Doa Ka`ab al-Ahbaar


Ka`ab bin Maati' al-Himyari, Abu Ishaaq, dikenali sebagai Ka`ab al-Ahbaar. Seorang yang tsiqah, daripada generasi kedua (yakni daripada kalangan tabi`in). Beliau hidup di zaman Jahiliyyah dan juga zaman Islam. Berasal dari Yaman sebelum menetap di Syam. Beliau meninggal dalam pemerintahan Sayyidina Uthman RA dalam usia melebihi 100 tahun. Imam al-Bukhari tidak meriwayatkan apa-apa daripada beliau. Manakala Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadits daripada Sayyidina Abu Hurairah menerusi beliau daripada jalan al-A'masy daripada Abu Shalih.Selain daripada Imam Muslim, Imam Tirmidzi, Imam Abu Dawud dan lain-lain muhadditsin juga menerima riwayat hadits daripada beliau. Imam Malik bin Anas RA dalam "al-Muwaththa'", halaman 583, menukil sebuah atsar daripada Sayyidina Ka`ab berupa doa yang diamalkan beliau untuk memohon perlindungan Allah SWT daripada kejahatan ciptaanNya. Imam Malik meriwayatkan daripada Sumayyin mawla Abu Bakar daripada al-Qa'qaa' bin Hakim bahawasanya Ka`ab al-Ahbaar berkata:- Jika bukan disebabkan beberapa kalimat yang aku baca nescaya kaum Yahudi telah menyihirkan aku menjadi seekor kaldai." Maka ditanyakanlah kepadanya: "Apakah kalimah-kalimah tersebut?"

Maka beliau berkata:- " Aku berlindung dengan Zat Allah yang Maha Agung, yang tiada sesuatu melebihi keagunganNya; (Aku berlindung) dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna, yang tidak dapat dilampaui oleh orang baik maupun orang jahat; (Aku berlindung) dengan semua nama-nama Allah yang indah, yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui; Daripada kejahatan apa-apa yang Dia ciptakan, jadikan dan perbanyakkan [yakni kejahatan segala makhluk ciptaan Allah SWT]."
Mudah-mudahan amalan ini dapat dijadikan sarana memohon perlindungan Allah SWT daripada segala kejahatan makhluk ciptaanNya terutama sekali para ahli-ahli sihir yang telah mula berkembang biak dalam masyarakat kita hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan