Isnin, Disember 11, 2006

Jabal Abi Qubais

Di timur Baitullah, jika kita membelakangkan hajarul aswad yang mulia, akan terpandanglah kita sebuah istana megah berdiri atas sebuah bukit yang telah ditarah habis. Bukit yang telah diperkosa sedemikian rupa, itulah Jabal Abi Qubais yang mempunyai sejarah berkait rapat dengan sejarah Baitullah dan Kota Makkah al-Mukarramah. Jabal Abi Qubais atau lebih masyhur di lidah orang kita sebagai Jabal Qubais atau orang kampung aku panggil "Jabal Kobes", dahulunya mencapai ketinggian 420 meter. Ada riwayat yang menyatakan bahawa Jabal Abi Qubais inilah seawal-awal gunung / bukit yang dicipta Allah atas muka bumi ini. Imam as-Sayuthi rhm. meriwayatkan dalam "al-Wasaa-il fi Musaamiratil Awaa-il" halaman 6 menulis:-

Dan seawal-awal jabal yang diletakkan Allah atas bumi adalah Abu Qubais, kemudian terpencar (tersebar) darinya segala jabal. Ibnu 'Asaakir menyatakan bahawa dalam sanad hadits ini ada rawi yang majhul dan bahawasanya ianya dihafaz / diterima daripada perkataan 'Atho`.
Banyak peristiwa bersejarah berkait dengan Jabal Abi Qubais. Jabal Abi Qubais dikenali juga sebagai Jabal al-Amin (bukit kepercayaan / bukit penyimpan amanah), kerana Allah telah mengamanahkan hajarul aswad dalam simpanannya pada waktu taufan dan bah zaman Nabi Nuh a.s. Tatkala Nabi Ibrahim membina semula Baitullah, maka Jabal Abi Qubais mengeluarkan kembali hajarul aswad lalu dibawa oleh Sayyidina Jibril a.s. dan serahkan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Dalam sebahagian kitab-kitab tafsir seperti "Tafsir al-Jalalain" dan "Tafsir al-Qurthubi", dalam memberikan tafsiran bagi firman Allah s.w.t. yang kira-kira bererti:- "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh", (al-Hajj: 25 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman") menyatakan bahawa seruannya Nabi Ibrahim ini dilakukan baginda dari puncak Jabal Abi Qubais. Imam al-Qurthubi meriwayatkan dalam tafsirnya tersebut daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas r.a. dan Sayyidina Ibnu Jubair r.a. yang menceritakan bahawa setelah Nabi Ibrahim menyelesaikan pembinaan Baitullah, maka Allah berfirman kepada baginda: "Serukanlah segala manusia untuk mengerjakan haji." Maka Nabi Ibrahim bertanya: "Wahai Tuhan, adakah seruanku akan sampai kepada mereka"? Allah menjawab: "Serulah dan atas Akulah menyampaikannya." Lalu naiklah Nabi Ibrahim Khalilullah akan Jabal Abi Qubais dan berteriaklah baginda dengan katanya: "Wahai manusia ! Bahawasanya Allah telah memerintahkan kamu untuk menunaikan haji ke Baitullah ini, untuk diganjari kamu dengan haji tersebut akan syurga dan diselamatkan kamu daripada azab neraka, maka berhajilah kamu." Seruan Nabi Ibrahim ini telah dijawab oleh segala roh manusia yang berada di tulang-tulang sulbi lelaki dan rahim-rahim perempuan dengan ucapan talbiyyah "LaibaikAllahumma labbaik", sesiapa yang menjawabnya pada hari tersebut maka dia akan berhaji sebanyak mana jawapannya, jika menjawab sekali akan berhaji sekali dan jika dua kali akan berhaji dua kali, dan dari sinilah bermulanya ucapan talbiyyah yang menjadi semboyan atau syiar para hujjaj. Selain daripada itu, diriwayatkan juga bahawa batu-batu yang digunakan untuk membina Baitullah yang mulia diambil dari Jabal Abi Qubais.

Terdapat juga riwayat yang menyatakan bahawa mukjizat Junjungan s.a.w. membelah bulan berlaku di Jabal Abi Qubais, di mana setelah diminta oleh kaum musyrikin Makkah agar Junjungan Nabi s.a.w. memperlihatkan satu mukjizat, maka baginda dengan tunjukan jari baginda yang mulia telah membelah bulan menjadi dua belahan, sehingga disaksikan oleh kaum musyrikin Makkah bahawa bulan benar-benar terbelah dua, satu belahan di atas Jabal Qubais, manakala belahan keduanya pergi ke Jabal Qu`ayqa`aan (Jabal Qiiqa`aan atau Jabal Hindi).

