Berwasilahkan Junjungan SAW
Berdoa atau memanjatkan sesuatu permohonan kepada Allah melalui Junjungan Nabi SAW, itu namanya berwasilah kepada Allah dengan Junjungan Nabi SAW. Inilah antara rupa bentuk tawassul dengan Junjungan Nabi SAW. Apabila bertawassul, tidaklah bererti kita menjadikan wasilah itu sebagai matlamat, namanya pun wasilah. Junjungan Nabi SAW pernah berwasilah dengan segala anbiya` yang diutuskan sebelum baginda, bahkan Junjungan pernah berwasilah dengan hak para hamba Allah yang memohon kepadaNya dan yang berjalan menuju ke masjid (atau yang menjalani jalan menuju kepada Allah SWT). Maka tidaklah menghairankan jika kaum muslimin, para ulama dan awamnya, turut mengamalkan tawassul dalam permohonan-permohonan mereka, teristimewa pula dengan Wasilatul 'Udhzma, Junjungan Nabi SAW.
Apabila Tuanku Muhammad Faris (moga-moga Allah memelihara baginda dan menjadikan baginda pemerintah sholeh yang menjadi payung kepada sekalian rakyat Kelantan dan Malaysia) dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru, sampai ke pengetahuan alfaqir yang perwartaan Perwawai Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dalam Warta Kerajaan Kelantan pada 22 Julai 2010, juga diakhiri dengan permohonan rahmat daripada Allah SWT berwasilahkan Junjungan Nabi SAW. Ini menunjukkan bahawa amalan bertawassul atau berwasilah dengan Junjungan Nabi SAW telah sebati dengan amalan kaum Muslimin zaman berzaman. Pada akhir undang-undang yang penting tersebut dinyatakan sebagai berikut:-
"Mudah-mudahan ALLAH yang Maha Kuasa melalui junjungan KITA NABI MUHAMMAD (Sallallahu 'alaihi wassalam) melimpahkan rahmatNya kepada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) (Pindaan) 2010 ini selama-lamanya."Terjemahannya dalam Bahasa Inggeris pula dengan jelas bertawassul dengan "greatness" atau jah atau kemegahannya Junjungan Nabi SAW. Ianya berbunyi sebagai berikut:-
"May Allah, Lord of the Universe, through the Greatness of OUR PROPHET MUHAMMAD (Sallallahu 'alaihi wassalam) grant His Blessing to this Law of the Constitution of Kelantan (Second Part) (Amendment) 2010 for ever and ever."Oleh itu, janganlah nak menghukum sembarangan kaum muslimin yang memohon kepada Allah berwasilahkan Junjungan Nabi SAW. Sesungguhnya kaum Muslimin kenal siapa al-Khaliq dan siapa makhluk. Sebagai peringatan bagi semua umumnya dan khususnya bagi para pencinta, penyokong, pengkagum Tuan Guru Nik Aziz (moga-moga Allah memberikan beliau umur yang panjang dengan kesihatan yang baik serta membimbing beliau agar sentiasa berada dan berbetulan atas jalan Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar), ese ulangkan kembali pandangan beliau mengenai tawassul kepada Junjungan Nabi SAW. Perkara ini ese dah tulis dalam posting terdahulu bawah tajuk "Tawassul -TG Nik Aziz". Di sini ese suka menukilkan lagi pandangan beliau yang dinyatakan dalam karya beliau "Rasulullah Muhammad S.A.W. insan teladan sepanjang zaman", pada halaman 175 - 176, Tok Guru menulis, antara lain:-
Oleh yang demikian, apabila telah mengetahui bahawa mengambil berkat dengan sesuatu itu bererti mencari kebaikan melaluinya. Maka fahamlah bahawa bertawassul ataupun bertabarruk dengan kesan-kesan baginda itu adalah suatu perkara yang digalak dan disyariatkan oleh Islam. Lebih-lebih lagi mengambil berkat daripada zat Nabi yang mulia.
Mengambil berkat daripada kesan Nabi itu tiada beza antara semasa hidup ataupun selepas baginda wafat. Kerana para sahabat di zaman hidup Rasulullah SAW mengambil berkat dengan air basuhan wuduk baginda, ataupun air peluh dan juga air ludah serta rambut baginda. Kesan-kesan itu sama sahaja selepas wafatnya, semuanya bukanlah suatu yang hidup dan keadaannya sama semasa hayat baginda.
Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Sahih Bukhari. Ramai orang menjadi sesat selepas kewafatan Rasulullah SAW, kerana dalam hati mereka tiada kasih kepada baginda. Mereka telah menidakkan tawassul terhadap zat baginda selepas wafatnya. Mereka menganggap bahawa kesan keberkatan Rasulullah SAW itu telah habis apabila baginda wafat. Jika bertawassul selepas baginda wafat bererti bertawassul kepada suatu yang tidak berkesan.
Hujah seperti itu menunjukkan bahawa mereka sebenarnya jahil mengenai Rasulullah SAW. Persoalannya, adakah semasa hayat baginda ia memberi kesan? Sedangkan kesan hanya datang daripada Allah SWT sebagai Khaliq, tiada makhluk yang memberi kesan. Tiada siapa pun boleh mendakwa bahawa Rasulullah SAW boleh memberi kesan secara peribadi semasa hayatnya. Kerana dakwaan itu telah disepakati boleh membawa kerosakan akidah.
Para sahabat mengambil berkat daripada kesan-kesan baginda, bukan kerana baginda boleh memberi kesan. Tetapi baginda adalah seafdal-afdal manusia di muka bumi ini. Seluruh makhluk di langit atau di bumi, hanya Rasulullah SAW sahaja orang yang menjadi kesayangan Allah SWT. Baginda juga menjadi rahmat Allah kepada seluruh alam. Ia adalah tawassul disebabkan Rasulullah SAW sangat akrab dengan Allah SWT, melalui bagindalah seluruh makhluk mendapat rahmat daripada Allah SWT.
الله ربي، محمد نبي
الله يا الله بجاه رسول الله
الله يا الله بجاه رسول الله
الله يا الله بجاه رسول الله
صلى الله عليه و سلم
الله يا الله بجاه رسول الله
الله يا الله بجاه رسول الله
الله يا الله بجاه رسول الله
صلى الله عليه و سلم
Tiada ulasan:
Catat Ulasan