تقبل الله منا و منكم

Antara nya apa yang diriwayatkan dengan sanad kepada Jubair bin Nufair RA yang menyatakan bahawa para sahabat Junjungan Nabi SAW apabila bertemu pada hari raya saling mengucapkan sesama mereka dengan ucapan "TaqabbalAllahu minna wa minka". Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani rahimahUllah sanad riwayat ini adalah hasan. Imam al-Ashbihaani dalam "at-Targhib wat Tarhib", juzuk 1 halaman 251 menukilkan juga riwayat ini dengan sedikit perbezaan lafaz, iaitu ucapan yang diucapkan adalah "TaqabbalAllahu minna wa minkum." Imam 'Ala-uddin ibn at-Turkamani al-Hanafi rahimahUllah, ulama hadits bermazhab Hanafi yang wafat tahun 749M/1348H, dalam karya beliau "al-Jawharun Naqiy 'ala Sunan al-Baihaqi" menukilkan sebuah hadits lain yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ziyaad yang menyatakan bahawa dia berada bersama-sama Sayyidina Abu Umaamah al-Baahili RA dan beberapa sahabat Junjungan Nabi SAW yang lain, dan apabila mereka berpisah mereka saling mengucapkan sesama mereka dengan ucapan "TaqabbalAllahu minna wa minkum."
Imam al-Qalyubi rahimahUllah pada hasyiahnya atas kitab Minhajuth Thaalibiin, pada halaman 310 menulis satu faedah seperti berikut:-
Mengucapkan ucapan tahniah pada hari raya-hari raya, bulan-bulan (yakni bulan-bulan seperti Ramadhan dan seumpamanya) dan tahun-tahun (yakni menjelang tahun baru), menurut Imam Ibnu Hajar hukumnya adalah MANDUB.Oleh itu, marilah kita saling ziarah menziarahi, bermaaf-maafan, bersilatur rahim dan saling doa mendoakan. Moga kehidupan kita di hari-hari depan bertambah cerah, bertambah cemerlang, bertambah gemilang.
من العائدين و الفائزين
تقبل الله منا و منكم
تقبل الله منا و منكم
Tiada ulasan:
Catat Ulasan