Takziah Nabi Khidhir

Kita lihat kisah takziah tersebut yang dikisahkan oleh seorang ulama besar yang antara gurunya ialah Imam Ibnu Daqiqil 'Eid rahimahUllah. Beliau yang kumaksudkan adalah asy-Syaikh al-Imam al-`Allaamah al-Muhaqqiq al-Mutqin al-Hafiz al-Faqih al-Adib an-Nahwi Fathuddin Abul Fathi Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ya'muri ar-Rab`i al-Andalusi al-Mishri rahimahUllah. Beliau masyhur dengan gelaran Ibnu Sayyidin Naas, nisbah kepada datuknya yang ke-12 iaitu Imam Sayyidin Naas bin Abul Walid. Beliau ini dilahirkan pada bulan Dzul Qa`idah tahun 671H di Kaherah, Mesir dan dibesarkan dalam keluarga ulama. Ayahanda beliau adalah salah seorang ulama besar ketika itu. Selain belajar daripada ayahandanya, pada usia 4 tahun lagi, beliau dibawa ayahanda menghadiri pengajian-pengajian ilmu dan majlis-majlis dzikir. Sikap mencintai ilmu ini yang disemai sedari kecil menyebabkan beliau amat bersungguh-sungguh menuntut ilmu pengetahuan walaupun hadir sendirian walaupun usianya masih kecil. Keghairahannya menuntut ilmu menyebabkan beliau sanggup berpergian ke berbagai tempat demi mencari ilmu sehingga jumlah guru-gurunya hampir 1,000 orang ... Allahu ... Allah. Ibnu Sayyidin Naas menguasai berbagai disiplin ilmu pengetahuan seperti fiqh, hadits, sejarah dan bahasa.
Selain meninggalkan anak-anak murid yang ramai, Imam Ibnu Sayyidin Naas, turut meninggalkan berbagai karya, antaranya:-
- `Uyuun al-Atsar fi funuun al-maghaazi wasy-syamaail was-siyar;
- Nurul 'Uyuun fi Talkhish Siratil Amiinil Ma`muun SAW;
- Tahshilul Ishaabah fi Tafdhiil ash-Shahaabah;
- Busyral Labiib bi dzikril Habiib;
- Minahul Midah
- al-Maqaamaatul 'Aliyyah fil Karaamaatil Jaliyyah;
- an-Nafhusy Syadzi fi Syarhi Jaami`it Tirmidzi.
Maka kemudian daripada itu, tercatatlah dalam karya ulama ini yang berjodol "Nurul 'Uyuun fi Talkhish Siratil Amiinil Ma`muun SAW" halaman 133 sebagai berikut:-

.... Kemudian para sahabat mendengar satu suara dari arah pintu rumah Junjungan SAW berkata: "Jangan kamu mandikan dia, sesungguhnya dia suci dan disucikan. Kemudian mendengar pula mereka satu suara lain yang menyatakan: "Kamu mandikanlah baginda, sesungguhnya suara tadi adalah Iblis dan aku adalah al-Khidhir," dan dia memberikan ucapan takziah kepada mereka dengan katanya:- "Sesungguhnya pada Allahlah ketenangan atas setiap musibah (yakni carilah ketenangan/kesabaran tatkala menghadapi musibah dengan kembali kepada Allah), penggantian segala apa yang punah, pemerolehan segala apa yang luput, maka berpeganglah kamu dengan Allah dan hendaklah kamu berharap kepadaNya. Sesungguhnya yang mendapat musibah yang sebenar adalah orang yang ditegah daripada memperolehi pahala (yakni dia tidak mendapat pahala daripada musibahnya kerana dia tidak sabar atau redha tatkala mendapat musibah).Allahu Allah, moga Allah jadikan kita insan bertaqwa yang sabar dan redha atas segala ujian, dugaan dan musibah. Moga dakwaan kita sebagai hamba Allah itu benar, bukan hamba yang berlagak tuan yang bebas merdeka mendurhakai tuannya.
1 ulasan:
info yang baik
Catat Ulasan