Sahabat Luar Biasa
Sayyidina Bilal bin Rabah RA, sahabat Junjungan Nabi SAW yang terkenal menjadi muadzdzinnya baginda SAW. Beliau memiliki keutamaan yang tersendiri yang dipersaksikan oleh Junjungan Nabi SAW. Setelah wafat Junjungan Nabi SAW, Sayyidina Bilal telah pergi ke Syria untuk meneruskan dakwah dan jihadnya baginda Nabi SAW. Sayyidina Bilal RA tidak lagi melaungkan azan setelah kewafatan kekasihnya SAW sebagaimana sebelumnya, kerana setiap kali melaungkan nama Junjungan SAW, maka memuncaklah kerinduannya kepada baginda SAW. Diceritakan kali terakhir beliau melaungkan azan adalah atas permintaan Amirul Mukminin Sayyidina 'Umar RA ketika beliau melawat Syria. Tatkala Sayyidina Bilal RA melaungkan azan, jatuh berderai air mata para sahabat terutama sekali Sayyidina 'Umar kerana terkenangkan zaman hayatnya kekasih mereka SAW. Sayyidina Bilal RA terus berada di Syria sehingga akhir hayatnya dan di sanalah beliau disemadikan.
Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam "Jami'"nya di halaman 200 pada bab "fadhlith-thuhuri bil-laaili wan-nahaari wa fadhlish-sholaati ba'dal-wudhu-i bil-laaili wa an-nahaar," sebagai berikut:-Sayyidina Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi SAW pada suatu pagi setelah sholat fajar Junjungan Nabi SAW berkata kepada Sayyidina Bilal bin Rabah RA: "Ya Bilal, ceritakan kepadaku amalan yang paling engkau dambakan ganjarannya yang engkau amalkan dalam Islam, kerana sesungguhnya aku telah mendengar derapan alas kakimu di hadapanku dalam syurga." Lalu Sayyidina Bilal RA menjawab: " Tiada amalan yang paling kuharapkan ganjarannya selain bahawa tiada aku berwudhu` ketika malam dan siang melainkan aku sembahyang selepasnya dengan suatu sembahyang yang tidak menjadi kewajipanku (yakni sembahyang nafil)".
Di sini ese tidak berhasrat untuk menulis mengenai sholat sunnat wudhu`, cuma ese ingin menarik perhatian kepada fakta yang disebut dalam hadits yang mulia tersebut, bahawa Junjungan Nabi SAW tahu dan kenal akan bunyi derap kasut atau alas kaki sahabat baginda, Sayyidina Bilal RA. Sungguh istimewa bersahabatkan manusia seumpama Junjungan Nabi SAW. Benarlah Junjungan Nabi SAW adalah manusia luar biasa pilihan yang Maha Esa. Lihat sahaja bagaimana baginda bersahabat, baginda adalah sahabat yang luar biasa lagi mengkagumkan serta menakjubkan orang-orang yang punya akal fikiran. Renungkanlah kisah tersebut. Jauh sungguh kualiti persahabatan kita dengan sahabat-sahabat kita berbandingkan persahabatan baginda. Kita jangan kata bunyi selipar, kekadang suara sahabat sendiri pun kita tak kenal. Ya kalau setakat kenal suara, itu biasa, tapi Junjungan Nabi bukan itu sahaja, derapan alas kaki sahabatnya pun baginda kenal ... Allahu .. Allahu ... `ajiiibbbbb. Mudah-mudahan di akhirat nanti, dalam kita dijadikan dalam kalangan mereka-mereka yang bersama-sama dengan Junjungan SAW dalam syurga yang tertinggi, agar dapat juga kita menikmati nikmat berdamping dan bersahabat dengan sahabat yang paling agung, Junjungan Nabi SAW.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan