Khamis, Mei 03, 2007

Titihan Mulia

Waduh, cbox aku dah jadi macam kata Allahyarham Pak Abas Astro: "macam-macam ada", sehingga aku pun lost sewaktu membacanya. Dari apa yang dapat ku tangkap ianya nampak macam menjurus kepada bahasan mengenai titihan nasab yang mulia, iaitu titihan zuriat keturunan Junjungan Nabi s.a.w. daripada anakanda baginda Sayyidatina Fathimah az-Zahra` r.'anha.

Aku mengakui kelebihan dan keutamaan serta kemuliaan titihan nasab ini. Ianya merupakan satu nikmat yang Allah kurniakan kepada sesiapa yang telah dijadikanNya tergolong dalam nasab tersebut. Akan tetapi ianya juga merupakan satu amanah dan tanggungjawab berat yang mesti dipikul oleh mereka-mereka yang bernasab kepada nasab yang mulia ini. Tanggungjawabnya ialah mereka yang memiliki nasab yang mulia ini hendaklah sentiasa memuliakan darah Junjungan Nabi s.a.w. yang mengalir dalam tubuh mereka. Memuliakannya dengan sentiasa mematuhi ajaran nenda mereka Junjungan Nabi s.a.w. Jika kami yang tidak ternasab dalam titihan yang mulia ini, yakni dalam tubuh kami Allah tidak rezekikan mengalir darah atau DNA Junjungan Nabi s.a.w. dikehendaki untuk sentiasa taat kepada ajaran baginda, maka kamu keturunan yang mulia, anak cucu baginda seharusnya menjadi contoh utama dan pertama dalam mentaati ajaran baginda s.a.w. Kamu wahai habaib kami yang mulia diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk menjaga titihan mulia yang mengalir dalam diri kamu. Nama baik Junjungan dan segala ahli keturunan baginda yang mulia jangan sekali-kali kamu khianati dengan cemar dosa dan maksiat. Jangan kotori titihan mulia ini dengan kederhakaan kepada Allah s.w.t. dan kepada ajaran Nenda kamu yang mulia s.a.w. Inilah amanah dan tanggungjawab kamu wahai habaib yang mulia.

Aku teringat kata-kata salah seorang guruku yang berketurunan asy-Syathiri yang mulia. Di mana guruku ini sekian tahun telah tinggal dan berdakwah di Negara Brunei Darus Salam. Dimaklumi bahawa di sana para saadah dipandang tinggi dan dimuliakan oleh masyarakat. Sama seperti generasi ibu-bapa ku dahulu, amat memuliakan keturunan mulia ini berbanding masyarakat zaman aku sekarang. Guruku itu amat tidak menyukai orang membesar-besarkan dirinya kerana nasabnya tersebut, bila dia menyuarakan rasa hatinya itu, maka masyarakat menjawab bahawa mereka sebenarnya memuliakan beliau kerana mungkin dalam diri beliau mengalir setitik darah Junjungan Nabi s.a.w. Justru kita memuliakan para habaib anak keturunan baginda Nabi s.a.w. adalah kerana baginda s.a.w. Allahu ... Allah, jagalah kehormatan titihan mulia ini, baik umat biasa seperti diriku ini, apatah lagi mereka-mereka yang dalam diri mereka mengalir titihan ini. Sungguh kamu diberi kemuliaan yang tiada tara, dalam silsilah nasab kalian ada Junjungan Nabi s.a.w., mana ada nasab yang semulia nasab kalian, penghormatan kepada nasab kalian tetap menjadi junjungan umat ini, TAPI harus kamu ingat akan amanah dan tanggungjawab yang berat atas pundak kamu IAITU tetap istiqamah menjaga nama baik dan kemuliaan tersebut.

Mari kita lihat kalam Imam al-Haddad dalam kitabnya "al-Fushuul al-'Ilmiyyah wal Ushul al-Hikamiyyah" dalam Fasal ke-25 halaman 88 - 91, beliau rahimahUllah antara lain menulis:-

... Dan telah berlaku atas lidah sebahagian manusia, apabila dikatakan kepadanya "seseorang dari kalangan Ahlil Baitin Nabawi telah melakukan perbuatan-perbuatan yang menyalahi ajaran agama dan bercampur-baur perbuatannya antara makrufat dan maksiat", maka mereka menjawabnya dengan kata-kata: "Mereka itu Ahlul Bait Rasulillah s.a.w., Rasulullah adalah pemberi syafaat bagi mereka, dan barangkali dosa-dosa tidak memudaratkan mereka". Maka ini adalah ucapan yang amat buruk, yang memudaratkan diri orang yang berkata dan juga memudaratkan diri orang jahil yang diperkatakan itu. Bagaimana seseorang boleh berkata sedemikian sedangkan Kitab Allah yang mulia telah menunjukkan bahawasanya Ahlul Bait digandakan bagi mereka pahala atas segala kebajikan mereka dan demikian juga diganda hukuman terhadap dosa kesalahan mereka, sebagaimana difirmankan Allah ta`ala:-

يٰنِسَآءَ ٱلنَّبِيِّ مَن يَأْتِ مِنكُنَّ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ يُضَاعَفْ لَهَا ٱلْعَذَابُ ضِعْفَيْنِ وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيراً وَمَن يَقْنُتْ مِنكُنَّ للَّهِ وَرَسُولِهِ وَتَعْمَلْ صَالِحاً نُؤْتِهَآ أَجْرَهَا مَرَّتَيْنِ وَأَعْتَدْنَا لَهَا رِزْقاً كَرِيماً

Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. Dan sesiapa yang di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang sholeh, Kami beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda, dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia. [Surah al-Ahzab: 30 - 31)

Dan para isteri Junjungan Nabi s.a.w. adalah dari kalangan Ahlil Bait baginda s.a.w. Maka sesiapa yang berkata atau menyangka yang dengan meninggalkan ketaatan dan melakukan maksiat tidak akan memudaratkan seseorang kerana kemuliaan nasabnya atau kerana kesholehan datuk neneknya, maka dia telah mendustai Allah dan menyalahi ijmak kaum Muslimin. ...........

.... Dan adapun sesiapa daripada kalangan Ahlil Bait yang tidak menjalani jalan-jalan para salaf mereka yang suci, di mana telah masuk pada mereka sesuatu percampuran antara taat dan maksiat kerana kejahilan. Maka sewajarnya juga mereka dimuliakan dan dihormati kerana hubungan kekerabatan mereka dengan Junjungan Nabi s.a.w., dan sesiapa yang berkemampuan memberi nasihat maka hendaklah dia tidak meninggalkan menasihati mereka dan mendorong mereka untuk mengikut perjalanan shalafush sholeh mereka yang terdahulu dari segi ilmu, amal-amal sholeh, akhlak yang baik, sirah perjalanan hidup yang diredhai. Khabarkanlah kepada mereka bahawasanya mereka terlebih utama dan lebih berhak untuk berbuat sedemikian berbanding manusia lain. Dan maklumkan juga bahawa nasab semata-mata tidak bermanfaat dan tidak menjadikan darjat seseorang itu tinggi, selagi mana dia mengabaikan ketaqwaan, mencintai dunia, meninggalkan ketaatan dan mencemar diri dengan berbagai perbuatan yang menyalahi ajaran agama. Para penyair terutamanya dari kalangan para Imam dan ulama telah memberi penekanan mengenai perkara ini dalam syair-syair mereka, sehingga dikatakan oleh sebahagian mereka:-

لعمرك ما الإنسان إلا ابن دينه * فلا تترك التقوى اتكالا على النسب
فقد رفع الإسلام سلمان فارس * و قد وضع الشرك الحسيب ابا لهب

Sungguh tidaklah manusia melainkan anak agamanya
Maka jangan kau tinggal taqwa demi mengunggulkan nasab
Dengan Islam telah ditinggikan darjat Salman orang Farsi
Manakala syirik merendahkan orang berbangsa si Abu Lahab


Al-Mutanabbi pula bersyair:


إذا لم تكن نفس الشريف كأصله * فماذا الذي تغني رفاع المناصب

Pabila diri si Syarif tidak jadi seperti asal keturunannya

Maka apalah faedah ketinggian nasab keturunannya itu


Dan penyair lain berkata:-


و ما ينفع الأصل من هاشم * إذا كانت النفس من باهله

Tidak berfaedah asal keturunan daripada Hasyim
Jika jiwa dirinya daripada Baahilah

***************
Allahu .... Allah. Nasab keturunan Bani Hasyim yang merupakan semulia-mulia nasab Bangsa Quraisy tidak mendatangkan apa-apa jika diri orang itu mempunyai jiwa Baahilah iaitu satu suku 'Arab yang terkenal dengan keburukan akhlak dan perangai mereka. Harap jangan ada sesiapa yang tersinggung. Aku tidak berniat untuk merendahkan sesiapa, hajatku hanya satu agar semua pihak, baik Saadah, baik Habaib, baik Asyraf, baik ghair munashib, untuk sama-sama memuliakan titihan mulia tersebut. Ambillah perhatian dengan kalam Imam al-Haddad tersebut, sungguh ianya adalah kalam Imam dan Pemuka Ahlil Bait Nabawi yang mulia. Mudah-mudahan dapat kita jadikan pedoman dalam kehidupan.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Barakallahu fikum..