Khamis, Mac 19, 2009

Sebab Pertolongan Agung

Tiada siapa dari kalangan makhluk yang boleh mengira keutamaan bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. Hanya Allah sahaja yang mengetahui kelebihan dan fadhilatnya. Cukuplah bukti atas kebesaran sholawat apabila kita selaku umat beriman jatuh ke tangga ke-3, selepas Allah menyatakan bahawa Dirinya yang agung dan para malaikatNya bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. Maka janganlah kita memandang remeh akan amalan bersholawat atas Junjungan sekalian alam ini. Berusahalah agar setiap ungkapan sholawat yang kita keluarkan adalah disertai cinta kasih dan kerinduan kepada Junjungan Rasulullah s.a.w. Hadhratusy Syaikh Kiyai Hasyim Asy`ari rahimahUllah dalam tulisannya berjodol "an-Nurul Mubin fi Mahabbati Sayyidil Mursalin", antara lain, menulis:-
Keutamaan membaca sholawat sudah amat jelas. Sholawat termasuk amalan paling penting bagi mereka yang menghendaki dekat dengan Tuhan sang penguasa bumi dan langit. Sesungguhnya sholawat akan membuka rahasia hati, mencurahkan pahala dan mendatangkan pertolongan yang agung.
Oleh itu, mari kita amalkan sentiasa bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. tanpa jemu dan bosan. Beliaulah harapan dan sandaran kita ketika berdiri di Mahsyar dan menghadapi hisab.

Isnin, Mac 16, 2009

Merayakan Mawlid - Mufti Mesir

Sesungguhnya menyambut dan merayakan Mawlid Junjungan Nabi s.a.w. dengan niat untuk ingat kepada baginda dan membesarkan baginda adalah satu amalan yang besar dan dipandang utama oleh para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Para ulama kita menyatakan bahawa amalan ini adalah satu qurbah kepada Allah s.w.t dan kekasihNya s.a.w. Memandangkan kebanyakan umat Islam di dunia ini adalah pengikut Ahlus Sunnah wal Jama`ah, maka kelahiran Junjungan Nabi s.a.w. terus dimuliakan dan diingati, alhamdulillah. Dakyah puak-puak Wahhabi dengan jagoan mereka antaranya Bin Baz terus tenggelam ditelan kebenaran. Fatwa-fatwa yang menyesatkan perayaan dan sambutan Mawlidur Rasul hanya tinggal fatwa-fatwa yang tak bernilai, fatwa yang hanya menghabiskan kertas dan dakwat sahaja. Fatwa yang dikeluarkan oleh mufti yang dah tak ada benda lain lagi yang nak difatwakannya. Biaq pilah kat depa.

Syaikh 'Ali Jum`ah, mufti Mesir, adalah antara ulama kontemporer yang memandang baiknya amalan memperingati Mawlid Junjungan Nabi s.a.w. Dalam karya beliau "al-Bayan" pada halaman 164 beliau menyatakan, antara lain:-

Mengadakan sambutan-sambutan peringatan Mawlid Junjungan Nabi s.a.w. adalah daripada seutama-utama amalan dan sebesar-besar qurbah, kerana bahawasanya ia adalah luahan atau ungkapan atau ekspresi atas kegembiraan dan kecintaan kepada baginda s.a.w. Cinta mahabbah kepada Junjungan Nabi s.a.w. adalah satu dasar daripada dasar-dasar keimanan. Dan telah shohih sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. yang menyatakan :- "Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, tidaklah beriman seseorang daripada kamu (yakni tidak sempurna iman) sehinggalah jadi aku paling dikasihinya berbanding ayah dan anaknya". Dan bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:- "Tidak beriman seseorang daripada kamu (yakni tidak sempurna iman) sehinggalah jadi aku yang paling dikasihinya berbanding anaknya, ayahnya dan manusia sekaliannya."
Allahu ... Allah, wahai ikhwah, hendaklah kita membesarkan majlis-majlis memperingati Mawlid Junjungan Nabi s.a.w. dengan menjaga segala adab dan etika demi memuliakan makhluk Allah yang paling agung, Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Perhatikanlah wahai ikhwah akan kata-kata Syaikh `Ali yang menyatakan bahawa majlis-majlis peringatan mawlid Junjungan Nabi s.a.w. adalah min afdhalil a'maal wa a'dhzamil qurubaat. Maka biaq pilah kat mereka-mereka yang mencemoh peringatan Mawlid Junjungan s.a.w. Apa yang terlebih pelik adalah ada manusia yang sanggup berbelanja untuk meraikan hari kelahiran dirinya atau isterinya atau anaknya, tetapi dalam masa yang sama memandang serong terhadap orang yang merayakan hari kelahiran Junjungan Nabi s.a.w. Apa punya orang ni aaa!!!!! Nabi punya dia kata bid`ahsesat, sendiri punya nape sibuk nak rayakan?? Siap buat kat hotel plak, ada ati nak bid`ahkan orang. Allahu ... Allah, dunia dah nak kiamat kot.

Rabu, Mac 11, 2009

Ceramah Hb. Abu Bakar

Ceramah Habib Abu Bakar bin Hasan as-Segaf (as-Saqqaf) waktu Haul Habib Abu Bakar Gresik pada 15 Disember 2008.

video

Ahad, Mac 08, 2009

Mawlid Junjungan 1430

Rabi`ul Awwal tiba lagi, bulan istimewa yang dimuliakan dengan zahirnya rahmat bagi sekalian alam. Rahmat yang mesti sentiasa kita ingati setiap saat dan ketika. Rahmat yang mesti kita syukuri, rahmat terbesar anugerah Ilahi. Alam dan segala isinya turut bergembira ketika tibanya cahaya Sang Nabi, cahaya yang ditunggu-tunggu yang menerangi seluruh mayapada. Wajar dan amat wajar bagi kita untuk bersyukur dan berbangga kerana menjadi umat baginda, tetapi alangkah bahagianya bila baginda juga berbangga dengan kita sebagai umatnya. Bagaimana bisa kita menggembirakan Junjungan kita?

Perhatikanlah kalam Habib 'Ali al-Habsyi :-

بيضوا وجه نبيكم بصالح أعمالكم

Ceriakanlah wajah Nabimu dengan amalan sholeh

Jadikanlah sarana sambutan Mawlid Junjungan Nabi s.a.w. sebagai wadah untuk menyemarakkan lagi kecintaan dan kerinduan kita kepada baginda. Teramat penting bagi kita selaku umat baginda untuk mengikuti, menuruti, mentaati segala perintah Junjungan Nabi s.a.w. dengan penuh mahabbah. Mahabbah kepada Junjungan akan menaiktarafkan darjat kita di sisi baginda kerana sesungguhnya Junjungan Nabi s.a.w. Marilah kita tingkatkan amalan-amalan sholeh kita. Lidah kita lazimkanlah dengan ucapan zikir dan sholawat. Anggota-anggota kita dijaga dari segala maksiat. Nescaya Junjungan pasti akan berbangga mengaku kita sebagai umat baginda. Percayalah bahawa selagi nafas masih ada, jalan untuk membaiki diri masih terbuka. Maka jangan sia-siakan, kerana detik terakhir tiada kita ketahui bila ianya.

Rindu kami padamu ya Rasul ......
Rindu tiada terperi
Berabad jarak darimu ya Rasul ......
Seakan dikau di sini
Cinta ikhlasmu pada manusia ......
Bagai cahaya suwarga
Dapatkah kami membalas cintamu ......
Secara bersahaja

- Taufiq Ismail

*********************************

video

Sabtu, Mac 07, 2009

Ceramah Mawlid

Tuan Guru Haji Ismail bin Omar yang lebih dikenali dengan gelaran Baba `Eil Spanjang adalah antara ulama dan tok guru pondok yang terkenal di Fathani dan juga di Malaysia. Beliau merupakan AJK Fatwa Persatuan Ulama Fathani. Pengarang beberapa kitab antaranya "Mizan ad-Durari", "Hikam Jawi", "Mawaidzul Iman" dan lain-lain. Selain mengasuh pondok pengajiannya sendiri, beliau turut mengajar di merata tempat termasuklah di Masjid Yala dan Masjid Jami` Fathani yang sudah puluhan tahun dilakukannya. Moga Allah memberikan beliau kesihatan yang baik dan umur yang panjang agar berlanjut manfaatnya bagi umat.