Selain peristiwa tersebut, sebahagian mufassir juga menceritakan bahawa tatkala turun firman Allah s.w.t yang kira-kira bererti:- "Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat." (asy-Syu`araa`: 214 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman), yang memerintahkan dakwah secara terang-terangan kepada kaum kerabat baginda, maka Junjungan Nabi s.a.w. membuat seruan tersebut dari Jabal Abi Qubais Ini adalah mengikut riwayat sebahagian mufassir, manakala sebahagian lain menyatakan baginda melakukan seruan dakwah tersebut dari Bukit Shofa. Kedua-dua riwayat ini tidaklah bercanggah kerana Jabal Shofa tempat memulakan ibadah sa`ie, terletak di hujung Jabal Abi Qubais dan merupakan sebahagian daripada jajaran Jabal Abi Qubais, manakala Jabal Marwah berada di permulaan jajaran Jabal Qiiqa`aan / Jabal Qu`ayqa`aan / Jabal Hindi.

Berbalik kepada peristiwa Nabi Ibrahim a.s. membuat seruannya agar umat manusia menunaikan haji dari atas Jabal Abi Qubais, maka dahulu ramai orang naik ke atasnya untuk berbuat sedemikian kerana mengambil sempena. Dahulu di atas puncak bukit tersebut ada sebuah masjid kecil yang dinamakan Masjid Bilal. Menurut cerita sesetengah orang, masjid tersebut dibina atas tapak di mana Nabi Ibrahim membuat seruan baginda tersebut. Oleh itu, maka sebagai menelusuri jejak sejarah dan mengambil sempena, manusia datang menziarahi masjid tersebut untuk "melambai", yakni berdoa agar ahli keluarga dan rakan taulan yang belum berkesempatan datang ke Baitullah diberi peluang untuk ke sana. Alhamdulillah, musim haji tahun 1974, aku sempat menaiki Jabal Abi Qubais dan menziarahi masjid tersebut dan memang Baitullah nampak dengan jelas dari sana. Sekarang, semua ini sudah tidak ada lagi, kerana kini tiada lagi rumah, tiada lagi rubath, tiada lagi masjid atas Jabal Abi Qubais, yang ada hanyalah istana mewah keluarga Sa`ud....Allahu .... Allah.

Pemusnahan dan penjarahan tempat-tempat bersejarah di Tanah Suci hingga kini berterusan atas nama pembangunan dan pemodenan. Tidak mustahil satu hari di masa hadapan, masjid agung Makkah ini akan dikelilingi bangunan - bangunan moden pencakar langit kerana sekarang pun telah ada pencakar langit berupa hotel mewah bersebelahan Masjidil Haram yang mulia. Harap-harap janganlah berlaku di masa hadapan di mana jika bukan kerana Masjidil Haram, Baitullah, dan suasana ibadah, manusia merasakan dirinya berada di Kota New York yang penuh pencakar langit (kata orang le...sebab aku belum pernah lagi ke New York). Mudah-mudahan segala tempat bersejarah ini tetap dikenang dan dikenali umat.

3 ulasan:

mardiah berkata...

salam syeikh abu muhammad. teringat saya waktu umrah dahulu, mutawwif yang membawa kami juga menceritakan kisah nabi Ibrahim a.s tersebut. Kami juga sempat menyeru sanak saudara dan sahabat handai untuk menunaikan haji, di atas jabal qubais itu. Terasa sangat syahdu ketika itu. Semoga doa kami dimakbulkan insyaAllah. Alhamdulillah dan sangat2 bersyukur sebab dibimbing oleh mutawwif yang ditarbiyah oleh almarhum sayyid muhammad alawi al-maliki. MasyaAllah, keperibadian mereka sangat tenang, dan kecintaan kepada Rasulullah jelas terpancar. sepanjang waktu dalam bas semasa ziarah kami akan berqasidah dan bershalawat, dan mereka akan menceritakan pelbagai peristiwa2 yang istimewa di tempat2 tersebut. Rindu rasanya utk kembali menziarahi makah dan madinah, insyaAllah.

Abu Muhammad berkata...

Ukhtiena Mardiah, tahun berapa agak-agaknye tu ? Sempat naik sehingga ke Masjid Bilal ?

cik berkata...

Waktu saya pergi umrah yg lepas, Sheikh Ahmad Jamhuri Jaharis tu cuma bawa sampai paling hampir dgn dinding simen sblh bukit tu utk berdoa dikembalikan lagi ke Mekah untuk umrah & haji serta berdoa utk ahli keluarga, sahabat2 etc. Mungkin itu lah tapak asal Nabi Ibrahim memanggil umat manusia menunaikan Haji/Umrah.