Doa Tergantung
Sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW adalah satu amalan yang tidak dapat kita terkaya daripadanya. Seseorang yang hendakkan kejayaan dan keberkatan di dunia dan di akhirat mesti senantiasa membasahkan lidahnya dengan ucapan sholawat ke atas Junjungan SAW. Sholawat juga menjadi sebab bagai terkabulnya segala hajat dan permintaan, bahkan dikatakan bahawa segala permohonan dan doa itu hanya akan tertahan langit dan bumi, ngak bisa naik-naik ke langit kemuliaan jika si pendoa lalai dari bersholawat atas Junjungan SAW. Besar sungguh nikmat dan wasilah amalan sholawat ini. Imam at-Tarmidzi rahimahUllah meriwayatkan dalam "Sunan"nya pada "Kitab al-Witr - Bab Ma Jaa-a fi Fadhl ash-Sholaah 'ala an-Nabiy SAW" bahawa Sayyidina 'Umar RA berkata:
"Sesungguhnya sesuatu doa itu terhenti di antara langit dan bumi, tidak naik sesuatupun daripadanya sehingga orang yang berdoa tersebut bersholawat ke atas Nabimu SAW."Difahami bahawa doa dan munajat seseorang hamba yang faqir lagi hina, penghuni alam sufli (rendah) berupa bumi ciptaan Allah SWT, tidak akan dibawa naik ke alam 'ulwi, kerajaan atas di langit (viz. kerajaan langit tapi bukan kerajaan langit Ayappan @ Ayah Pin). Dan jangan juga beri'tiqad yang Allah itu duduk bertempat di langit, harus difahami bahawa langit itu tempat pusat kerajaanNya dengan arasy sebagai pusat pemerintahan dan makhlukNya yang terbesar. Langit itu punya penghuni sendiri dari kalangan hamba-hamba Allah yang mulia, para malaikat yang maksum. Diangkatnya doa seseorang ke langit itu memberi faham bahawa doa tersebut adalah sesuatu yang bakal dimuliakan dengan nilaian ibadah dan insya-Allah akan dikabulkan oleh Allah SWT. Kalau tidak diangkat ertinya doa tersebut tiada class dan direject.
Dikatakan bahawa Kaabah adalah qiblat sewaktu kita bersholat, dan langit itu qiblat bagi seseorang yang berdoa. Makanya, tatkala berdoa seseorang itu disunnatkan untuk menadah tangan ke langit. Menadah tangan ke langit bukan ertinya Allah itu bertempat di langit kerana Allah ta`ala itu tidak mengambil tempat dan ruang, dan tidak juga berjihat. Ini tidaklah menafikan elok dan bagusnya untuk seseorang berdoa dengan mengadap juga ke BaitUllah, melainkan dalam beberapa keadaan yang dijelaskan oleh para ulama kita. Imam al-Qurthubi rahimahUllah menulis dalam tafsirnya "al-Jami' li Ahkam al-Quran", juzuk 9 halaman 436 sebagai berikut:-
"... Adapun sebab diangkat tangan ketika berdoa ke langit adalah kerana langit adalah tempat turunnya wahyu, turunnya hujan, tempat yang suci, tempat makhluk-makhluk yang suci daripada kalangan malaikat. Di atas langit terdapat 'arsy dan syurga."
Imam an-Nawawi rahimahUllah dalam "Syarh Muslim" tatkala memperjelaskan makna "hadits jariah" yang masyhur itu, menulis, antara lain, seperti berikut:-
Dialah Allah yang Maha Esa yang apabila seseorang memohon kepadaNya maka dia menghadap ke langit sebagaimana apabila seseorang sembahyang dia menghadap Kaabah, dan tidaklah perlakuan sedemikian ini (yakni menghadap ke langit ketika berdoa atau menghadap Kaabah ketika bersholat) menunjukkan bahawasanya Allah terbatas di langit sebagaimana juga tidaklah Dia terbatas pada jihat (arah) Kaabah (yakni Allah tidak dibatasi oleh sebarang tempat kerana Dia Maha Suci daripada segala tempat dan arah, subhanAllah). Bahkan perbuatan menghadap ke langit itu adalah kerana langit itu adalah kiblat orang yang berdoa sebagaimana kaabah itu kiblat bagi orang yang sholat.Allahu .. Allah, betapa besarnya wasilah sholawat atas Junjungan Nabi SAW yang dengannya doa yang keluar dari seseorang hamba ini akan dapat naik ke langit kemuliaan untuk diterima dan dikabulkan. Maka jangan hanya tahu meminta tetapi malas bersholawat atas Nabi yang dengan keberkatannya terkabul segala permintaan. Minta jangan tak minta, tapi jangan lupa sholawatnya.
**********************************
2 ulasan:
nak mintak copy n sebarkan ya
jazakallah
minta izin copy n sebarkan ya
jazakallah
Catat Ulasan