Ceramah Tuan Guru Haji Ismail Spanjang al-Fathani hafizahUllah mengenai menyambut Mawlidur Rasul s.a.w. Baba `Eil menyatakan antara lain bahawa jikapun dikatakan bahawa perayaan sambutan Mawlid Nabi sebagaimana yang berlaku sekarang ini tidak ada dinaqalkan daripada generasi salaf terdahulu, tetapi ianya bukanlah jadi dalil bahawa sambutan Mawlid Nabi s.a.w. ini sebagai sesuatu yang dilarang atau haram. Baba juga menghuraikan hadits "Kullu bid`atin dholalah" yang menjadi senjata puak kaum mudah untuk menyesatkan orang yang tidak sefaham dengan mereka. Mari kita sama - sama dengar ceramah beliau, audionya kurang jelas dibeberapa tempat dan ambil perhatian yang Baba Eil ni ceramah ikut loghat Fathani (lebih kurey kecek Kelate), kalu tak brapa fahey silo cari kamus Kelate.

************************************
Ceramah Mawlid 1

video


Ceramah Mawlid 2

video

Khamis, Mac 05, 2009

Mawlid Barzanji

Mawlid Barzanji telah masyhur di rantau sebelah kita. Amalan membacanya telah menjadi tradisi masyarakat kita di alam Melayu ini. Ketibaan bulan kelahiran Junjungan Nabi s.a.w. memeriahkan lagi majlis-majlis pembacaan kitab Mawlid Barzanji dan alhamdulillah ianya masih berkekalan sehingga ke saat ini, walaupun dikecam dan disesatkan oleh puak kaum mudah. Sungguh mengherankan bila membaca kitab sirah yang sarat dengan mahabbatur rasul, tiba-tiba hendak diharamkan sebab kononnya bid`ah, kononnya ada unsur pengagungan yang berlebihan, kononnya ada syirik, sedangkan apa yang didakwa syirik dan berlebihan itu hanyalah kesalahan mereka dalam memahami kata-kata Imam al-Barzanji akibat kail mereka yang hanya sejengkal untuk menduga lautan dalam ...Allahu ... Allah. Syukurlah, amalan bermawlid, bermarhaban dan membaca Barzanji telah mendapat sokongan dan dokongan para ulama kita antaranya seperti di Sarawak ini oleh almarhum Shohibus Samahah Datuk Haji Abdul Kadir Hassan. Datuk Kadir Hassan dalam fatwanya menyatakan:-

Soalan:-

Apa pandangan Islam terhadap zikir marhaban seperti diamalkan masyarakat Islam pada hari ini ?

