakah mustahil, ada mujaddid lain dari kalangan ahli bait. Kerana tidak mustahil berbilang mujaddid satu masa.

Wahhabi telah menobatkan bukan sahaja albani bahkan ibnu abdul wahhab, ibnu taimiyyah dan lain-lain tokoh mereka. Terpulanglah bagi mereka, Allah sahaja yang mengetahui. Silap ari bukan tak mustahil wahhabi malaysia akan nobatkan Mufti Perlis atau Dr Abdullah Yaasin sebagai mujaddid... Ini dah dinobatkan sebagai Tokoh Sunnah, sikit ari lagi tu mujaddid plak lah.