Jawapan:-

  • Pada hakikatnya adalah merupakan sebagai puji-pujian dan mengucap salawat dan salam kepada Junjungan s.a.w.
  • Berdiri ketika sampai kepada bacaan Nabi dilahirkan lalu membawa "Marhaban Jaddal Husaini", "Ashraqal Badru 'Alaina" dan lain-lain seterusnya sebagai menghormati Nabi Muhammad s.a.w. adalah amalan-amalan yang baik dan tiada sekali-kali terlarang di dalam syarak, asal jangan berubah kalimat-kalimatnya yang boleh merosak makna.
  • Sayyid Zaini Dahlan, Mufti Besar Imam Syafiee di Mekah (wafat 1304H) berpendapat bahawa mengadakan Maulud Nabi dengan membaca kisah-kisah baginda dan berdiri dan membesarkan Nabi s.a.w. adalah suatu hal yang baik. Dan telah mengerja seperti itu banyak dari ulama-ulama yang menjadi ikutan Ummah. (I`anatuth Tholibin, Juz III halaman 363).
  • Imam Taqiyuddin as-Subki, seorang ulama yang terbesar dalam Mazhab asy-Syafiee (wafat tahun 657H) juga berpendapat bahawa berdiri ketika mendengar kisah Nabi dilahirkan adalah suatu pekerjaan yang baik demi menghormati Nabi.
  • Pendeknya tiadalah diragu-ragukan bahawa mengadakan Zikir Marhaban seperti yang berlaku di dalam masyarakat kita tiadalah sekali-kali tertegah dalam syarak malah ianya adalah termasuk di dalam pekerjaan yang baik.
Selain almarhum Mufti Sarawak tersebut, Shohibus Samahah Datuk Haji Mohd. Yunus bin Mohd Yatim, mufti ke-3 Negeri Melaka, turut mendokong amalan Barzanji. Beliau menyatakan:-
Oleh itu, wahai ikhwah, janganlah terpedaya dengan kata-kata kaum yang suka bermudah-mudah dalam urusan agama ini. Dalam bab makan-minum tak mau pulak mereka nak bermudah-mudah, semua nak sodap, nak nyaman, bila masuk bab agama, senang je lidah tak bertulang mereka mengeluarkan - "tak pa Islam itu mudah". Ungkapan yang benar tetapi yang dikehendaki mereka dengannya adalah kebatilan. Moga Allah memberi mereka hidayah atau memusnahkan mereka agar padam fitnah yang menimpa umat beragama. Selamat Menyambut Mawlidur Rasul s.a.w., meriahkanlah sambutannya walau karihal Wahhabiyyun.

***************************************
Mawlid Barzanji

video

Isnin, Mac 02, 2009

Program Syaikh Fuad di Miri

Ulat Mulong Itu Haram

Rupa-rupanya masih wujud kekeliruan dalam masyarakat kita berhubung hukum makan si-at atau ulat mulong atau ulat batang sagu ini. Dalam mazhab Syafi`i yang diamalkan kita zaman berzaman di rantau sebelah sini, segala macam ulat dihukumkan haram memakannya. Yang diistisna` (dikecualikan) hanyalah ulat yang terwujud dalam cuka atau buah-buahan yang sukar hendak dibezakan apa lagi untuk dibuang, yang dimakan bersama-sama cuka atau buah-buahan tersebut (yakni lebih tepat diistilahkan sebagai "termakan bersama-sama iaitu yang dimakan adalah buah sedangkan ulatnya ikut termakan sekali". Jadi menjadi satu syarat yang ianya dimakan bersama - sama buah tersebut kerana sukar hendak dibezakan dan dibuang. Jika ulat-ulat tersebut boleh dipisahkan dari buah-buahan, maka tetaplah hukumnya haram dimakan. Perkara ini dibincangkan dalam kitab-kitab fiqh mu'tabar dalam mazhab seperti "Minhajuth Tholibin" halaman 130 dan 132 serta syarahnya pada "Tuhfatul Muhtaj" juzuk 9 halaman 369 dan 445.

Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, ulama besar pengarang kitab "Sabilal Muhtadin" dengan jelas pada juzuk 1 halaman 38 menyatakan sebagai berikut:-
... Bahawasanya telah dinashkan oleh ulama atas bahawasanya tiap-tiap ulat, dan jika ada ia suci pada ketika hidupnya sekalipun, HARAM memakan dia.
Ulama-ulama Sarawak termasuklah almarhum Shohibus Samahah Datuk Haji `Abdul Qadir Hasan, turut tidak ketinggalan mengeluarkan fatwa mengenai haramnya memakan ulat mulong ini. Malangnya ada sebilangan kecil masyarakat Islam yang masih tidak mendengar beduk mengenai haramnya makan ulat mulong menurut mazhab Syafi`i. Kepada penggemar ulat mulong, maka ketahuilah bahawa makan ulat mulong itu adalah haram hukumnya sebagaimana haramnya makan ular dan katak dan beruk dan kera menurut mazhab Syafi`i. Jadi eloklah berhenti dan jika dikatakan rasanya seperti rasa udang, maka eloklah beli udang dan makanlah udang.